Wednesday, 24 April 2013

IMAM MUDA MASJID DAPAT SURAT LAYANG GARA-GARA TAZKIRAH

ORANG Melayu masih ramai yang tak faham tentang Islam. Betullah kata para pentazkirah di mana-mana pun. Kita hanya faham Islam setakat luaran sahaja, ada solat Jumaat, ada puasa, ada uruzan jenazah dan nikah. Itu sahaja yang kebanyakan orang tahu. Lebih dari itu, mereka tak nak ambil tahu, atau sengaja mengelak jangan belajar lebih-lebih, nanti jadi tahu semua. Jahil lebih baik. Maka di sana-sini orang Melayu memang suka hidup dalam kejahilan.
Mereka seolah-olah mahu biarlah orang Melayu hidup macam keadaan dulu. Tak payah tazkirah lebih-lebih. Membosankan. Solat Jumaat seminggu sekali sudah cukup. Solat harian buatlah di rumah. Solat juga. Pada mereka solat berjemaah itu siapa yang nak buat, buatlah.
Kefahaman orang Melayu terhadap Islam memang setakat itu sahaja. Bagi orang Melayu yang tidak pedulikan agama, mereka anggap keadaan kehidupan sebagai Muslim sudah memadai setakat itu sahaja. Mereka tidak suka dengar tazkirah. Kutbah pun kalau boleh biarlah penuh dengan slogan seperti yang biasa dilihat melalui televisyen di rumah.
Ada nyanyian, ada tarian, drama cerita orang kaya, cerita usahawan Melayu berjaya dan cerita Melayu berdengkian.
Apabila ada ustaz yang juga secara kebetulan imam muda masjid di situ bagi tazkirah, maka beberapa orang AJK Masjid berkenaan sakit telinga.
AJK yang memang gemar naik sampan di kawasan gelombang biru tidak suka tazkirah yang mengupas hadis tentang kaedah memilih pemimpin. Kalau boleh janganlah dikupas dalam-dalam. Sebut sekali imbas sudahlah jangan nak diterangkan satu persatu. Pedih telinga mendengarnya.
Itu cerita dua minggu lepas. Dan pada minggu lepas, disebabkan tajuk kutbah biasa sahaja, saya solat di masjid itu. Hanya kalau kutbah itu nadanya lain, saya lebih suka pergi ke Masjid Pakistani, Chow Kit KL. Di sana rasa aman dan tenang jiwa dibuatnya.
Di masjid yang berdekatan rumah, ada pantangannya. Janganlah bagi tazkirah yang menyentuh soal memilih pemimpin, sekalipun itu hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam. Kalau ada ayat Quran yang bersangkutan pun, tolong ya, jangan dibacakan dan diterjemahkan untuk tazkirah hari Jumaat.
Tadi, ustaz yang juga imam muda masjid berkenaan kita undang bagi tazkirah di sebuah surau kecik. Jemaah tak ramai mana pun. Ustaz ini kita beri lampu hijau buatlah kupasan apa hadis atau ayat al-Quran apa pun, kita terima. Lagipun surau kita ini bukan ada pengaruh gelombang biru pun.
Sudah menjadi kebiasaan, pengayuh perahu di kawasan gelombang biru memang tidak gemar hadir ke majlis tazkirah begitu. Mereka hanya suka hadir kalau ada Maulidul Rasul, pakai baju Melayu sedondon, arak sepanduk, siap berselawat dan berarak keliling kampung. Itu dianggap sudah maha sempurna. Ia mengikut ajaran daripada pihak yang di sana.
Mereka juga hanya suka kalau ada solat terawih di bulan puasa. Sibuklah para AJK Masjid ini. Begitu juga kalau tiba masa nak korbankan lembu. Semua tunjuk muka. Siap ambil gambar, mengalahkan jurufoto akhbar. Sayangnya, blog masjid macam itu juga, tak ada pembaharuan.
Tadi, ustaz dari masjid ini beritahu jemaah, dia sudah dapat surat layang dari seseorang yang tidak diketahui siapa.
Tidak mungkin para jemaah yang hantar. Lagipun masjid yang kita sebut ini ramai jemaah keturunan Bangladeshi, Pakistani, Arab, dari Afrika dan sebagainya.
Kira hebatlah jemaah yang mendengar tazkirah kontot itu kalau dia boleh tangkap apa bahan yang ustaz terangkan. Maksudnya, bukan dia nak terima ilmu yang disyarahkan, sebaliknya tidak setuju. Apa ni? Jangan cerita politik dalam masjid. Inilah fahaman sekularisme yang telah ditanamkan lama di kalangan masyarakat Melayu.
Mereka yang tidak tahu apa akan anggap fatwa itu betul. Jangan wacanakan hal politik dalam masjid. Kalau begitu bagaimana ustaz hendak terangkan apa sahaja perkara yang berkaitan dengan bab memilih pemimpin, ketaatan kepada pemimpin kalau tidak menyebutkan nasnya sekali.
Surat layang itu sudah diagak ia datangnya dari puak gelombang biru. Sampai bila pun puak ini tidak mahu menerima pencerahan sebagaimana pemimpin atasannya juga.
Kawan-kawan jemaah beritahu ustaz muda, teruskan bagi tazkirah yang begitu rupa. Saya katakan, kalau Masjid Jamek LRT Kuala Lumpur sudah buka, tazkirah politik mesti diutamakan, nak pilihan raya tak kan cerita politik tak boleh?
Begitu juga ketika saya hadiri kuliah di Perkim, semua ustaz bicara tentang pilihan raya. Mood sudah ke situ sekarang. Mana-mana pun orang cakap tentang memilih pemimpin. Kalau tak betul nanti kita akan ditanya di akhirat. Kita subahat dengan pemimpin yang telah kita undi, yang telah kita pilih. Pemimpin yang adil itulah yang kita mahukan.
Agaknya, disebabkan AJK masjid itu pengecut, atau hanya nak tunjuk lagak kebiruan, dia hanya setakat hantar surat layang. Nasihatkan ustaz agar jangan cerita bab politik lagi. Ceritalah bab sejarah Nabi-Nabi atau sejarah para sahabat. Habis kalau kena bab tentang siyasah bagaimana nak cerita? Lompatlah, jangan sentuh sangat.
Pening! Maka ustaz yang nak bagi tazkirah kena tengok dulu siapa audiennya. Gelombang biru atau gelombang hijau. Gelombang biru muda tak ada hal. Sebagai seorang ustaz dia kena sampaikan ilmu tentang politik. Tidak perlu layan kehendak AJK yang tidak tahu apa. Sudahlah jenguk masjid seminggu sekali, atau ketika ada upacara macam Maulud Nabi, korban lembu atau penyampaian sumbangan untuk anak yatim, ada ucapan politik, siap lambang politik dibawa masuk masjid.
Patutlah masjid itu tidak ramai jemaahnya. Hanya ada satu saf. Itupun tak penuh. Yang datang muka-muka itu juga. Muka AJK tenggelam timbul, bahkan langsung tak ada pun!
Jadi kepada ustaz muda tadi, kami bagi semangat agar teruskan berwacana berdasarkan ilmu. Biarlah gelombang biru sakit telinga. Apabila mereka sudah "terhantuk" nanti barulah rajin nak ikuti majlis ilmu. []

No comments:

Post a Comment