Ada tiga ekor kucing jantan. Namanya Lintang, Tengku Cik dan Sitam. Ibu kepada kucing ini namanya Mak Ching. Tiga ekor kucing jantan ini tinggal di sebuah negeri bernama Merali. Pada kiraan komuniti kucing itu, Tengku Cik bakal ditabalkan sebagai raja segala kucing di negeri itu. Tapi apakan daya, sifat lemah lembut Ku Cik dan tidak tegas menyebabkan perlantikan ditangguhkan.
Tengku Cik dan adik-beradiknya cukup berdisiplin. Mereka buang air kecil di dalam bilik air, ada yang buang air kecil di atas singki dapur terutama Si Lintang. Sitam pula kencing di satu bekas khas. Manakala untuk berak, ketiga kucing jantan itu menuju ke tandas berpasir yang khas disediakan.
Punyalah menjaga disiplin, ketiga kucing ini tidak pernah kencing atau berak merata-rata. Maka tuan punya kucing itu selalu memuji kucing yang cerdik belaka dan bersekolah di Sekolah Rendah Perkucingan, Merali.
Tiga kucing ini terkurung dalam rumah tuannya Makcik Gayah.
Suatu hari, ketiga-tiga kucing itu diperintahkan keluar rumah. Maka ke tiga-tiganya pun gembira bukan main dapat keluar rumah. Mereka berjalan ke sana-sini dan mencari lipas.
Itulah kepandaian kucing jantan tiga ekor itu. Nak tangkap cicak pun belum mahir, jadi ketiga-tiganya hanya kutip lipas yang tak berguna atau cengkerik.
Setelah dapat, Cik atau Lintang akan masuk ke rumah ikut celah-celah tingkap. Lipas itu dilambung-lambung macam bola. Seronok dua ekor kucing itu bermain bola lipas. Datang Makcik Gayah, lipas itu dirampasnya dan dibuang ke luar tingkap. Apa lagi?
Lintang dan Tengku Cik pun termenung. Bola permainan sudah dirampas oleh Makcik Gayah.
"Cik! Apa sebab tuan rumah kita rampas lipas yang kita main?" tanya Lintang.
"Tak kan kamu tak tahu?"
"Kenapa?"
"Makcik tu makan lipas!"
"Yakah?"
"Ya, tak ingatkah kamu? Setiap kali kita bawa masuk lipas dalam rumah, pasti Makcik Gayah akan rampas lipas tu, agaknya sedap tak lipas tu? Dia masak apa ha?"
"Tulah, lain kali kalau kita dapat lipas jangan main depan Makcik Gayah, nanti kena rampas lipas tu."
"Habis nak main kat mana?"
"Main di luarlah, kalau dalam rumah Makcik Gayah ambik."
Tapi Pak Gayah suami Makcik Gayah selalu tolong Lintang dan Cik tangkapkan cicak untuk dijadikan permainan. Kedua kucing jantan itu manalah tahu makan cicak. Sejak kecil ketiga kucing ini hanya makan ikan proses dalam tin. Ikan sardin mentah dipotong kecil, atau sardin dalam tin. Kemudian biasa makan biskut bermacam nama yang dibeli. Ada yang sedap dan ada yang tak sedap.
Suatu ketika, kerana terlalu asyik bermain, ketiga kucing jantan itu telah melakukan kesalahan besar yang menyebabkan Makcik Gayah marah bukan main.
Apa tidaknya, meja bulat kayu jati milik Makcik Gayah sudah pecah cerminnya. Entah siapa yang pecahkan cermin bulat itu, tak ada siapa yang nampak. Baik Tengku Cik, Lintang dan Sitam, ketiganya buat selamba sahaja ketika Makcik Gayah marah-marah. Nak marah siapa? Cik, Lintang atau Sitam? Ada dendanya?
Marah Makcik Gayah sekejap sahaja. Lepas tu dia akan pujuk balik Cik, Lintang dan Sitam.
Makcik Gayah kutip serpihan cermin bulat yang biasanya terpasang di meja kayu jatinya. Makcik Gayah tak boleh marah ketiga-tiga kucing itu. Mereka binatang, apalah tahunya.
Beberapa hari kemudian, kucing-kucing itu jadi murung. Ada yang keluar rumah sudah lewat tengah malam baru nak masuk semula. Makcik Gayah perasan. Walaupun kucing itu tak faham bahasa manusia, tetapi naluri kehaiwanan itu boleh dibaca.
Makcik Gayah bukan marah sebab pecahkan cermin meja bulat. Tidak. Makcik Gayah pujuk Lintang, Sitam dan Cik.
Bagi tiga ekor kucing itu, sejak cermin meja pecah, keadaannya sudah berubah. Ketiganya tidak aktif bermain lagi dalam rumah. Kadang-kadang hujan renyai pun mereka nak keluar. Entah nak cari apa di luar sana. Lipas? Cicak atau tupai tanah?
Selang beberapa hari kemudian Sitam pun batuk-batuk. Dia selesema. Kata Makcik Gayah Sitam demam. Sitam tak selera makan. Asyik tidur sahaja kerjanya. Makcik Gayah pujuk Sitam makan, tetapi kucing itu tak mahu makan. Merajuk agaknya.
Dan entah bagaimana, Sitam makin murung sejak kejadian itu. Sitam asyik tidur di tempat sejuk sahaja. Bilik air atau tandas jadi sasarannya. Nak minum pun tak mahu. Lintang dan Cik susah hati juga. Kini hanya mereka berdua yang keluar bermain. Sekejap keluar dan masuk semula. Mereka tidak berani pergi jauh sebab akan bergaduh dengan kucing luar. Ada tak adanya, Lintang menunggu di tepi tingkap. Kalau dia nampak tupai tanah, Lintang akan lompat mengejarnya.
Tanpa diduga, Sitam jatuh sakit. Dua ekor kucing tidak aktif lagi bermain bole kertas atau lipas. Keduanya murung. Musim hujan menyebabkan keduanya tak dibenarkan keluar oleh Makcik Gayah.
Sitam jatuh sakit hingga ia mati dalam bilik air. Esoknya, Pak Gayah tanam bangkai Sitam di belakang dapur rumah. Kalau tidak salah Pak Gayah, kawasan itu sudah jadi macam kubur kucing. Kalau diberikan batu nisan, berceracaklah nisanya. Tapi, kubur kucing hanya terletak di bawah pokok mangga dan tempat Makcik Gayah bakar sampah.
Kini tinggal dua ekor kucing milik Makcik Gayah, Lintang dan Tengku Cik. []
No comments:
Post a Comment