Tuesday, 2 April 2013

ANCAK, SANGKAK DAN SANGGU -- NAMA PELIK YANG ORANG LUPA

Kalau mengikut kamus, ancak itu adalah bekas tempat menyajikan barang-barang untuk makhluk halus. Ia diperbuat daripada anyaman buluh ataupun daun pisang yang diisikan pulut kuning, bertih, ketupat dan sebagainya sebagai jamuan untuk makhluk halus.
Jamuan atau di Jawa sana disebut sajen maksudnya untuk menjamu jin dan keturunannya, atau jin penjaga kampung [danhyang] agar tidak mengganggu anak cucu dan penduduk kampung. Biasanya sajen ini diberikan setahun sekali.
Sangkak pula diperbuat daripada anyaman buluh juga tetapi dengan syarat tertentu. Di dalam sangkak itu diletakkan sajian ayam panggang atau pulut kuning dan bertih.
Sajian itu bukan untuk manusia, tetapi untuk makhluk halus yang kita tidak nampak. Kalau jin yang kita maksudkan tidak datang memakan sajian itu mungkin jin lain pula yang enjoy menyantap makanan itu tanpa diketahui langsung oleh penyangkak [pemilik sangkak].
Selain itu diletakkan bara kemenyan agar asapnya mewangikan kawasan sekitar, bagi maksud mengundang jin-jin itu santap.
Sangkak perlu diletakkan di dalam rumah tempat upacara atau di luar rumah, terutama kawasan pinggir kampung.
Setelah diletakkan di situ, kena baca mantera dan jampi serapah mengikut apa tujuan letak sangkak di situ. Jika telah membuat sangkak atau ancak, amatlah janggal seandainya pengupacara membacakan doa-doa yang Islami kerana perbuatan membuat sajen itu sendiri sudah tidak berpadanan dengan doa yang dilantunkan.
Sanggu pula maksudnya bekas yang diperbuat dari upih pinang ataupun seludang kelapa. Pastikan upih atau seludang itu gugur sendiri dalam keadaan tercacak pada pangkal pokok dan kena ambil benda itu pada waktu senja.
Ketika orang bersiap nak solat maghrib, si fulan menunggu upih atau seludang jatuh dalam posisi begitu. Ini satu syarat yang sukar dipenuhi sebenarnya.
Kemudian benda-benda yang hendak diletakkan dalam sanggu  perlu dikerjakan pada waktu tengah malam [pukul 12.00 malam].
Apa yang diletakkan dalamnya? Sudah tentu pulut kuning, ayam panggang, bertih, beras kunyit dan sirih pinang.
Ada lagi, disebabkan upih atau seludang itu sedemikian rupa, ia sesuai untuk dijadikan sampan mainan. Maka, selain ayam dan pulut tadi, pacakkan tiang layar dan layar sekali. Lilin dinyalakan dan letakkan di belakang sanggu. Layarkan sanggu itu ke air.
Siapa agaknya yang akan makan sajian itu? Mungkin biawak sungai yang membaham ayam panggang itu. Orang lapar bagaimana pun tidak berani makan pulut kuning dan ayam panggang sajian. Kalau mereka makan juga merekalah yang jadi jin sebenar.
Si fulan kena mengadap ke arah matahari terbit, bakar kemenyan biarkan asapnya naik berkepulan macam ubat pengusir nyamuk, bacakan mantera atau jampi-jampi yang dipelajari.
Si fulan itu baca mantera pujian ke atas jin jenis saka. Lebih tepat, upih atau seludang ini sesuai untuk sajian Sang Saka [Jin keturunan].
Masih adakah orang berilmu hendak membuat sajian seperti dinyatakan?
Sudah tentu, si fulan yang menyajikan itu adalah orang pintar belaka. Dialah yang mengesyorkan agar benda itu dibuat. Pelanggannya kena ikut sahaja apa yang diarahkan.
Untuk sebuah ancak, sanggu atau sangkak, ada bayarannya. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment