Untuk mengelakkan stress memikirkan soal politik dalam negara, ada baiknya kita jenguk ilmu-ilmu karut yang diedarkan oleh pengamal ilmu kekarutan yang ada di belahan Nusantara ini.
Cerita orang berhajatkan baka terbaik dengan merujuk kepada bank mani [bukan money ya!] sudah lama jadi bualan orang putih dan kaum elitis yang nak generasi genius dan terbaik. Macam Stephen Hawking yang mencadangkan agar orang cerdik meneroka dunia luar dari planet bumi ini, mana tahu boleh jumpa planet lain yang setaraf bumi. Bolehlah pindah ke sana.
Mungkin si cerdik ini fikir kalau kiamat bumi yang ada, dia dah boleh selesa berada di planet bumi yang baru diterokai. Hanya suku-sakat dia sahajalah yang nak selamat, konon.
Baiklah. Berbalik kepada genderuwo ini, ia sebenarnya makhluk halus yang ditakuti oleh kanak-kanak. Nak takutkan budak, sebutlah genderuwo, kalau dia sedang menangis, dia akan berhenti menangis kerana takutkan genderuwo.
Hanya nama ini tidak popular di bumi Malaysia, sebaliknya ia dikenali dan amat popular di tempat lain terutama di Jawa sana.
Selain watak genderuwo yang suka menggatal dan mengacau bini orang, genderuwo ini boleh dijadikan kawan kamcing oleh pak dukun seks.
Dikatakan dukun seks kerana apabila dia berhubungan dengan genderuwo, dia akan meminta jasa baik genderuwo untuk mendapat sesuatu.
"Wo, aku ajak kamu datang ni sebab ada benda sulit nak bagi tahulah kat engkau!" kata Pak Dukun berbasa-basi.
"Katakan apa dia?" genderuwo yang berbadan besar macam king kong itu duduk di depan Pak Dukun. Bau bulunya yang hitam dan kotor betul-betul hapak, tak tahan dibuatnya. Tetapi disebabkan dukun sedang berhajat dia kena bertahan jugalah.
Bukan dia tidak ada rasa nak muntah. Tapi dia tahan juga.
"Aku ni nak minta benih kamu!" kata Pak Dukun.
"Benih apa? Awak ingat aku jagung atau kacang kedelei? Hah?" genderuwo menyergah main-main sembari tertawa ngakak.
"Gini, ada orang berhajat benih kamu Wo!"
"Aku tak faham." Genderuwo pura-pura tidak faham.
"Baiklah aku cakap terus terang...aku nak air mani kamu!" tegas Pak Dukun tanpa reaksi.
"Untuk apa? Bukankah aku ni syaitan yang selalu menggoda perempuan jahat di tempat hiburan atau taman-taman larangan? Apa kamu tak tahu?"
"Itu aku tahu, tapi Wo, kan aku ni dukun, orang sudah tahu bahawa saya ni memang menyediakan mani genderuwo untuk dijual kepada pelangganku," suara Pak Dukun tertahan-tahan. Mungkin dia malu.
"Kamu jual air mani genderuwo Pak Dukun?" tanya genderuwo sambil matanya mendelik.
"Ya, betul, sudah banyak genderuwo yang bagi percuma kepadaku. Itu dulu!"
"Berapa harganya kamu jual?"
"Tiga ratus ribu untuk 5 gram!"
"Apa gunanya Pak Dukun? Kamu pandai-pandai buat itu ini, sedangkan kami bangsa genderuwo tak tahu apa pun rahsia benda ini?"
"Kamu tak tahu? Kan aku jual mani gajah? Jadi, untuk menambah koleksi benda mistik yang aku jual, aku mahu jual mani genderuwo pula!"
Hantu genderuwo tertawa terbahak-bahak. Dia ngakak sekali. Mentertawakan Pak Dukun yang bingung.
"Apa khasiat mani kaumku yang kamu katakan kepada pelanggan kamu?" suara Genderuwo separuh berbisik.
"Kamu tau tak? Kalau ada perempuan yang mandul, susah nak dapat anak, dengan tetesan air ini membolehkan dia hamil!"
"Baru pertama kali aku mendengarnya dari manusia!" kata genderuwo sambil membetulkan letak duduknya.
"Apa lagi kelebihannya?"
"Oh, ada lagi, untuk sesiapa yang hamil di luar nikah, terutama anak perempuan yang nakal, janinnya boleh hilang kalau terkena mani genderuwo! Betul! Jangan ketawa!" ujar Pak Dukun sebaik mendengar genderuwo tertawa.
"Perutnya jadi kempis ya? Pintar-pintar kamu manusia. Bukan kamu mahu membanteras maksiat, tapi kamu semakin menggalakkan mereka buat maksiat!" komen genderuwo.
"Eh...bila kamu dah pandai macam ustaz ni?" usik Pak Dukun.
"Kan aku dari jenis jin juga, aku selalu melihat buku-buku tentang rahsia dunia jin dan syaitan. Hanya aku tak pernah melihat ada buku yang memaparkan tentang diriku!"
"Tentang genderuwo?"
"Ya!"
"Memanglah, genderuwo hanya dikenali di tempat kami, di Malaysia orang tak tahu!"
"Itu sebablah ada orang buang bayi, campak bayi, sebab mereka tak tahu Pak Dukun bijak macam kamu sudah mengeksploitasi benihku untuk dijadikan sarana mencari duit. Kamu jual air mani genderuwo? Aneh! Aneh! Kalau orang percaya dengan kata-kata kamu, memanglah mereka itu dari keturunanku jugak!"
"Habis, tentang permintaanku tadi, aku ingin dapatkan mani genderuwo, apa boleh kamu tolong?" Pak Dukun memperlahankan suaranya minta kerjasama genderuwo.
"Hairan di zaman moden ini ada orang masih berharap kepada syaitan, untuk melayani kemaksiatan!"
"Aku hanya peniaga mani gajah dan mani genderuwo!" pintas Pak Dukun.
Begitulah pertengkaran antara Pak Dukun dengan hantu genderuwo yang berbau hamis, hapak dan berbulu lebat. Hanya makhluk ini yang suka tinggal di kawasan hutan tepi bukit dan gunung hanya menggemari kaum wanita. Itu cerita orang. Daripada cerita tentang kewujudan genderuwo, ada pula orang pintar ini buat iklan dalam majalah, dia kata, dia memiliki beberapa botol mani genderuwo. Usahkan genderuwo yang hantu, yang syaitan ini, mani gajah pun mereka payah nak dapat.
Silap haribulan kena pijak gajah.
"Seorang paranormal berusia 75 tahun mati dipijak gajah gara-gara ingin mendapatkan mani gajah. Paranormal berasal dari sekian tempat itu dikatakan sudah lama menjalankan perniagaan di kaki lima Jalan Pasar Pudu. Antara barang jualan yang menjadi buruan peminatnya adalah mani gajah dan mani genderuwo."
Paparan ini bermula dari sebuah iklan kecil yang tidak bermanfaat. Pengiklan kata, dia menyediakan MANI GENDERUWO dengan harga seperti disebutkan tadi bagi ukuran 5gm. Apabila pelanggannya tidak mampu berfikir, maka tidak hairanlah kalau akan ada orang jual mani-mani hantu yang lainnya. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment