Ada risalah berukuran tabloid empat halaman berkepalakan UMMAH, berlatarkan hijau, di sudut kanan ada maksud ayat al-Quran: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." [al-Hujurat: 10].
Risalah ini sudah beberapa minggu terselit di rak-rak masjid. Pernah tengok-tengok dan kemudian letak semula. Akhirnya saya ambil juga, kerana itulah yang tinggal. Tidak tahu apakah risalah itu orang baca atau ada orang buang. Ada yang baca dan memahami kandungannya, dan ada yang tak faham pun. Kebanyakannya tak faham kerana UMMAH diterbitkan bagi tujuan "membantai" Pakatan Rakyat.
Terus terang dikatakan begitu, sebab semua tulisan yang dipaparkan di dalam risalah ini menyebabkan orang boleh meneka, siapakah gerangannya yang "berani" menerbitkan risalah tanpa nama penerbitnya itu. Entah NGO mana atau persatuan apa pun orang tak tahu.
HALAMAN 1
Ada paparan dua lelaki berciuman bagi tajuk "Berjinak dengan homoseks" -- tetapi gambar yang dipaparkan adalah perkahwinan anak Melayu bertanjak dan berpakaian Melayu, berciuman dengan pasangannya seorang lelaki Inggeris. Ia tidak ada kaitan dengan Malaysia, sungguhpun dia anak Melayu.
Di bawahnya dipaparkan maksud surah al-A'raf: 81-82 yang menyentuh tentang hubungan sejenis di zaman Nabi Luth a.s.
Risalah itu buat komentar begini:
"Kerana terlampau kemaruk undi bukan Islam, pemimpin mentah politik mula menonjolkan Islam moden mengikut kehendak politik mereka sendiri. Ajaran al-Quran tidak dipakai lagi. Suara-suara sumbang mula dilayani demi menunjukkan bagaimana liberalnya mereka supaya mendapat undi kafir."
Siapa yang mereka maksudkan?
Golongan manakah yang kemaruk dengan undi bukan Islam? Pemimpin mentah yang menonjolkan Islam mengikut kehendak politik mereka sendiri?
Berpandangan liberal untuk dapatkan undi pihak bukan Islam.
Mungkin UMMAH hendak menegur pemimpin Pakatan Rakyat, tetapi UMMAH lupa bahawa dia juga menegur pucuk pimpinan UMNO dan BN yang turut melakukan perbuatan yang sama. Nak tembak ke kanan, kiri pun kena juga.
Atau UMMAH hanya memandang ke arah Pakatan Rakyat sahaja? Paparan dalam risalah ini menggambarkan kebencian yang bukan kepalang terhadap kelompok yang tidak sealiran dengan UMMAH. Kelompok yang berada dalam UMMAH dianggap mereka yang berada dalam posisi yang benar.
Kemudian dalam halaman yang sama, dipaparkan tentang isu murtad. Isu yang sudah lama diperkatakan, dan penulis ingat bagaimana Zul Kulim pernah bercakap tentang isu ini di Masjid Jamek LRT Kuala Lumpur, selepas pecah reformasi lagi, dia masih dalam Pakatan Rakyat. Dia kini, walaupun sudah berada di luar kandang PR, dia masih bercakap tentang isu murtad lagi dengan versi lain.
UMMAH memaparkan gambar pemimpin Pakatan Rakyat yang menghadiri upacara keagamaan di kalangan bukan Islam. Dalam kes ini agaknya merujuk kepada kehadiran pemimpin itu di acara yang sedemikian.
Sayangnya, UMMAH tidak berani pun memaparkan gambar pemimpin tertinggi UBN menghadiri majlis yang serupa di kawasan peribadatan di Batu Caves tidak lama dulu, kenapa?
HALAMAN 2
Yang dipaparkan adalah tentang "Isu kalimah Allah". Risalah itu kata, ia adalah agenda licik melemahkan Melayu dan Islam. Kemudian turut menasihati umat Islam jangan sampai syirik. Rencana yang bertajukkan bab syirik itu seperti kempen politik. Maksudnya undilah kerajaan yang berkuasa sekarang, dan tak perlu undi golongan yang mengamalkan kesyirikan, golongan yang amal liberal, pluralisme dan isu berkaitan dengan Kristianisasi. Orang Islam diingatkan ada empat bahaya yang merosakkan umat Islam, iaitu:
1. Bahaya pemimpin munafik -- pemimpin mana yang munafik? Kalau UMMAH anggap pemimpin PR itu munafik, bagaimana pemimpin dalam UBN dan pemimpin dalam NGO yang senada dengannya?
2. Bahaya pengikut yang jahil dan taksub -- maksudnya pengikut yang jahil dan taksub terhadap UBN juga bahaya, begitu juga yang taksub terhadap pemimpin NGO yang ada, dan tidak bolehlah nak kata bahaya hanya kerana taksub kepada PR.
3. Bahaya ideologi moden yang songsang -- ideologi apa yang songsang? Demokrasi itu sendiri adalah ideologi yang songsang, tetapi tidak ada pilihan lain, kena ikut juga. Apakah ideologi sempurna yang UMMAH terapkan untuk gerakannya dan umat yang lain?
4. Bahayanya indoktrinisasi badan-badan NGO -- yang ini mengelirukan. Ada banyak NGO, dan mungkin UMMAH sendiri adalah lahir dari sebuah NGO atau simpatisan kepada NGO tertentu berdasarkan isu yang diutarakan masih berlegar kepada homoseks, murtad dan isu nama Allah. Jadi hal ini kena batang hidung sendiri pula.
HALAMAN 3
Nasib Islam di negara kafir. Halaman ini memaparkan gambar yang dipetik dari insiden yang pernah terjadi di Thailand, China, Mynmar dan India. Mungkin tidak ada idea lain yang hendak disendalkan, paparan itu sahaja sudah penuh satu halaman.
HALAMAN 4
Ia fokus kepada isu Lahad Datu. UMMAH kata ummah bersengketa akibat nafsu tiga puak yang jatuh bangsat. Sayangnya paparan masih berselindung, tak berani nak sebut puak mana yang dikatakan bernafsu jahat itu. Setelah membantai pihak Moro, pihak Sulu, ada pihak ketiga yang tidak ada kait mengait langsung, pihak ketiga itu tidak lain adalah Anwar Ibrahim.
UMMAH tidak berani sebut namanya, tetapi dia kata tokoh ini menjadi idola bangsa Moro semasa dia dalam kerajaan. Tak sebut kerajaan mana? Tetapi kita tahu tentulah BN. Yang UMMAH nak kenen katanya sampai sekarang, yakni sehingga risalah itu siap cetak, pihak ketiga ini belum bersuara mengutuk pencerobohan orang luar terhadap tanah air sendiri.
Hanya tidak mengutuk senada pemimpin BN maka dituduh yang bukan-bukan. Tak mengutuk pun bukanlah satu dosa. Nak kutuk bagaimana, media tak akan siarkan kutukan itu sebab ia senada dengan pemimpin BN.
Dalam halaman ini juga dipaparkan gambar orang sedang sujud tapi tidak berkepala, seolah-olah sudah kena penggal. Apa ertinya?
Dia kata, "Jangan menyorok di belakang agama."
Kata-kata ingatan ini memang sesuai benar dengan risalah UMMAH yang telah menyorokkan kepalanya bagai burung unta. Buktinya, UMMAH diterbitkan tanpa diketahui siapa penulisnya. Siapa yang menyorok di belakang agama? Nasib baik risalah itu banyak yang masuk tong sampah di masjid berkenaan.
Ini sekadar pandangan peribadi setelah mengamati risalah 4 halaman itu.
Setelah mengajak orang beriman bersaudara, dan disuruh berdamai, di dalam risalah itu menyuruh mereka berseteru pula. Inilah yang dinamakan menyorok di belakang agama. Siapa yang menyorok sekarang? Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment