Thursday, 11 April 2013

KEMARUK VIDEO SEKS, APA NAK JADI?

Dulu orang Melayu segan nak cakap fasal video seks. Di luar bandar dek kerana teringin sangat nak tengok video jenis kebiruan macam lambang sebuah parti utama ini, mereka sanggup bawak generator dan alat penayang masuk ke hutan getah atau sawit. Walaupun sorok-sorok, ada cikgu geng kita ikut tengok sama. Masa itu, kalau masyarakat luar tahulah, tengok filem lucah begitu memang malu sangat.
Zaman dulu, sesiapa nak tengok video lucah kena sorok-sorok, tahan pergi rumah kawan yang memang otak biru. Di George Town ketika buat tinjauan di kalangan pengayuh beca, mereka mendakwa ada premis tertentu mengadakan tayangan filem lucah berbayar. Siapa nak tengok kena masuk ke pintu khas. Mini pawagam haram namanya [seingat saya di Jalan Macalister, Penang, tahun 80-an]. Kemudian ada pula apek beca yang saya panggil "Botak" dia kata, bukan hanya tayangan filem biru, "tiger show" pun ada. Siapa yang belakonnya? Adakah orang politik dari parti pembangkang akting? "Tidak! Saya sendiri akting," kata Botak.
Itu cerita di Penang di zaman pemerintahan UBN, sekarang dah tak ada.
Adakah orang Melayu sudah menyedari akan keburukan filem lucah atau rasa malu nak tengoknya?
Apabila masyarakat Melayu asyik didedahkan dengan kisah video lucah, maka ada orang fikirkan, siapa yang memulakan langkah awal dalam pembikinan filem tersebut? Sudah tentu ada alatnya, ada pemikirnya yang berada di barisan belakang, dan ada penajanya, ada yang menyuruh si fulan mengarahkan sebuah filem menarik tentang kelucahan melampau. Untuk apa tuan? Untuk mengenakan pemimpin pembangkang.
Sudahnya, apabila video singkat lagi kontot diputarkan melalui YouTube atau "You Punya Tube" atau "I Punya Tube" maka ia menggambarkan pemikiran berangkai. Bak kata ustaz ada syubhat di dalamnya yang orang tidak pernah fikirkan.

KEMARUK VIDEO SEKS
Melayu mulai berani mendapatkan video seks dan semakin terang-terangan. Meskipun mereka menyedari bahawa memiliki, mempunyai, menyimpan, mengedarkan, menayangkan dan berbagai "me.." lagi itu tidak cantik dalam penilaian agama, namun demi untuk "memperjuangkan" sesuatu atas nama Melayu, atas nama Islam [versi mereka], maka video walaupun tak sempurna mana ia tetap disalin dan disalin dan kemudian diedarkan. Tujuannya nak mengenakan seseorang tokoh politik. Kalau ada nelayan ikut main politik, video nelayan pun ada, kalau orang gelandangan ikut berpolitik, video dia pun ada. Pendeknya, video dikeluarkan dengan tendensi kepolitikan. Tidak ada main politik, maka wayang tidak dimainkan. Lagipun video seks ini adalah senjata yang ampuh untuk memalukan seseorang tokoh. Paling senang nak henyak seseorang tokoh walaupun video yang dikatakan lucah itu bertujuan untuk menyerang seseorang tokoh.
Maka di kalangan penulis blog pun hairan bin ajaib apabila produk video yang dikatakan mengeseks itu hanya melibatkan tokoh-tokoh pembangkang.
Apa? Tidak teringinkah tokoh-tokoh dalam UBN nak mencari populariti sebagai pelakon tambahan atau pelakon utama?
Kemaruk video seks ini bermula apabila media utama di negara kita sering membicarakan keperihalan ini tanpa segan silu. Budak-budak yang tengok tv pun suka, dan mereka nak tahu.
"Mak adik nak tengok video tu!" rengek budak itu.
"Tak apa, apa, nanti adik boleh tengok kalau mak dah pegi kerja!"
Dialog ini macam main-main. Tapi sindiran. Sindiran bahawa masyarakat kita akhirnya terdedah kepada keburukan. Yang kecil meniru yang remaja. Remaja nak tiru yang dewasa. Budaya hedonisme memang telah diternak lama di dalam kancah budaya dan hiburan di negara kita.
Kalau orang yang gemar mengumpul video sejenis ini, maka mereka akan rasa megah menjadi pengumpul video lucah versi politik yang terbanyak. Macam ada orang megah mengumpul tiket wayang. Dia tak sedar bukan kemegahan yang dia nak pamerkan tetapi sebaliknya. Biarlah ustaz yang terangkan keperihalan syubhat dalam bab ini.

VIDEO SEKS TAK LAKU LAGI
Sudahnya sekarang, disebabkan terlalu banyak "syarikat" perfileman yang berminat nak terbitkan filem pendek lagi kontot begitu yang ada babak seksnya, maka sesama mereka telah bersaingan. Sayang sekali tidak ada ulasan filem-filem terbaik dalam kategori video jenis ini.
Disebabkan terlalu serakah mengejar masa dan produk terbaru, maka filem cincai dan tangkap muat pun beredar di pasaran terbuka. Budak sekolah pun ingin tengok filem terbaru.
Yang peliknya, para pelakon filem itu melibatkan sesiapa sahaja asalkan orang itu bergiat aktif dalam politik. Orang yang dikategorikan ulama pun termasuk dalam kumpulan itu. Inilah mainan "orang wayang" yang kesehariannya asyik memikrikan versi baru untuk filem-filem keluaran mereka.
Mereka sentiasa memikirkan siapa pelakonnya.
Inilah kerja "orang wayang" yang paling mudah. Tidak perlu skrip. Istilah main hentam sahajalah, maklumlah semua pakai kamera sorok-sorok. Asal jadi, boleh sunting, boleh tokok tambah. Asalkan boleh dapat gambar orang salin kain pelikat nak pi masjid pun boleh. Asalkan dapat gambar pakai seluar pendek nak sarung jubah pun tak apa. Kerja penambahbaikan dan penambahburukan begitu mudah dengan tekonologi bodoh yang ada sekarang. Teknologi bodoh inilah yang menjerat umat Melayu sekarang.
Video seperti ini tidak cukup dengan sekeping CD biasa, malah sudah merambah dalam apa sahaja alat komunikasi bodoh yang ada. Kita dijerat dan terjerat di tengah-tengah arus kemajuan teknologi bermaklumat, ada yang baik dan tak baik, semua kaut sekali.
Akibatnya, apabila pengeluar video seks main tangkap muat, para "peminat" perfileman Melayu kategori syuhbat dan fitnah ini, mereka mula melarikan diri. Sedikit pun mereka tak percaya kepada filem yang dikatakan lucah itu.
Hanya orang hairan, tidak inginkan pengeluar filem itu memaparkan tokoh ternama lain selain watak tokoh dari Pakatan Rakyat? Menjelang nak pilihan raya ini memang sudah diduga akan bertaburanlah video seks yang diedarkan oleh budak suruhan politik.
Budak suruhan politik sudah wujud di zaman pecahnya reformasi negara. Di masa anak-anak muda bangkit dan melaungkan "reformasi!" Itulah filem pertama yang ditayangkan kepada "umum" dan kemudian dari versi itulah melahirkan banyak versi lain yang berkesinambungan.
Kerja membuat filem fitnah ini apa hukumnya ustaz?
Biarlah ustaz yang jawab dengan landasan ilmu, bukan landasan politik dangkal seperti yang "pengedar" katakan. Para pengedar filem sejenis ini memang sentiasa mengatakan produksi mereka yang terbaik dan layak mendapat pencalonan kategori filem terbaik. Sedangkan ada produksi yang lebih baik dari mereka pun mereka tak tahu. Kepompong mereka kecil.
Sekarang kalau kita tanya, ke mana umat Melayu hendak dibawa dengan penghasilan filem pendek lagi kontot bagi mengaibkan, memalukan, menghasut dan memfitnah itu diedarkan? Umat Melayu juga yang menanggung aibnya.
Ketika kita berwacana berjuang demi untuk survival umat Melayu, dalam masa yang sama kita lupa siapa yang Melayu? Barulah orang menyedari bahawa Melayu itu ada banyak jenis, bukan 1Malaysia sebagaimana yang digambarkan.
Lihatlah tindak-tanduk Melayu yang kita lihat di sekitar kita. Ketika nak pilihan raya ini barulah kita tahu bentuk Melayu yang sebenarnya. Kita tidak boleh kaitkan hal ini sebagai perpecahan ummah. Tidak. Ummah bukan pada Melayu sahaja. Ummah meliputi semua golongan.
Kemudian yang memelikkan, ada kelompok yang memperjuangkan Islam dan memperjuangkan jadi diri Melayu [tulen] tetapi menggunakan video seks sebagai sarana untuk menggamit orang ramai bersatu di bawah payung yang ditegakkan. Maka tertawalah syaitan di luar sana. Apa nak jadi? [] Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment