Monday, 15 April 2013

FITNAH SEKS INDIKASI MORAL SEBENAR

Setiap hari ada sahaja cerita [kes] yang melibatkan persoalan seksual. Kisah seks bukan perkara luar biasa. Ia sudah jadi biasa. Dari peringkat dewasa hingga ke budak sekolah semuanya sudah pandai berwacana tentang seks. Alat perhubungan yang mereka miliki, termasuk kemudahan internet memudahkan mereka mencari bahan kegemaran.
Pendedahan yang terlalu berani menyebabkan pemantauan tidak dapat dikuatkuasakan. Jadi kita biarkan masyarakat kita hanyut dan rosak kerana menyalahgunakan kesucian seks yang telah dijadikan untuk manusia.
Hal yang berkaitan dengan seks ini cukup luas bidangannya.

BUKAN VIDEO SAHAJA
Mungkin ada yang fikir hanya setakat video seks sahaja. Sekiranya kita mahu menjadi negara yang dihormati, kita kena hapuskan kewujudan apa yang dinamakan sebagai video fitnah seks.
Satu akta perlu dikuatkuasakan bagi menghindari permasalahan ini daripada menjadi semakin kalut. Tidak dapat dikawal.
Seseorang yang berminat mengedarkan video seks sekalipun ia merupakan fitnah melulu memberi gambaran bahawa pembawa dan pengikutnya termasuk yang tidak bermoral.
Kegemaran kepada bahan-bahan yang berunsur atau mengandung bahan lucah ia memberi indikasi moral seseorang.
Orang yang sudah biasa menonton dan menyimpan bahan begitu fikirannya asyik terarah kepada persoalan ini sahaja. Apabila memandang sesuatu benda, seseorang yang berjalan atau melihat fesyen pakaian pun boleh menimbulkan keinginan kepada seks.
Kita tidak perlu malu untuk mengatakan bahawa sektor pelacuran kelas kambing adalah pendedahan tentang  seks di kalangan masyarakat kota dan desa.
Dahulu di Kuala Lumpur atau di bandar-bandar besar di seluruh negara, pelacuran adalah perniagaan yang tidak diganggu-gugat oleh pihak berwewenang.
Setiap bandar ada sahaja rumah tumpangan atau hotel yang menyajikan perempuan penghibur bagi kalangan bawahan. Tidak mengira siapa pun orangnya, mereka terdedah kepada seks berbayar ini dengan harga paling murah.

BELAKANG MATI
Siapa yang tidak ingat kepada sektor pelacuran Lorong Haji Taib [KL] yang sering menjadi sebutan itu. Siapa yang tidak ingat sektor pelacuran yang disebut Belakang Mati yang terletak di kawasan Jalan Masjid India itu?
Atau setiap bandar, ada sahaja nama lorong dan jalan yang menjadi tumpuan "jantan" berkumpul untuk mengusik dan mencari-cari "pasangan" yang sesuai.
Filem Melayu hitam putih pada masa silam banyak menggambarkan kehidupan masyarakat bandar yang sebenarnya berkaitan dengan sektor pelacuran.
Hanya, dalam filem ia hanya menyentuh tentang wujudnya perempuan pelayan atau yang sekarang disebut GRO. Dahulu di bandar-bandar besar ada pertunjukan tarian separuh bogel dan diiklankan begitu sahaja tanpa rasa malu.

KABARET
Mungkin orang masih ingat ketika pertumbuhan kabaret dan kelab malam yang tidak terkawal pada masa dulu melahirkan budaya popular kota. Kebetulan BB Park atau Lucky World itu adalah dunia hiburan malam yang ada kaitan secara tak langsung dengan aktiviti pelacuran.
Di negara kita, selain sektor pelacuran dari kalangan pelayan bar, kabaret, kelab malam dan sebagainya, ada juga pelacuran kaum lelaki yang berpakaian perempuan.
Lelaki menjadi perempuan ini sering dijadikan bahan hiburan orang bandar. Padang Kelab Selangor dan kawasan sekitarnya pada tahun 80-an pernah dijadikan sarang para pondan berkeliaran.
Datang secara jantan, dan di situ juga tukar pakaian jadi perempuan siluman.
Di tengah padang yang dulu ada orang main kriket, ia dijadikan ruang pondan mencari pasangan untuk memuaskan nafsu pada waktu malam sampai pagi. Ada juga kalangan lelaki mencari lelaki -- iaitu golongan homoseksual yang pada masa itu masih tidak diketahui orang akan kewujudannya di tengah masyarakat kita.

HOTEL MEWAH
Persoalan seks, tidak habis begitu sahaja. Apabila sektor pelacuran dapat dibanteras, hotel-hotel murah dijadikan sasaran operasi, mereka menukar hala kepada hotel-hotel mewah yang lebih tersorok.
Seorang pengemas bilik di sebuah hotel sederhana memberitahu, di hotel tempat dia kerja memang disediakan beberapa bilik untuk sewaan mengikut jam atau untuk siang sahaja. Perempuan sewaan sudah disediakan di hotel itu.
Sebagai pengemas bilik, menjadi hal biasa dia mengutip kondom dibuang dalam tong sampah atau bersepah atas lantai. Dia sudah mangli kerana itulah kerjanya hari-hari.
Sektor pelacuran walaupun cuba dibanteras ia tidak dapat dimusnahkan begitu sahaja. Ada sahaja jalan untuk mewujudkan bentuk pelacuran tertutup yang orang tak pernah fikirkan.

IKLAN DIRI
Dengan mengiklankan sebagai tukang urut tenaga batin atau urut badan. Seseorang tukang urut akan dihubungi oleh pelanggannya. Dia akan membawa pelanggan balik ke rumahnya di tempat yang tersorok untuk melayani pelanggan. Pelanggan selalunya menurut sahaja apa kehendak tukang urut. Jika pelanggan lelaki dan tukang urut perempuan, ia bukan urutan biasa lagi, tetapi urutan yang benar-benar menjurus kepada hubungan seks.
Kedua, dengan cara mengajak pasangan itu datang ke rumah di tempat yang tidak menimbulkan syak. Selalunya orang yang gemar kepada skandal begini lebih suka menyewa bilik di bangunan rumah kedai di tengah bandar. Penyewa beragama Islam lebih suka mencari lokasi di tengah-tengah kawasan orang bukan Islam kerana mereka rasa lebih selamat. Mereka yang bersekedudukan pun paling ramai di tempat-tempat begini. Hanya tidak ada sesiapa buat laporan atau mengadukan hal itu kepada pihak tertentu.
Ketiga, menjadikan apartment mewah atau kondo sebagai tempat menjalin hubungan tanpa diketahui oleh orang luar. Di sebuah kondo di kawasan Belakong misalnya, menjadi hal biasa penghuni bujang termasuk pelajar dari luar negeri melanggani pelacur tempatan di tempat tinggal mereka. Biasanya maklumat tentang ini diketahui oleh pengawal keselamatan kondo berkenaan. Pemandu teksi juga tahu siapa penumpang yang dibawanya ke kondo itu seminggu sekali.
Saya tak mahu sentuh permainan orang kaya. Permainan kalangan VIP yang berada di mana-mana tempat yang eksklusif dan tersorok. Meski tersorok bagaimanapun, para pemandu selalunya tahu rahsia mereka. Di mana mereka selalu berkunjung dan untuk apa mereka ke situ.
Bagi orang biasa, mereka boleh buat seribu skandal tanpa orang peduli. Berbeza dengan kalangan VIP atau orang politik, pergerakan mereka selalu menjadi intaian. Apatahlagi sekarang orang tengah gila video seks. Jadi awaslah. Jaga perangai dan tingkah-laku. Jangan sesekali berlibur di luar rumah kalau tidak ada aktiviti. Jangan mendedahkan diri kepada aktiviti yang menimbulkan fitnah.
Jamuan meraikan majlis tertentu bersama kedutaan asing, walau nampak biasa, tetapi tingkah-laku VIP kena dikawal. Jangan dedahkan diri kepada perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Sekarang zaman terbuka, malam minggu menari bersama perempuan berambut blonde, malam itu juga gambar akan tersebar satu dunia. Malam itu meneguk minuman panas, esok cerita akan dihebahkan. Malam itu menuju ke kelab eksklusif kaum tertentu, esok cerita panjang berjela tentang apa adanya.
Fitnah seks sudah dijadikan perkara lumrah sekarang. Lama kelamaan orang jadi tidak peduli. Fitnah apa pun orang tidak ambil peduli lagi. Hanya sayangnya fitnah begini selalu mencari sasaran di kalangan orang politik sahaja. Semua orang sudah tahu, skandal tokoh itu dan ini adalah fitnah belaka. Ia adalah cerita rekaan yang juga direka oleh para pemimpin ternama. Bermakna ia memberi indikasi moral sebenar pemimpin yang mencetuskan fitnah itu. []



No comments:

Post a Comment