Tadi ketika menyiapkan blog tentang tiga ekor kucing, saya teringatkan Puteri Gunung Ledang (PGL) di Melaka. Mengikut ceritanya, ketika rombongan peminangan diraja sampai ke gunung yang ternama itu, muncullah seorang nenek yang orang panggil Nenek Kebayan.
Nenek Kebayan ini kononnya mewakili PGL menyatakan kesediaan pihak PGL bersuamikan seorang Sultan yang ternama, tetapi dengan syarat-marat yang mengarut. PGL konon hendak darah anak raja, nak hati nyamuk, hati kuman, air pinang, kemudian meminta dibinakan SEBUAH JAMBATAN EMAS menghubungkan bandar Melaka (Istana/Kota Melaka) ke Gunung Ledang.
Permintaan PGL ini jika dicongak pada zaman silam ia dianggap mengarut. Pada zaman dulu, jika dikata jambatan, dah tentu ada sungai, ada parit atau longkang besar. Tetapi PGL nak sebuah jambatan panjang dari gunung hingga ke bandar. Masa dulu perkara ini tidak logik dan amat mencarik adat.
Tetapi jika direnungkan semula pada masa sekarang, apa nak hairannya? PGL memang orang yang cerdik dan berwawasan bukan puluhan tahun, tapi ratusan tahun. Ketika diajukan soal peminangan ke atas dirinya, si puteri jin PGL ini sudah memandang ke depan ke tahun 2000, ke tahun 2011 sekarang.
PGL yang entah belajar buat jambatan dari mana, telah mencetuskan idea yang amat cemerlang jika dihitung pada zamannya.
Orang tak dapat bayangkan sebuah jambatan emas yang berpuluh km didirikan. Bentuk jambatan itu bukanlah macam jambatan cadangan nak hubungkan Melaka dengan Sumatera, atau macam Jambatan Pulau Pinang, tetapi jambatan yang dibayangkan oleh PGL adalah jambatan seperti jalur untuk LRT dan Monorail.
Bayangkan, dari kota Melaka tiang-tiang jejambat itu menjulur hingga ke Gunung Ledang. Ia bukanlah diperbuat daripada tiang emas dan simen emas. Emas itu adalah simbolik yang menggambarkan belanja untuk membina jambatan panjang itu memakan belanja besar, bilion ringgit. Itu sebabnya dikatakan sebuah jambatan emas.
Jika nak bina jambatan emas dengan emas padu tentulah tak mungkin. Nanti tiang-tiang yang terpacak itu akan menjadi rebutan penyamun tiang jambatan pula. Sebuah agensi perlu ditubuhkan mungkin bernama Jambatan Emas Melaka Sdn Bhd. Ahli lembaga pengarahnya tentu orang BN.
Dan di Dewan Rakyat, pihak pembangkang pun menyatakan rasa tak puas hati kerana pihak Audit mengatakan kos penyelenggaraan jambatan emas Melaka terlalu besar. Setiap tahun syarikat menanggung kerugian. Pacak billboard sepanjang tiang jambatan pun tak dapat menampung kos.
Maka kecohlah. Ada yang meminta agar jambatan itu dibaikpulih, tapi kosnya amat tinggi. Syarikat yang dapat tender tentulah dari puak dan juak BN juga.
Peta pelancongan Melaka pun lain sedikit. Ia tidak megah dengan Kota Melaka, Istana Sultan Melaka, atau makam Hang 5 Sahabat, yang menjadi keutamaan adalah Jambatan Emas PGL.
Apabila jambatan itu sudah digahkan sebagai kempen pelancongan, para pelancong pun ingin tahu siapa gerangannya PGL itu?
Maka, mereka pun terpaksa tayangkan filem dokumentari tentang PGL. Ketika ini mungkin M.Nasir dan Tiara J pun sibuk perkenalkan filem dan teater PGL. Ia sudah dianggap acara tahunan. Setiap tahun pementasan PGL perlu diadakan.
Mungkin senarionya lain pula, konon ada pula kalangan tertentu yang mencadangkan agar diadakan acara tahunan untuk mengingati PGL. Maka diadakan simposium, seminar dan pameran tentang PGL di Melaka.
Maka riuh rendahlah wartawan-wartawati berkampung di Melaka membuat liputan.
Tidak cukup dengan itu sahaja, ada pula orang pintar yang syorkan agar diadakan upacara mistik, memberikan persembahan berupa sajian untuk PGL.
Selain itu ada yang syorkan dalam seminar agar dihidupkan semula budaya masa silam, budaya kuno yang sudah diketepikan, iaitu hari mengingati dan "memuja" kewujudan Sang Puteri. Ada hari cuti pula. Rakyat berhimpun di sekitar istana yang ada hari ini, ada perarakan beca Melaka, perarakan bendera Melaka, perarakan gambar PGL walaupun gambaran pelukis sahaja, kemudian ada pula arak-arakan membawa lembu atau kerbau atau gajah. Binatang itu dipanggil Pak Kyai macam di Yogyakarta tu.
Haiwan itu diraikan diberi wangi-wangian, mana-man tahi yang bertaburan dikutip oleh kalangan bomoh, pawang dan dukun. "Ini tahi gajah PGL, sesiapa yang menyimpannya akan meningkatkan wibawa diri!"
Ada lagi orang pintar mendakwa, "Ini tahi kerbau kalau disimpan dijadikan azimat, orang itu akan beruntung!" Kemudian ada lagi yang mendakwa, "Tahi lembu ini kalau disimpan dan dibakar, ia menimbulkan aroma klasik, bak kehadiran PGL!"
Maka bertambahlah kepercayaan mistik sekampung di situ. Berduyun-duyun orang bijaksana dan bijaksini berkampung di Melaka, ada yang kemudian bercuti ke Pulau Besar. Sebab ada jambatan halus yang menghubungkan Pulau Besar dengan Gunung Ledang.
Perarakan memperingati pembinaan jambatan emas itu memang meriah. TV3 dan RTM setiap malam buat siaran secara langsung. Habis semua orang ditemuramah dan angkat ibu jari tangan. 1Malaysia!
Kenapa kisah ini saya paparkan begini?
Saya dapati pemikiran Nenek Kebayan (jika benar dia yang mereka-reka syarat) atau PGL sendiri yang telah memberitahu kepada Nenek Kebayan tentang jambatan emas itu, ia benar-benar sebuah pemikiran yang berwawasan, idea dan pandangan makhluk mistik ini memang futuristik sifatnya.
Bayangkan, ketika orang tak dapat gambarkan bagaimana rupa sebuah jambatan pada zaman itu, Bendahara Melaka, hulubalang Melaka, Sultan Melaka pun tak tergambarkan bagaimana bentuk jambatan emas itu. Otak Nenek dan PGL jauh merentasi zaman, ratusan tahun, sampai kini, bukan jambatan emas dari Gunung Ledang yang dibina, tetapi jambatan besi, batu dan simen di bina di sekitar Lembah Klang.
Itulah bayangan jambatan emas yang diilhamkan oleh PGL atau Nenek Kebayan pada zaman silam.[]
Ape bende ko ngarut nie. Nasa aka org amerika dah nampak jambatan tu, diorang gune satelit je. Cuma masalah nya bile diorg datang sini, diorang tak tau kat mana. Itu la ko tak tau. Taknak tanye org2 dulu. Hal hal macam ni jangan dipertikaikan. Benda ni semua wujud! Cuma Allah belum bagi izin bukak hijab mata kau tu. Tak caya pergi cari org yang berilmu, bukan ustaz uztaz biasa.cari yang betul betul boleh pergi ke alam lagi satu, mintak dia bukak kan hijab kat mata kao. Biar nampak hantu setan segala. Baru kau tau. Jgn pertikaikan benda yang kau tak nampak depan mata. Tah tah benda tu dah ada depan mata kau. Hi hi hi....
ReplyDeleteYe ke..ada tak foto satelit tu...
ReplyDelete