Monday, 15 April 2013

BALASAN SI JAGUH SEKS DI BANGKOK, SATU ULASAN

Kemaruk seks boleh digambarkan daripada kesukaan seseorang mengumpul VCD lucah banyak-banyak. Mungkin berkotak-kotak. Ia juga boleh digambarkan daripada cara mereka menghias bilik tidur, ruang tamu dengan gambar-gambar porno atau semi porno. Apakah ada orang yang melakukan tindakan berani begini? Diharapkan tidak ada.
Kemudian di kalangan penulis, keasyikan mereka menulis cerita-cerita hubungan seks dengan amat detail sehingga ia dinamakan seperti cerita pendek, cerita panjang, atau bersiri-siri tentang seks --- ia juga menggambarkan ada kesakitan dalam minda mereka.
Begitu juga kalangan penerbit, nampak macam tak ada apa benda, tetapi kalau setiap kali terbitkan majalah bulanan asyik cerita pasangan melekat ketika mengadakan hubungan intim, maka ia menggambarkan keasyikan yang bukan kepalang orang yang mengendalikan penerbitan itu.
Saya tertarik sebuah kisah benar seorang yang suka menerbitkan bahan-bahan kecabulan. Tidak ada tajuk yang baik dipaparkan melainkan semuanya tajuk-tajuk yang kasar dan tidak beretika.
Pembaca mungkin menyedari bahawa tujuan pamer tajuk yang kasar dan ganas itu adalah untuk memancing pembeli remaja yang sedang "naik minyak" -- akan tetapi dalam masa yang sama ada juga pembaca berumur yang ingin mengetahui isinya naik malu hendak membelinya.
Tajuk yang kasar dan menolak etika moral menyebabkan orang menjauhkan diri.
Salah seorang penulis yang gemar memaparkan kisah-kisah seks, sadis dan sebagainya memang seolah-olah hendak menarik pembaca sebanyak-banyaknya dalam satu masa. Akan tetapi edaran tabloid yang berjudulkan tajuk-tajuk panas itu tidak menjanjikan. Edaran masih macam itu juga. Bahkan yang dikembalikan kepada penerbit dan pengedar pun makin banyak.
Dalam tahun 90-an ada seorang penulis yang memang dikenali sebagai penggemar cerita panas dan tajuk panas sahaja. Disebabkan hobi yang bukan kepalang, sesekali dia turun gelanggang jual ubat. Dia jual ubat untuk lelaki. Ubat itu mungkin bertujuan untuk "prolong" tenaga lelaki. Maka untuk meyakinkan pembeli ubat, dia kata ubat itulah yang telah ditelan ketika berada di Bangkok.
Di Bangkok lelaki muda ini kata beliau telah menjadi juara dalam perlumbaan seks di tengah-tengah jantan handalan di Thailand itu.
Orang ramai yang mendengar celotehnya tidak ambil kisah. Tetapi saya yang kebetulan berada berhampiran kerana menemani seorang penulis buku politik tanah air [dah lama tak jumpa pun] yang juga kawan dengan peniaga ubat itu, membuat minda saya berkomentar. Sebagai seorang Melayu, beragama, kita kena beretika dalam berniaga.
Tetapi lelaki ini benar-benar menjatuhkan martabat dirinya selaku penulis, apa lagi kalau nak dikata sebagai wartawan penyelidik atau wartawan penyiasat, dia kata dialah yang jadi JUARA SEKS di kota Bangkok itu.
Pengakuan ini menjatuhkan dirinya ke dalam kawah kenistaan secara langsung.
Dan kenapa saya terusik untuk mengaitkan kisah ini?
Ya, kerana sekarang orang sedang mabuk membikin filem video seks di sana-sini untuk mengaibkan orang.
Walaupun hanya dalam bentuk tulisan panas bagi membangkitkan nafsu syahwat pembaca, mengajak kepada kebinasaan, ia memberi kesan di akhir kehidupan.
Kematian "juara seks" tadi sangat menginsafkan. Sesiapa juga yang masih berambisi untuk menulis kisah seks, membuat buku seks dan kelucahan melampau dan bukan buku bercorak akademik sebagai seorang pakar sakit tuan, maka fikirkan masak-masak. "Juara seks" tadi mengakhiri hidupnya di meja tulis, tidak ada siapa yang tahu, setelah beberapa bulan, di pejabatnya itu hanya tulang-tulang yang berserakan!
Maka sesiapa yang berfikir akan menggunakan bahan ngeseks untuk mendapatkan sesuatu, fikirkan masak-masak, termasuk yang ghairah hendak menerbitkan video seks pemimpin. Cukuplah setakat itu. []

No comments:

Post a Comment