Thursday, 25 April 2013

HURU-HARA KHAYALAN, 13 MEI JADI IGAUAN

Sehingga sekarang, orang masih ditakut-takutkan dengan momok 13Mei 1969.
Ketika itu saya masih bersekolah di Pasir Panjang, Sekincan, Selangor. Kampung kita ni dekat Sekincan, perkampungan orang Cina yang sekarang dikuasai oleh DAP. Ketika 13Mei, kalau hanya berdasarkan pasang telinga pada radio dan tengok televisyen hitam putih, maka umat Melayu tidak dapat cerita sebenar.
Kebetulan tadi [lepas Subuh] saya sempat menemani seorang lelaki berusia 80-an. Masih mampu berjalan dari rumah ke masjid. Inilah yang terbaik. Bukan rumah dekat pun nak start motosikal. Atau nak bawa kereta. Hanya dua pembalingan sahaja jaraknya.
Cerita bermula apabila melihat bendera BN dan Umno yang digantung di tepi jalan sudah luruh dek hujan dan angin kencang baru-baru ini. Lelaki berusia ini fikir, itu hasil dari perbuatan manusia yang tak suka parti tertentu. Saya kata, ia tidak ada kaitan dengan tangan manusia, sebaliknya kuasa Allah SWT yang menurunkan hujan lebat dan angin. Kalau bendera parti gugur pun tidak perlu nak berprasangka buruk.
Kemudian lelaki ini sentuh mengenai bakar kawasan pondok yang parti politik dirikan. Saya beritahu yang kena bakar adalah pondok pihak yang bukan BN. Maknanya pondok dari kumpulan Pakatan Rakyat selalu jadi sasaran bebudak jahat, bebudak upahan. Bagi duit mereka buat.
Peliknya saya kata, kenapa baik PM,TPM atau orang bawahannya tidak pernah sekali pun menasihatkan orang-orangnya agar menjaga imej dan jaga nama baik parti Umno dan BN. Cubalah mereka nasihat rakyat yang tidak sebulu dengan sesuatu parti agar jangan merosakkan bendera parti lawan, jangan pasang kain pemidang atau sepanduk yang menghina parti lawan, atau memasang sepanduk rekaan memburukkan PR dengan mengatakan akan tukar agama rasmi, agensi kerajaan dibubarkan, sampai semua nak bubar, hatta sistem beraja pun. Ini kerja siapa? Dari tangan dan minda siapa kalau bukan dari golongan yang bencikan Pakatan Rakyat.
Yang membakar hak orang lain, semua orang sudah tahu. Begitu juga apabila kita sentuh tentang 13Mei yang pernah dilaung-laungkan sebagai amaran kepada PR oleh pihak yang sedang berkuasa -- ia adalah huru-hara khayalan. Hal ini kemudian diberi bumbu dan rempah sehingga menggerunkan rakyat. Dikaitkan dengan Kumunis, dikaitkan dengan agenda pembangkang dan perkauman yang sempit.
Sudah berapa lama kita tinggalkan 1969 tetapi ia masih jadi hantu genderuwo, jadi cepet, jadi memedi, jadi pontianak dan macam-macam hantu jembalang untuk takutkan orang Melayu.
Bersama lelaki berumur tadi, tersebutlah nama-nama "pahlawan Melayu" tersohor pada ketika itu di Kuala Lumpur, antaranya Gunawan, Sukir, Man Tri dan beberapa nama lain yang ketika itu sangat digeruni.
Orang tidak tahu bahawa nama-nama "pahlawan Melayu" berketurunan Jawa dan Boyan itu turut memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya ketika "huru-hara khayalan" itu berlaku.
Semuanya berpaksikan kepada tindak-tanduk orang tertentu yang bermula dari Kg.Bahru [Balai Dato Harun sering disebut-sebut]. Masa itu berbagai jurus dan seni mempertahankan diri mahu digunakan sepenuhnya hinggakan ada kelompok yang mengamalkan pukulan jarak jauh, pukulan angin, "selempang merah" dan macam-macam perkara pelik ingin tumpang kegagahan.
Jadikan ia iktibar. Ketika itu memang dunia orang Melayu terlalu kecil. Mereka tidak tahu apa pun. Gangster Melayu pun bermaharajalela. Tengoklah dalam filem Melayu hitam putih, unsur gangster itu banyak dipaparkan. Hanya kerana berebut perempuan dedah aurat mereka bergaduh. "Jambatan Gesel" di Kg.Bharu jadi bahan gosip dan pergaduhan, pantang gesel nak berentap. Pendeknya masa itu seolah-olah berada di zaman gelap Melaka ketika ada banyak penyamun sampaikan Sultan pun ikut menyamar nak hapuskan penyamun.
Daripada laporan dan cerita lisan penduduk yang hidup sezaman dengan kejadian 13Mei, jelas "huru-hara khayalan" itu bukanlah kerana masalah perkauman. Bukan kerana sebuah parti memenangi pilihan raya dan mereka meraikan kemenangan itu. Sudah jadi tradisi, Kuala Lumpur adalah kawasan parti lawan. Sampai sekarang pun, "lambang keris" tidak mampu menawannya.
Kenapa pemimpin hari in tidak mahu menasihatkan ahli-ahli partinya agar berbaik sangka walaupun dengan parti lawan. Kenapa nak ugut dengan huru-hara semua? Bukankah ia hanya cerita hantu rekaan sahaja? Kejadian yang berlaku dulu adalah di luar jangkaan dan pemikiran Melayu pada ketika itu. Minda Melayu ketika itu masih berpaksi kepada jurus dan kekuatan senibela diri. Sekarang mereka sudah sedar, anak-anak muda hari ini tidak tahu apa tentang mitos ciptaan itu. Janganlah ditakut-takutkan lagi. Ketika kita sering bercakap mengenai kehebatan Malaysia yang penduduknya berbagai kaum, pada masa yang sama kita membenihkan rasa benci kepada kaum lain.
Contoh, sampai sekarang orang masih bangkitkan isu HUDUD dan KALIMAH ALLAH? Kenapa? Bukankah ini agenda yang sengaja umat Melayu bangkitkan bagi menimbulkan ketakutan baru kepada kaum lain? Jika begini, sampai bila pun perpaduan antara kaum di negara kita hanya utopia.
Kini Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk parti pelbagai kaum yang unik. Tidak pernah rakyat melihat kaum-kaum lain seronok berdiri megah di bawah bendera bulan, bendera roket atau bendera PKR. Mereka tidak gerun.
Kaedah kempen yang dilakukan oleh para pemimpin UBN nampak menjurus kepada ketidakharmonian, mereka mahu memecahbelahkan rakyat. Mahu melakukan pecah dan perintah. Apabila telah berlaku keadaan tidak menentu baharulah mereka mahu melebarkan sayapnya sebagai penyelamat atau pelindung.
Kesimpulan cerita: Jangan kerana angin kencang, atau hujan yang menyebabkan bendera atau sepanduk parti jatuh melayang masih nak salahkan parti lawan. Pacak bendera lambang bulan atas pokok, masuk hari kedua bendera sudah hilang. Sedangkan bendera cap keris dan gelombang biru masih berkibar megah tanpa orang "bulan" dan "roket" usik pun! Inilah kefahaman seni berpolitik yang berbeza. Sampaikan ustaz nak berceramah tentang ilmu pun diganggu seolah-olah yang mengganggu dan yang bagi surat layang itu lebih baik tazkirahnya. "Kalau mampu, silakan bagi tazkirah hari Jumaat ini!" Ini cabaran untuk mereka.
Setiap hari bercakap tentang HUDUD seolah-olah ia undang-undang rekaan sebuah parti politik. Golongan ini usahkan menolak hudud, pengajian ilmu di masjid pun mereka gerun. Mereka hanya mahu tajuk terbaik, mengenai pembangunan luar bandar, bantuan untuk rakyat, keamanan dan kemakmuran negara. Mereka tidak dibenarkan orang bercakap mengenai kemakmuran pemimpin negara. Keserakan orang yang berkuasa membolot segala harta, tak cukup satu bukit nak bukit yang satu lagi, tak cukup dua bukit nak peluk gunung pula! Kalau boleh van jenazah yang mewah pun diperlukan untuk membawa jenazah ke perkuburan yang mewah! Kaya miskin, berpangkat atau tidak, glamor ata hina, semuanya masuk ke liang lahad. Jadi, tolonglah, jangan membina "huru-hara khayalan" setiap kali ada pilihan raya. Rakyat sudah bosan dengan cerita hantu begini. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment