[Lagi 10 hari nak pilihan raya] Sementara ada yang berserabut membaca laporan di sana-sini tentang fitnah, kempen, pembohongan dan macam-macam lagi berkaitan politik bandar dan kampung, mari kita tengok keanehan manusia di suatu tempat bernama Srandil, Cilacap Jawa Tengah.
Diharap tidak ada sesiapa nak ikut jejak langkah mereka. Kerana ia hanya amalan penghayat kepercayaan di sebuah padepokan yang membuatkan kita melihat kelakuan mereka begitu aneh.
Aneh dalam menanggapi sebuah perigi. Bukan sahaja airnya konon sangat bertuah untuk melunaskan apa hajat pun.
Jangan hajat nak menang pilihan raya pun ambil air perigi ini? Ke sumur ini untuk mendapatkan keberkatan selain ziarah di situ.
Kenapa perlu ziarah ke sumur?
Di dalam perigi itu airnya sangat bertuah. Dikeramatkan orang.
Pengurus padepokan di situ kata, ada 168 sumber mata air yang mengalir ke perigi itu sehingga walau musim kemarau pun airnya tetap ada.
Ambillah banyak mana pun baik untuk cuci muka, mandi, untuk menyembuhkan penyakit, melancarkan jodoh, melancarkan rezeki yang seret -- konon air perigi ini jadi rebutan.
Perigi ini orang panggil Perigi Nini Ragil Kuning.
Gelaran ini memberi maksud Si Nini itu memang anak yang "ragil" dan bergelar Si Kuning [mengikut kefahaman setengah orang].
Sama juga kalau kita sebut Perigi Nenek Si Tunggal Kuning.
Tidak ada pula orang yang tahu mengenai sejarah nama itu.
Siapa tokoh yang dimaksudkan?
Bagaimana boleh dinamakan Nini Ragil Kuning pula?
Di situ ada makluman tercatat: Bagi mereka yang nak ambil air perigi ini elok datang pada hari Khamis Wage.
Orang situ menyebutnya Sumur Kawak.
Apa lagi yang menganehkan di situ?
Nah, perigi yang satu ini merupakan penjara bagi arwah-arwah yang merayau ke hulu-hilir atau mengganggu orang lain.
Dalam masyarakat yang mempunyai kepercayaan begini, arwah gentayangan, arwah penasaran dan bermacam tuduhan sudah menjadi lumrah.
Kenapa arwah begitu penasaran dan gentayangan?
Mereka kata, disebabkan ada seseorang yang mati dalam keadaan tidak sempurna.
Maksudnya, mungkin yang bunuh diri, terjatuh, dibunuh dengan kejam atau berbagai jenayah lain.
Bagi kalangan yang menghayati kepercayaan begitu, setiap ada orang mati, kalau matinya tidak sempurna, iaitu bukan mati sakit tua atau mati kerana sakit lain, maka konon arwah si mati akan merayau-rayau tak tentu hala.
Tahu keadaan arwah
Mungkin orang akan bertanya, bagaimana mereka boleh tahu ada arwah merayau-rayau masuk kampung dan ketuk rumah orang? Atau, memang sudah jadi gosip kampung, ada tukang sibuk mengatakan itu dan ini tentang arwah itu.
Di perigi yang dikeramatkan itu ada sebuah padepokan.
Setiap hari ada sahaja orang menziarahi perigi itu. Bagi yang "mengetahui" arwah sanak saudaranya telah dipenjarakan dalam sumur itu maka mereka datang ke situ seolah-olah ziarah kubur juga. Tetapi di perigi itu mereka ngalap berkah -- atau mengharap mendapat keberkahan; mereka duduk mendoakan arwah saudara-mara mereka yang dipenjarakan di situ.
Ruang penempatan
Keanehan atau mitos yang terjadi di perigi ini adalah wujudnya kepercayaan terhadap penjara si mati. Ia seolah-olah satu ruang lain yang dicipta manusia untuk menempatkan arwah yang penasaran. Bagaimana mereka boleh tahu arwah itu begitu dan begini? Ini juga suatu keanehan bagi kita yang berada di luar masyarakat penghayat kepercayaan sedemikian.
Dekat perigi itu diletakkan altar.
Di situ ada buah-buahan, ada bunga berbagai jenis, ada colok atau bakaran colok mahupun setanggi. Mereka yang datang akan duduk bersila dan berdoa di situ.
Di atas altar itu orang boleh letakkan sesaji yang dibawa. Tak kiralah apa pun.
Menariknya di situ ada semacam penandaan lokasi atau "kimsim" yang dikaitkan dengan Ratu Kidul, Kaki Semar [watak wayang kulit Semar ada kaitan Gunung Merapi] dan Prabu Brawijaya.
Kelegaan rekaan
Yang menguruskan perigi itu kata, ia dibuat begitu bagi memberikan rasa lega kepada keluarga si mati. Lagipun di dalam dunia kepercayaan mereka, setiap orang yang mati arwahnya berada dalam keadaan tidak sempurna. Jadi penyempurnaan itu perlu dilakukan dengan mengadakan ritual tertentu.
Sudah tentu ritual ini mengikut kepercayaan mereka. Penjara yang dimaksudkan bukanlah dengan menyediakan jeriji besi agar arwah tidak lari.
Bukan itu caranya, ia hanya pengibaratan. Jika arwah tidak menganggu orang kampung dan keluarga si mati, maka ia dianggap sudah dipenjarakan.
Di dalam kelompok masyarakat yang percaya kepada benda-benda mistik dan karut, mereka anggap setiap ada kematian, arwah si mati akan berkeliaran mengganggu orang.
Kalau dia mati tidak sempurna seperti, sudahlah dirogol dicekik pula, maka arwah akan marah-marah kerana kematiannya seperti dipaksakan.
Begitulah keyakinan mereka. Dalam perkara ini golongan berilmu tidak mendekati perigi apa lagi padepokan yang menyemarakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.
Ketika golongan penghayat kepercayaan ini melakukan ziarah, bukan tidak ada golongan yang berada di luar lingkungan sibuk mendapatkan air perigi kerana terpengaruh dengan kelakuan orang lain. Inilah yang dinamakan ikut-ikutan. Begitulah salah satu keanehan yang dikaitkan dengan perigi dan kematian. []
No comments:
Post a Comment