Inilah kaedah politik cara Melayu, mungkin hanya ada di tempat kita sahaja. Lain negeri, lain pula caranya. Untuk menyaingi parti lawan:
[1]. Biarkan lawan pacak bendera sebanyak mana dan di tempat mana pun yang mereka suka termasuk di tengah jalan raya pun.
[2]. Biarkan pihak lawan keluarkan manifesto panjang berjela, siap masuk tv dan akhbar perdana, siap ulasan dari pakar-pakar perbidanan dan pakar haiwan, biarkan.
[3]. Biarkan pihak lawan bercakap semahu-mahunya. Kita catat apa yang dia bicarakan.
[4]. Biarkan pihak merencanakan itu dan ini, kerana inilah masanya nak tabur janji -- nama pun kempen pilihan raya, nak memancing undi ikan rakyat, bagi umpan cacing atau ulat yang masih hidup.
[5]. Biarkan pihak lawan keluarkan jurus dan apa sahaja seni mempertahankan diri untuk ganggu ceramah -- lagipun kacau ganggu macam itu hanya ada pada masyarakat purba sahaja.
[6]. Biarkan pihak lawan keluarkan video bersiri, cerita lucah. Lagipun ia adalah salah satu produk dalam seni perfileman tempatan yang boleh dikategorikan dalam "filem pendek lagi pendek." Mungkin anugerah filem pendek yang paling dahsyat akan diwujudkan [mana tau?]
[7]. Biarkan pihak lawan nak turunkan itu dan ini. Lagipun sekarang ramai orang tinggal di bangunan tinggi-tinggi, yang duduk di tingkat atas akan turun juga. Apabila semuanya diturunkan, cerdik pandai dalam bidang yang tak kena mengena akan membuat analisis terperinci, terkini dan paling jitu analisis mereka.
[8]. Biarkan pihak lawan menggunakan televisyen, radio dan segala-galanya. Kita gunakan media ceramah, turun ke padang, turun ke halaman untuk menerangkan dasar-dasar parti dan perjuangan rakyat yang sebenar.
Maka bagaimana tindakan balas pihak yang satu lagi?
[1]. Pacakan bendera sebagai timbal balas lebih selesa, mungkin berada di barisan lebih depan lagi sehingga menutupi bendera lawan, jangan letak tengah jalan raya, itu kerja gila.
[2]. Biar mereka buat manifesto panjang berjela, lagipun sebuah kerajaan yang hebat, nama tersohor di seluruh dunia kecuali di kutub bahagian utara dan selatan -- kalau manifesto pendek kontot, maka rakyat yang suka panjang-panjang tentu mengeluh. Kenapa manifesto jadi panjang? Ya, mereka banyak merujuk manifesto yang pendek dan jitu itu. Itulah rujukan pakar-pakar mereka.
[3]. Setelah lawan berhenti bercakap, kita pula bercakap, kita balas balik apa yang mereka kata. Habis cerita.
[4]. Tabur cerita tak apa. Tidak semua orang nak kutip benda yang sudah ditabur. Ikan-ikan politik hari ini tidak suka cacing dan ulat jenis lama, mereka nak rasa yang baru punya.
[5]. Zaman berpencak silat sudah berlalu. Kerana seni mempertahankan diri itu adalah seni untuk mempertahankan diri dan bukan untuk menyergah dan melawan tak tentu fasal! Adat Melayu dan budaya Melayu kena jaga -- jurus-jurus tak berguna kalau lawan sedang berceramah. Ceramah lawan ceramah. Nak bersilat pergilah ke gelanggang.
[6]. Bahagian ini melahirkan bakat-bakat terpendam atas nama seni untuk seni, dan seni untuk politik.
[7]. Apabila semua harga barang nak diturunkan, alhamdulillah. Kita nak tengok harga gula 35 sen atau harga petrol 65 sen. Dan diharapkan gaji juga diturunkan semula agar tidak ada rasa iri hati kalangan gelandangan dan para pemulung yang bertebaran di segenap penjuru kota.
[8]. Orang sekarang tak macam dulu. Kalau mereka tak suka "orang itu" jalan terbaik tukar saluran. Atau tutup terus. Start motor pergi mancing atau sembang di warung. Tapi, lebih baik bersila di surau atau masjid tunggu waktu solat. Tv temberang apa pun dia tak tahu.
Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment