Ini cerita lama yang orang sudah tahu. Zaman dulu, ada orang sanggup bersila depan pak dukun semata-mata untuk mendapatkan sesuatu di dalam dunia yang ditekuni, iaitu dunia politik. Meski dalam politik mereka hidup sekandang, maksudnya satu parti, namun di dalam parti itu pun mereka bersaing, rebut merebut, tolak menolak [kalau nak diumpamakan begitu].
Hanya pada masa ini sahaja kita tidak dengar lagi orang politik sanggup bersila di makam keramat mengadukan hal agar dirinya menjadi orang berwibawa, berkharisma, tutur katanya didengar semua orang, orang lain tidak berani angkat suara di depannya.
LUAR BIASA
Ilmu sihir atau perdukunan [bagi memudahkan kita faham] dapatkan ditakrifkan sebagai sebuah ilmu yang menghasilkan kesan luar biasa yang tidak dapat diterangkan puncanya secara logik, ia terhasil dari penglibatan makhluk jin, syaitan dan iblis, dengan menggunakan peralatan dan kaedah yang khusus pula.
Lain dukun lain kaedahnya. Tidak ada kitab yang dijadikan rujukan para dukun. Agaknya kalau ada pun, kitab itu sudah lama diharamkan. Ada tak adanya tersimpan dalam arkib dan perpustakaan sebagai bahan rujukan.
Menjelang nak pilihan raya kali ini, penulis terhidu cerita ahli politik kampung yang bercakap tentang bomoh di suatu tempat. Dia kata, beberapa orang sudah menemui kalangan orang pintar ilmu untuk mendapatkan nasihat. Bukan sekadar nasihat, dia kena bagi duit lagi kepada dukun yang menasihatkan sesiapa juga yang berhajatkan "ilmu" bagi memenangkan dalam perebutan jawatan atau menang dalam pilihan raya.
DUKUN
Setidak-tidaknya dukun yang ditemui itu mestilah:
[1]. Mempunyai ilmu yang konon boleh menghasilkan kesan yang luar biasa kepada pelanggannya.
[2]. Dia akan mendapatkan bantuan makhluk halus -- jin, syaitan dan iblis dengan cara pemujaan.
[3]. Dia perlukan benda-benda mistik yang tak masuk akal bagi tujuan keilmuan dan ritual, ada kaedahnya mengikut seseorang pengamal ilmu.
ILMU KUNO
Sihir adalah ilmu kuno yang telah menjadi amalan setiap umat tanpa mengira apa pegangan agama dan kepercayaan mereka. Orang Barat juga mengamalkan ilmu sihir sebagaimana juga keadaanya orang Timur. Hanya istilah yang mereka gunakan tidak sama. Maksudnya tetap sama. Kalau kita semak sejarah Mesopotamia, sejarah Fir'aun dengan peninggalan Piramidnya, sejarah Yunani dan Rome, sejarah orang Parsi kuno, orang China, dan dalam sejarah Islam sendiri -- sihir memang menjadi amalan sebahagian atau amalan yang menyeluruh di kalangan masyarakat berkenaan.
Dunia Barat sendiri pernah dijajah oleh sihir. Masalah sihir menjadi perkara penting untuk diatasi. Meskipun perang terhadap sihir sudah lama berlaku, sejak zaman berzaman, ilmu ini tetap bertahan selagi masih ada makhluk durjana bernama jin dan syaitan atau iblis yang bersekongkol dengan manusia. Manusia pula menjadi hebat dengan ilmu sihirnya kerana bantuan daripada makhluk tadi.
MATLAMAT SIHIR
Di Malaysia, ilmu kesihiran ini tidak kurang hebatnya kalau kita selidik satu persatu. Setiap kelompok mempunyai bentuk sihir yang berbeza namun kaedahnya hampir sama, begitu juga matlamat kesihiran yang mereka pelajari. Semaklah bagaimana bentuk sihir Melayu yang begitu popular sejak zaman berzaman, kemudian selidik pula sihir di kalangan orang India dan Cina. Jangan lupa sihir di kalangan orang asal di negara kita. Ia menarik dan boleh dijadikan bahan kajian. Ada juga kelompok kecil yang mengamalkan bentuk budaya dan keyakinan berkaitan sihir yang tidak diketengahkan. Itu belum lagi menjelajah ke seluruh kawasan di Sarawak dan Sabah.
Berbalik kepada soal jumpa dukun bagi tujuan melonjakkan diri dalam dunia politik, kisah ini sudah lama bercokol di dalam masyarakat kita. Kisah yang menggemparkan adalah yang melibatkan Adun kawasan Batu Talam, Dato Mazlan Idris yang bertemu bomoh bagi tujuan menaikkan karier politiknya.
Disebabkan hari-hari orang pintar memujuknya untuk mengambil tangkal azimat yang mengandungi rotan dan penutup kepala yang konon milik Sukarno, maka benda mistik itu diyakini boleh melonjakkan karier dalam politik.
Orang pintar tidak akan memujuk pakcik tukang kebun dapatkan tangkal Bung Karno kerana tukang kebun tak mampu nak bagi sampai ratusan ribu ringgit. Jadi orang pintar kena pilih orang kaya atau ada harta termasuk tanah bergeran.
TANGKAL KEBAL
Ketika tokoh politik berharap dengan benda mistik itu masa depannya berubah, orang pintar menggunakan helahnya untuk menambah cerita untuk menambah tangkal lagi agar ia kebal.
Kekebalan menjadi tarikan dalam dunia mistik perdukunan Nusantara. Siapa pun hendak jadi kebal.
Jika tidak guna senjata pun, orang pintar akan kata dengan memakai sesuatu tangkal seseorang pemakainya boleh selamat kalau berlaku kemalangan jalan raya, kalau ada orang nak aniaya, atau salah orang pun, tangkal yang dipakai itu akan menjadi perisai untuknya.
Kata-kata dukun boleh mencairkan hati seseorang.
Dan kata-kata itu akan membuatkan hati pun berbisik: "Bolehlah cuba, mana tahu?"
Itulah cerita lama yang berkaitan dengan pembunuhan menggemparkan, tubuh mangsa dikerat 18 bahagian. Kenapa sampai tergamak orang pintar itu melakukan pembunuhan?
Dan kenapa mangsa boleh diperdaya?
KEBAL PERLU DIUJI
Kata-kata manis, dan hasutan syaitan iblis sama-sama bertarung. Untuk mendapatkan kekebalan selalu orang mengadakan test atau ujian.
Begitu juga kalau nak dapatkan batu delima merah, rantai babi, kulit kerbau landau atau benda mistik lainnya. Benda mistik yang berkaitan dengan kekebalan selalunya perlu diuji, paling tidak pun dengan cara memotong rambut pelanggan yang minat. Pengaruh ujian ini sangat penting. Batu delima tiruan pun kalau ia boleh memerahkan air dalam takungan, orang tak ada pengalaman mudah terpengaruh juga. Hatta batu tepi jalan pun kalau boleh jadi merah airnya, orang akan kata ia bertuah, "batu mistik delima tepi jalan" namanya.
Dalam perkara kekebalan, kebal bacok atau tetak, ia perlu diuji. Nasiblah kalau ilmu belum menjadi.
Itulah yang yang terjadi dalam kes pembunuhan melibatkan sihir.
RITUAL TIPU
Disuruhnya mangsa berbaring terlentang, letakkan bunga berbagai jenis sebagai ritual pemantapan ilmu kebal. Dan diminta pejam mata. Kalau tak pejam nanti ilmu tidak jadi.
Tambahan pula ketika ritual itu mangsa dijanjikan akan berlaku kejutan, wang dari dana ghaib akan gugur dengan banyaknya.
Tidak cukup dengan wang ratusan ribu ringgit untuk harga tangkal yang tak berharga itu [konon pernah digunakan oleh Bung Karno], maka mangsa pun diuji kekebalannya dengan tetakan kapak tajam.
Itulah adegan ngeri yang mereka laksanakan.
DUIT
Percaya kepada dukun dan orang pintar, kita diputarkan sehingga tidak mampu berfikir lagi.
Jadi, matlamat perdukunan tadi adalah duit. Kalau tokoh politik yang sememang bergaya, sudah tentu bayarannya pun lumayan.
Kepintaran memperkatakan bukti yang telah lalu membuatkan orang baru cair dan mudah terpaut.
Orang pintar akan berkata bahwa tokoh itu telah berjaya setelah bertemu dengannya.
Dalam masa beberapa bulan ditawarkan jawatan tetinggi dalam parti atau dalam pemerintahan.
Dia akan kata bahawa si fulan pernah jumpa dengannya, tengok bagaimana kedudukan orang itu sekarang? Ketika inilah, hati-hati yang sedang lalai, sedang mati, sedang kosong dari mengingati sesuatu yang lebih tinggi dan menguasai seluruh makhluk dan alam ini, maka ia akan jadi makanan orang pintar.
BENDA MISTIK
Sampai sekarang, masih ada orang yang percaya kepada benda-benda mistik, paling tidak pun sebentuk cincin yang jika dipakai untuk menaikkan wibawa, menampakkan aura yang bukan main.
Semua ini perkara yang tidak dapat ditunjukkan depan mata.
Cerita "keghaiban" dijadikan sarana untuk memujuk pelanggan.
Orang tidak akan beli sebentuk cincin kalau penjualnya tidak berkata bahawa batu ini sesuai untuk orang yang kariernya begini dan dan begitu. Batu ini banyak dipakai oleh kalangan yang berilmu dan disebutnya tokoh tertentu.
Nah, agaknya kalau ada orang pintar yang boleh menambahkan bilangan undi dalam peti undi, maka orang pintar itulah yang akan jadi buruan. Atau ada orang pintar yang mendakwa boleh mendatangkan dana ghaib dari makhluk bunian, boleh keluarkan atau pindahkan duit dari akaun Bank Ghaib alam antah berantah, maka orang sanggup mencari alat-alat atau benda mistik untuk dijadikan sajen ritual.
Dan dalam ritual dan sajenan begitu selalunya ia juga memerlukan tumbal.
Apabila wang sudah habis ditipu orang pintar, itulah tumbal yang sebenarnya. Setelah rugi beratus ribu ringgit, itulah tumbalnya yang sebenar. Jangan marah, diri sendiri yang murah terpengaruh.
Oleh itu, perkara sihir dan amalan orang pintar yang agak luar biasa, tak masuk akal, janganlah didengar kata-kata mereka. Paling tidak, agama kita mengajar agar mengelakkan diri daripada bertanyakan dan mempercayai kata-kata dari orang pintar ini. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment