Kekadang pelik juga manusia ini dalam menanggapi makam lama. Pantang tengok ada makam pelik sikit, jauh dari keramaian atau di tepi bukit, tepi gunung dan sebagainya. Makam yang pelik ini selalunya dijadikan tempat untuk "ngalap berkah" -- sedangkan makam itu tidak memberi apa-apa kepada orang yang sibuk mengalap keberkatan di situ. Yang dia ngalap hanya amalan syaitan sahaja. Lagi lama seseorang itu mengalap keberkatan di kuburan itu lagilah bagus. Kalau pengalap mengharapkan kehadiran makhluk ganjil, maka syaitan penipu pun hadir menyerupai sesiapa sahaja mengikut kesukaan orang itu. Bukan penulis blog ini suka dengan amalan ngalap keberkatan begitu, sebabnya ia sudah menjadi semacam budaya sejagat, asal ada kubur lama, kubur tunggal, nisannya pelik, atau jaraknya jauh, atau terletak bawah pokok ara dan sebagainya, ada sahaja si bodoh yang mencipta cerita berkaitan dengan kewujudannya.
Contoh ada sebuah makam lama. Biasanya makam lama itu tidak diketahui siapa pemiliknya. Maka kalau ditanya orang sana-sini tak ada siapa beritahu. Kalau ada pun mungkin jawapan yang tidak tepat. Umpamanya, makam siapa itu? Oh, itu makamnya Pak Roro Kepyar! Si Kepyar tu siapa? Soal muasal makam itu tidak dipedulikan sangat. Lagipun tidak ada tanda nama pada makam lama itu. Jadinya, kalau ada seseorang itu yang kerjanya memang asyik dengan kubur lama, dia sanggup mengaku jadi tukang tengok-tengok makam atau jurukuncinya. Makam lama itu tidak ada pagar, tidak ada pintu, jadi jurukunci tak perlu. Nak dijaga pun tak perlu. Tetapi istilah perantara yang selalu hubungkan antara makam lama dengan penziarah tak tahu apa untuk ngalap keberkatan akan merujuk kepada jurukunci.
Ada cerita, disebabkan lama sangat orang itu tengok-tengokkan makam, dan dia pun berharap agar mendapat sesuatu, maka suatu ketika muncullah makhluk khayalan di depannya. Makhluk khayalan itu tidak diketahui datang dari mana. Maka di depan orang yang berharap itu, makhluk khayalan mengaku lebih kurang begini, "Akulah penghuni makam lama ini, aku selalu melihat kamu datang ke sini menjaga makamku."
Orang yang berkhidmat dengan makam lama itu bukan nak lari kerana ketakutan. Dia malah senyum suka.
"Siapa nama kamu?" Maka makhluk khayalan itu menjawab: "Akulah Puteri Kepyar!"
Kenapa orang tua ini suka sangat jenguk kubur lama? Ikut ceritanya, dia ni seorang seniman. Seniman yang suka bercakap seorang di depan kain putih yang dipanggil kelir. Dia seniman wayang kulit. Dia kena bercerita dan berdialog mengikut skrip yang sudah ada dalam kepala. Disebabkan zaman orang tengok wayang sudah menurun, bahkan kesenian ini semakin dilupakan orang, dia pun pergi makam seolah-olah nak mengadu hal. Tipe orang jenis ini memang tidak suka datang ke surau atau masjid agaknya. Seharian lepak di makam lama buat apa?
Untuk mempercantik episod, dia pun melakukan sesuatu yang biasa orang panggil lelaku. Di dalam lelaku tadi termasuklah mengadu hal kepada makhluk ciptaan Si Puteri Kepyar tadi. Apakah makhluk ciptaan ini akan menolong seniman wayang kulit? Untuk membina cerita yang masuk akal dan yang tak masuk akal, konon setelah lelaku beberapa kali di makam itu, alih-alih, ada orang mencari dia. Ada orang mahu gunakan khidmat dia. Istilahnya ada orang menanggap wayang kulit. Nak ajak dia main wayang kulit di suatu tempat keramaian. Ini sudah kira baik, wang boleh masuk. Satu show berapa bayarannya? Cerita seniman tadi antara masuk akal dan tidak, dia kata, konon orang yang menanggap wayang kulit itu bukan dari kelompok manusia biasa. Habis siapa? Siapa lagi kalau bukan sekumpulan masyarakat makhluk halus juga. Jadi dia telah mendalang di perkampungan makhluk halus, entah perkampungan bunian, entah perkampungan jin baik atau perkampungan syaitan.
Balik dari mendalang di perkampungan yang serba misteri itu Pak Seniman ini mendapat wang yang banyak. Luar biasa. Dia dengan krewnya pun hairan. Wang dari alam misteri itu dibelanjakan macam biasa. Ada yang disimpan untuk dijadikan ibu duit. Keyakinan kepada apa yang disebut sebagai ibu duit ini adalah peniruan dari seberang. Orang Malaysia tidak tahu menyebut istilah ini. Ibu duit itu adalah duit biasa. Contoh wang RM1 atau RM5. Diserahkan kepada seseorang yang pintar kelentong. Dia kata boleh buatkan ibu duit. Kerana ibu itu melahirkan. Dia tak kata bapak duit. Di mana-manapun mereka sebut begitu. Ibu duit. Konon duit yang dia dapat dari hasil mendalang wang kulit tadi disimpan untuk dijadikan ibu duit.
Berkat menyimpan ibu duit, duit itu konon beranak, dan dia pun hairan, dia sentiasa ada duit. Bukan itu sahaja, sejak itu dia mendapat undangan mendalang wayang kulit sebagai acara kesenian. Pertunjukan di minggu budaya atau sekadar pamer dialog dan contoh sebuah pewayangan bagi para pelancong.
Setelah Pak Seniman ini diundang ke alam ghaib main wayang, rezekinya melimpah ruah. Ada sahaja undangan main wayang di pentas budaya. Itu undangan dari manusia biasa. Hanya permulaan sahaja dari perkampungan jin.
Untuk dijadikan cerita mengarut, Pak Seniman wayang kulit atau Pak Dalang tadi, baru menyedari. Bahawa usaha mendalang itu menjadi-jadi dan duit sentiasa masuk apa sebab musababnya. Dia percaya, ini semua bermula dari makam lama yang dia selalu kunjungi. Maka dia yakin, makam Puteri Kepyar itulah yang menaikkan kariernya sebagai dalang wayang kulit. Akhirnya, dia berharap dan berharap agar dapat bertemu Puteri Kepyar itu di kawasan makam. Bererti dia bukan hendak jumpa manusia biasa, sebaliknya hendak jumpa jin atau syaitan perempuan yang diberi gelaran Puteri Kepyar tadi. Puteri itu muncul. Entah dari dalam kubur atau dari atas pokok, dia pun tak tahu. Pak Seniman itu yakin, ia datang dari dalam makam lama. Disebabkan sudah banyak kali "dating" di makam lama itu, akhirnya Pak Seniman itu tawar diri nak kahwin dengan Puteri Kepyar yang pemalu! Istilah kahwin yang ini pun kena kita fahami. Bukan ada nikah macam orang kahwin. Ini kahwin dengan syaitan tak payah wali, tak payah maskahwin, tak payah wali. Ia hanya perjanjian nak saling membantu. Puteri tolong Pak Seniman, dan Pak Seniman tolong Puteri.
Sudah jadi kebiasaan, seorang dalang wayang kulit selalunya mahir dalam kerja perdukunan. Jadi, cantik sangatlah kalau dia berkawan dengan Puteri Kepyar. Kerja kedukunannya semakin menjadi-jadi berkat ditolong oleh Puteri yang konon duduk bersimpuh di sisi Pak Seniman untuk menjawab segala kemusykilan yang diajukan pasiennya. Dan dia kena layan Puteri ini macam isterinya. Isteri Pak Seniman pun tahu bahawa suaminya sudah gila dengan Puteri. Isterinya langsung tak marah pun. "Nak marah buat apa, bukan nampak pun isterinya. Dia kata sudah kahwin dengan Puteri, saya tak pernah nampak Puteri pun! Biarlah dia kahwin jin pun!" kata isterinya. Pulak dah. Sejak berkawan dengan syaitan Puteri itu, ke mana sahaja dia pergi, Puteri nak ikut sama. Jalan nak ke pasar pun dia ikut. Sudahnya Pak Seniman macam terganggu.
Kalau orang tanya dia, siapa Puteri yang selalu disebut-sebut itu? Maka dia akan cerita makam tua yang dia selalu jenguk. Kemudian dia kata, Puteri itu dari makhluk halus dari jenis roh yang pernah hidup seperti manusia pada masa lampau. Pak Seniman ini kata, bangsa jin itu ada tiga golongan --- roh, jin dan jim. Cerita Pak Seniman yang memperoleh Puteri dari kubur lama menggambarkan ketaksuban yang melampaui had. Apakah dia memang berkawan dengan syaitan bernama Puteri itu atau hanya khayalan kosong, siapa pun tak tahu. Kalau dia "kahwin" dengan syaitan itu pun, orang tak peduli. Isteri Pak Seniman sendiri tidak kisah. Sepanjang masa bersama Pak Seniman, dia tak pernah nampak Puteri muncul di tengah-tengah keramaian manusia. Kalau sudah terlalu asyik dengan amalan ngalap keberkatan dari kubur, keberkatan kubur itulah yang dia dapat. Inilah amalan kaum pagan yang masih ada di bumi Nusantara. []
No comments:
Post a Comment