Sunday, 7 April 2013

SEKARANG DAH TAHU SAPA PUNYA ANGKARA!

SATU kaedah untuk menjatuhkan seseorang, carilah kawan-kawan yang rapat dengannya. Dalam perkara politik Melayu yang kotor ini, kawan atau saudara sanggup campak tepi asalkan "perjuangan" dapat diteruskan.
Siapa yang mencetuskan idea busuk ini kepada umat Melayu Islam? Ada tokoh di belakang tabirnya. Tokoh inilah yang menggerakkan pemikiran Melayu agar membenci seseorang yang sudah diprojeksikan oleh media.
Media mempunyai kekuatan kerana masyarakat luar yang tidak bekerja dengan media akan mempercayai seratus peratus apa yang dipaparkan dalam media meskipun ia hanya ghibah rekaan, syubhat yang tidak meberi manfaat kepada umat.
Apakan daya, segala fitnah, segala macam rekayasa kalau ia didalangi oleh pembesar atasan, maka ia dengan mudah melebar di kalangan umat.
Menjelang pilihan raya sekarang, kita mendapat tahu bahawa media utama Umno-Barisan Nasional [seterusnya UBN] menggunakan media sebagai alat untuk menembak musuh politik mereka.
Seperkara yang menghairankan, sejak pecahnya reformasi di tanah air kita, sejak zaman pentadbiran Dr.Mahathir, negara terus kecoh dengan berbagai skandal rekaan yang kemudian diabsahkan oleh aparat yang ada.
Maka rakyat terbuai dengan cerita yang dipaparkan oleh media, kepercayaan begitu tinggi, seolah-olah setiap baris yang diberitakan, yang dilaporkan itu benar-benar wujud. Tidak tergambar di kalangan pembaca di luar bandar sana bagaimana sesebuah berita itu boleh diputarbelitkan, boleh dipinda, diulas panjang lebar dan disiarkan berulang-ulang melalui media televisyen, kebetulan rakyat Malaysia masih tidak faham akan bahayanya media televisyen yang ada di sudut rumah atau di ruang tamu kita.
Tokoh utama dalam UBN menggunakan orang rapat, rakan seperjuangan sebagai alat untuk membunuh karakter seseorang.
Dalam kes ini sudah banyak kali usaha untuk membunuh karakter Anwar Ibrahim dilakukan oleh pihak atasan dan pertengahan, tidak termasuk bawahan yang menjadi balacinya.
Jelas, apabila bocornya minit mesyuarat yang menggambarkan kerendahan akhlak dan mentaliti mereka itu, bahawa ilmu boleh direndahkan begitu teruk sehingga menimbulkan tanggapan bahawa masyarakat di luar sana tidak perlu berlebihan terhadap golongan yang ada PhD.
Nampaknya dunia ini telah melekakan sebahagian orang. Entah apa yang mereka hendak cari. Apakah pangkat besar, gelaran, sanjungan, atau wang ringgit sekalipun ia diperoleh dengan kaedah yang tidak bersih. Bagaimana hendak dikata bersih kalau wang diperoleh bagi tujuan mencipta berbagai fitnah.
Inilah asuhan terbaik yang telah dilakukan oleh pemimpin Melayu sejak akhir-akhir ini. Pemimpin Melayu tidak tahu bagaimana hendak berjuang dengan politiknya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja meskipun orang-orang suruhan untuk menjatuhkan lawan.
Di Malaysia ini amat memelikkan. Watak Anwar Ibrahim masih bermain dalam sandiwara politik. Pementasan politik kita dengan berbagai sutradara, berbagai skrip yang ada, semuanya bertendensikan menjatuhkan lawan. Mereka hanya ingin melihat Anwar Ibrahim menyebah kalah, duduk diam dan jangan aktif dalam politik.
Kalau begini matlamat politik yang diwacanakan di mana-mana, apa gunanya mengeluarkan berbagai agenda dalam manifesto yang dikatakan untuk memakmurkan rakyatnya?
Perjuangan dalam politik Melayu kita hari ini adalah perjuangan yang kalau nak dikatakan nasionalis, jauh sekali, nak dikatakan Islamis pun tidak. Apakah anda sanggup mengaku diri seorang pejuang Islam nasionalis kalau matlamat perjuangan anda menjatuhkan seorang tokoh sahaja. Di mana dasar sebenar hendak membangunkan negara?
Sekarang orang akan bertanya, apa matlamat politik mereka? Nak jatuhkan Anwar seorang atau hendak membangunkan negara?
Jelas, pihak musuh Pakatan Rakyat sekarang sanggup melakukan berbagai perkara pelik yang membuatkan orang anggap ia pemikiran politik ke belakang. Politik mengundur yang tidak memberi manfaat kepada umat Melayu.
Di katakan menjelang nak pilihan raya ini, mereka bimbang kalau saman-saman yang dibuat oleh Anwar memberi kemenangan kepada tokoh yang dimusuhi ini. Mereka kalau boleh nak nasihatkan pihak tertentu menangguhkan keputusan yang ada. Kalau Anwar menang saman ke atas individu atau pihak akhbar tertentu ia akan menaikkan imej Anwar.
Kemudian ada pula yang mencadangkan agar media tempatan tidak menyiarkan langsung kes-kes kematian yang "luar biasa" di kalangan orang India. Habis apa peranan media kalau tidak melaporkan cerita yang sebenar? Atau media diminta memutar-belitkan fakta.
Mereka juga beragenda untuk mengganggu ceramah Pakatan Rakyat, ganggu pergerakan bas dan trelar yang ada.
Tidak cukup dengan itu, menjelang nak pilihan raya ini, lahirlah blog-blog yang diupah semata-mata untuk menghina, mencari, memfitnah dan segudang penghinaan dilemparkan kepada Anwar seorang. Tidak cukup dengan itu mereka merekayasa video seks lagi, dan khabarnya lebih baik dibikin dan disutradarai di luar negeri. Terbukti, Nurul Izzah pun jadi pelakonnya.
Semua tipu muslihat mereka sudah bocor. Ia tidak boleh disorokkan lagi. Malah tokoh-tokoh yang terlibat dengan pertemuan bagi menjatuhkan Anwar dengan kaedah yang jijik ini telah "mencampakkan" ilmunya ke dalam longkang.
Ini strategi untuk menghumbankan Anwar. Yang mereka hairan, berbagai cadangan telah dibuat untuk menyaingi watak Anwar di mata dunia Islam. Maka dicadangkan agar pemimpin umat Melayu [?] dicadangkan agar pergi ke Palestin, tonjolkan diri sebagai tokoh hebat di Filipina, selatan Thai dan sebagainya. Apa matlamatnya? Konon dapat menyaingi ketokohan Anwar.
Selain "melatih" para blogger muda untuk mencacai apa sahaja bagi memburukkan Anwar, mereka juga turut menggunakan kaum guru, kaum guru yang ada kaitan dengan Mara diberi penerangan tentang keburukan Anwar.
Sudah tentu kalau ada perjumpaan bersama orang-orang ABIM, mereka yang tahu agenda perjumpaan itu akan keluar dewan. Kalau sekadar hendak bincang mengenai keburukan seorang tokoh dan bagaimana menjatuhkan tokoh itu, mesyuarat di gerai pun boleh, apa guna menggunakan istilah cendekiawan Melayu dan macam-macam jenama.
Cuba semak, apakah pihak Pakatan Rakyat atau grup pemikirnya pernah mengadakan perjumpaan bagi mencari kaedah bagaimana nak humbankan tokoh utama dalam UBN? Tidak ada. Para blogger persendirian  ini tidak ada siapa menajanya. Bahkan yang menyedihkan, ada blogger yang berpihak kepada UBN dan telah disaman pun, masih aktif meneruskan perjuangannya mereka dengan tenang dan gembira. Kenapa? Mungkin golongan ini ada imuniti dalam agenda menjatuhkan seseorang tokoh.
Apabila tokoh kanan yang diberi gaji lumayan hanya diberi tugas untuk menjatuhkan seseorang, ia membuktikan betapa hebat tokoh yang hendak dijatuhkan itu. Berbagai kaedah dan cara yang mereka fikirkan, bahkan konon Mbah Mahathir pun dipanggil untuk mendapatkan ilmu darinya.
Dalam diam-diam Mbah Mahathir sudah dipertokohkan sebagai pakar dalam strategi menjatuhkan lawan. Jika dikatakan dia pakar, dia masih belum pakar kerana strateginya makan tuan.
Masa terus bergulir, tokoh yang hendak dijatuhkan semakin naik dan naik. Inilah yang membimbangkan para dukun dan Mbah-Mbah yang sering mengadakan mesyuarat sulit.
Tidak ada mesyuarat yang sebaik ini, hanya membincangkan bagaimana hendak menjatuhkan sang tokoh. Langsung tidak peduli dengan soal keselamatan negara, langsung tidak peduli dengan masalah rakyat marhaen, rakyat gelandangan tak punya rumah, mereka masih seronok bermesyuarat di dewan dingin hanya untuk menjatuhkan seorang tokoh.
Inilah yang dikatakan perjuangan Melayu lawan Melayu. Melayu anti Melayu. Melayu hancurkan Melayu. Semua ini sudah ditanamkan dalam perjuangan UBN sejak sekian lama. Dan dalam strategi perang mereka, mereka sentiasa memujuk agar pihak musuh menyebelahi mereka.
Ketika hampir hari mengundi nanti, akan berlaku kejutan. Sandiwara lama yang berulangan lagi. Tokoh sekian dan sekian isytihar diri menyertai UBN atau BN. Lampu kamera pun berterabungan. Esok muka depan akhbar utama, siaran televisyen tidak usah kira lagilah. Hinggakan orang kampung tutup televisyen tak mahu tengok lagi. Bahkan kalau kaedah Islami bagi menentang kemasukan syaitan dalam rumah, televisyen perlu diawasi. Ia melahirkan kebencian, dendam, hasutan, hiburan melekakan, rasa jenuh baca al-Qur'an, rasa terhibur nonton acara muzik dan nyanyian. Mereka menghukum mubah. Tetapi berapa ramai yang lalai oleh peti mati yang tidak berguna itu?
Dan televisyen inilah yang dijadikan saluran untuk memburukkan lawan politik. Jika mesyuarat sulit mereka itu memang merancang untuk bikin filem seks terbaru, kita umat Melayu mengalu-alukan. Biarlah generasi muda kita terus bejat kerana golongan yang berilmu, golongan yang berada di menara gading pun ikut sama bermain lumpur syubhat.
Kini kita sudah tahu, gangsterisme ketika ceramah Anwar di mana-mana, kehadiran pihak yang semacam Perkasa atau grup lainnya, ia adalah rancangan sulit yang mereka gerakkan hanya semata-mata hendak melupuskan nama Anwar Ibrahim dari peta politik negara. Mampukah mereka? Dengan berkat istiqamah dalam perjuangan dan tidak terikut-ikut dengan rentak bodoh mereka, insya-Allah kemenangan akan berada di sisi kita. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment