Saturday, 27 April 2013

SIAPA PEMIMPIN TOUCH N GO?

TOUCH N GO
Kebetulan Si Mazlan Ismail yang jadi calon BN Permatang Pauh ada sebut benda ini, "touch n go" maka, elok benar diulas. Sedarkah Si Mazlan ni apabila dia berkata bahawa pemimpin macam Anwar Ibrahim tu umpama pemimpin "touch n go," lepas pilihan raya nanti dia tak jenguk Permatang Pauh lagi dah! Sebagai orang baru dalam politik UBN Mazlan ni tidak rasa lagi bagaimana kalau dapat jawatan penting. Dia lupa bagaimana dengan Si Najib tu? Apakah dia bukan pemimpin "touch n go" juga? Berapa kali dia jenguk Pekan, Pahang? Dan Najib tu tinggal di Pekankah? Jangan nak kata PR, dalam UBN kebanyakan pemimpinnya adalah jenis "touch n go" -- sekarang tengah kempen pilihan raya. Semua calon pantang dengar ada orang kematian, kemalangan, kucing sakit, lembu sakit, semua nak bantu. Masa inilah nak tunjuk baik, setelah menang pilihan raya semuanya hilang selama empat tahun, masuk tahun ke lima apabila penggal nak habis baru timbul. Jadi, kepada Mazlan, nak kempen cakaplah baik-baik. Siapa pemimpin "touch n go" yang sebenar? Terlanjur sebut soal "touch n go" perkataan ini sudah lama diusung dek broker di Kuala Lumpur dan ada kaitan dengan Umno. Ia adalah projek juga. Kini kad ini digunakan dengan leluasa. Dulu bas Rapid berlagak ada mesin untuk top up "touch n go" -- lepas menteri rasmikan, semua hancur. Sekarang nak top up kena pergi stesyen LRT juga. Jangan fikir oh, UBN dah buat yang terbaik. Orang yang tak pernah naik bas, tak pernah naik pengangkutan awam mereka cakap sahaja pandai. Masalah rakyat bawahan mereka tak tahu.

RAMAN ADA UBAT
Itu yang dia cakap. Dia bakal berlawan dengan Azmin Ali dari Pakatan Rakyat. Sebagai doktor dia kata dia ada ubat. Ubat apa? Ubat untuk memenangi kerusi di Gombak. Raman kata rakyat sudah muak dengan permainan politik kotor PR. Setahu penduduk Gombak, yang main politik kotor hanyalah pihak UBN sahaja. Politik samseng baling batu ketika PR buat ceramah, bukan kotorkah? Samseng upahan buat kacau ganggu. Tidak usah dabik dada, ketika beliau diberi peluang jadi MP Gombak pun tidak ada apa yang beliau boleh buat di Gombak. Dan beliau kata, selalu turun padang. Sebagai rakyat di kawasan Gombak, tahu benar, padang mana yang dia turun? Padang sekolahkah? Ini semua kempen ketika nak pancing undi. Akan tetapi disebabkan dia juga membawa obor 1Malaysia, ada nama Najib, maka bagi pendukung Pakatan Rakyat, mereka akan tolak Raman di Gombak!

PEMBANGUNAN
Di sana-sini orang bercakap tentang pembangunan. Nikmat kemakmuran yang melimpah. Semua ini bukan di tangan manusia. Tetapi kita lupa, asyik sebut semua itu dirasai rakyat kerana Barisan Nasional. Inilah ajaran yang silap. Nikmat atau tidak yang rakyat rasai adalah ujian dari Allah SWT. Akan tetapi kalau pemimpin yang diberi kuasa sebagai khalifah sendiri tidak ada ciri-ciri kekhalifahan maka nikmat akan bertukar menjadi bencana pula. Sekarang di mana-mana orang bercakap bahawa segala apa yang rakyat nikmati sekarang adalah berkat usaha keras para pemimpin UBN. Yang rakyat nampak hanya pada fasa terakhir sebelum parlimen dibubarkan. Ketika itulah pihak yang berada di Pusat menghamburkan duit sesuka hatinya. Penghamburan duit itu kemudian dihebahkan sebagai bukti bahawa rakyat didahulukan. Tengoklah kaum wanita nak berniaga sampai periuk belanga besar pun diagih-agihkan. Banyak mana peniaga wanita yang dapat periuk belanga baru itu? Semua ini hanya untuk "snapshot" bagi paparan media propaganda belaka. Rakyat sudah bulatkan fikiran, Negara mana pun tetap ada pembangunan. Kerajaan mana pun yang memerintah mampu membawa pembangunan jika tidak ada sekatan. Kerajaan negeri yang ada banyak disekat oleh Pusat gara-gara kerajaan yang berlainan. Peruntukan seperti tidak berapa beres. Ketika nak pilihan raya sibuklah semua, seolah-olah tiada hari esok. Semua nak disegerakan hari ini juga. Teringat saya, ada grup UBN datang minta butir peribadi seorang OKU berusia 80-an yang nak minta bantuan baiki rumah. Sudah tiga kali grup "gelombang biru" datang. Alih-alih mereka kata tak ada peruntukan. Menjelang nak bubar parlimen baru-baru ini datang lagi minta butir-butir peribadi OKU tadi. Tidak ada sistem kerja langsung. Atau nak tunjuk lagak sebagai AJK parti kawasan? Sudah tiga kali minta perkara yang sama. Yang itu hari bagaimana bang? Hilanglah! Inilah cara kerja orang Umno peringkat bawahan [rujukan kes di Gombak, KL].
Kalau intai media UBN hari ini mereka dakwa, hanya kerajaan UBN sahaja yang boleh membela kebajikan penduduk di sesebuah kawasan tertentu. Maksudnya, kalau parti lain yang menang pilihan raya, mereka tak tahu nak buat apa. Duduk sahaja selepas menang. Macam ada kes di Nibung Tebal, dia kata sejak menang pilihan raya, pusat khidmat pun tidak dibuka! Ini cerita apa ni? Hakikatnya, pusat khidmat milik UBN sendiri pun banyak yang tak berfungsi. Jangan nak tuduh pihak PR sahaja. Yang tak jenguk kawasan pun ramai. Habis, rumah ada di KL. Bertanding sahaja di kawasan luar bandar. Habis pilihan raya duduk memerap di KL. Ini fenomena biasa. Jangan nak kata orang PR, orang UBN lagi sudah lama amalkan perkara ini. Hanya dulu, orang Melayu tak celik. Tak berani komen. Nak tegur YB pun tak berani. Zaman dulu jawatan Exco pun dah boleh simpan gunung emas. Sekarang? Sejak PR wujud dan semakin kuat, orang yang mengidam gunung dan bukit emas terpaksa berhati-hati! Ini kira sudah baik. Maknanya, PR telah membawa perubahan sikap kebanyakan YB yang ada. Jangan fikir nak bolot harta sahaja. Janji ditepati apa dia? Percayalah, lepas pilihan raya ini kalau UBN menang lagi, janji ditepati itu hanya kata-kata indah yang puitis! Masa ini, ketika kempen, kita tengok semua yang bergelar hebat-hebat sanggup duduk di warung, borak dengan orang kampung, yalah nak pancing undi. Mereka fikir orang kampung ni ikan baung dan siakap mereka? Pancing tu pancinglah. Jangan buat perangai lama. Sudah ada jawatan boleh larikan duit ke Bangladesh pula. Sudah ada jawatan boleh dapat kontrak membekalkan itu dan ini di tempat latihan budak-budak muda. Patutlah mereka hendak sangat adakan pusat latihan untuk belia tu, sebab semuanya duit. Itu lubuk duit yang orang kampung tak tahu! Semua aktiviti adalah lubuk duit.

MAHASISWA
Ada yang kata mahasiswa adalah golongan cerdik. Mereka sudah boleh membezakan yang baik dan buruk.
Tetapi ada orang marah kalau mahasiswa sokong PR. Kenapa? Sebagai golongan cerdik, mereka tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Mereka nampak kebaikan ada pada PR dan keburukan itu bersarang dalam UBN. Kalau mahasiswa sokong PR mereka tidak dipermainkan pun oleh pemimpin pembangkang. Jangan nak kata mereka tidak tahu menilai, atau mereka diperkudakan pembangkang. Habis siapa yang sokong BN pula bagaimana? Adakah mahasiswa yang sokong Umno itu orang cerdik? Sokong PR orang bodoh? Sebenarnya mahasiswa  tidak keliru dalam menerima apa yang ada. Jika mereka cenderung nak sokong PR biarkanlah, jangan kita kata mereka itu diperalat atau tidak reti berfikir. Rasanya, mereka yang condong sangat kepada UBN untuk mencari keselesaan adalah golongan yang tidak reti memilih. Ada orang kata banyak isu yang dimainkan pembangkang [PR] adalah isu bermusim, dan mahasiswa pula terpengaruh dengan isu itu. Dikatakan bermusim kerana sekarang musim kempen nak pilihan raya. Tidak salah mahasiswa atau tenaga pengajar di universiti sokong PR. Begitu juga kalau ada kalangan guru yang cenderung kepada PR -- itu menandakan mereka itu golongan cerdik.

Kalau kita tengok tv yang UBN kontrol hari ini, tidak ada berita yang baik tentang PR. Semuanya dihina, dinista, difitnah dan macam-macam lagi. Paparan ini akhirnya menjadikan rakyat muak. Rakyat mula menjauhkan diri dari propaganda media perdana. Mereka beralih mendengar ceramah. Itu sebabnya ceramah yang dibuat oleh PR mendapat sambutan hangat. Berbeza dengan ceramah UBN, mereka jadi ramai kerana kerahan "tenaga" yang keterlaluan. Semua jentera kerajaan dipergunakan walaupun ia bertentangan dengan peraturan tentang mana yang boleh dan tak boleh bagi sebuah kerajaan sementara?
Tetapi hari ini, kerja menghambur duit, menjanjikan dana sampai ratusan juta masih disebut oleh para pemimpin Pusat walaupun jawatan mereka terumbang-ambing. Kalau mereka kalah dalam pilihan raya kali ini bagaimana nak tunaikan janji itu? Fikirkan masak-masak. Percayalah, mana pihak pun jika diberi peluang menguasai Pusat mereka tahu bagaimana memerintah. Rakyat sudah muak dengan kerajaan UBN. Tidak ada perubahan yang rakyat lihat. Ubah sikit atau serah sikit kepada rakyat, tetapi pemimpin atasan kaut pula yang lebih. Kemudian mereka temberang mengatakan mereka sahaja yang tahu memerintah! Justeru itu MITOS yang mengatakan hanya UBN yang pandai memerintah negara perlu dimusnahkan! []

No comments:

Post a Comment