Saturday, 12 November 2011

MINI MARKET PULA TUTUP

Kisah Pakcik Jaga masih menarik perhatian penulis. Apa tidaknya, ada sebuah kisah lucu yang dialami oleh pakcik ini dalam tahun 2011. Masih segar lagi. Berlaku pada hari Khamis. Dia solat di masjid jamek berdekatan, solat zuhur kerana ada tazkirah menarik. Sambil mendengar tazkirah Pakcik Jaga mencatat mana poin-poin penting.
Sebenarnya cara dia buat begitu memang betul. Penulis tak pernah nampak orang bawa buku catatan ketika tazkirah. Padahal jika bawa buku catatan, mereka boleh catatkan poin-poin penting tazkirah. Tidak seperti Pakcik Jaga yang amat teliti dalam soal mencatat.
Tidak hairan dia suka pakai seluar banyak poket. Pen dan buku nota kaiz kecil memang selalu ada dalam poket kiri seluarnya.
Setelah mengikuti tazkirah dan solat zuhur, dia pun menyusuri jalan Tun Perak, Lebuh Ampang dan menuju ke sebuah kedai yang terkenal juga, mini market Carefour, pekerjanya Melayu belaka. Akan tetapi suasana kedai itu tidak menarik, muram, patutlah pelanggan tidak masuk sangat.
Pakcik Jaga keluar dari masjid terus masuk ke situ sebab nak cari sesuatu. Dia berjalan dengan membawa beg galas berisi buku bacaan dan buku nota. Beg galas itu kosong, sebab dia belum beli apa-apa.
Ketika dia bergerak ke bahagian belakang pasar mini itu, seorang lelaki menghampiri Pakcik Jaga. Orang muda itu tidak minta maaf pun kerana mengganggu Pakcik Jaga.
"Boleh saya periksa beg?" pinta lelaki itu.
Setelah dibuka zip, beg galas itu tak ada apa, ada buku berjudul ZIKR karya Ibnu Atha'illah (w.709/1350M) iaitu penulis kitab terkenal AL-HIKAM. Kemudian anak muda itu memeriksa poket seluar Pakcik Jaga itu kanan dan kiri. Apa yang ada, buku nota saiz kecil. Tasbih dan minyak wangi (atar).
Anak muda yang memeriksa Pakcik Jaga itu adalah kononnya sekuriti dalaman yang berwawasan yang tugasnya tip-top, berjaya mengurangkan kes kecurian barang.
Merah padam muka Pakcik Jaga. Bayangkan anda pun akan terperangkap dengan perasaan yang serupa kiranya anda baru keluar dari masjid Jamek Bandaraya dan kemudian ditahan sebaik sahaja masuk ke pasar mini Carefour.
Dengan sebab tahanan rambang itulah Pakcik Jaga mula menuturkan doa kutukan agar mini market itu ditutup dalam waktu terdekat, atau dilindungi agar tidak dimasuki pelanggan untuk selama-lamanya. Dia berdoa dengan keadaan marah.
Setelah itu dia pun berdiri di depan kaunter, bertanya apa nombor telefon mini market itu? Kepada siapa dia hendak berhubung? Dia tidak puas hati dengan sikap bodoh anak muda Melayu itu memeriksa Pakcik Jaga yang hanya membawa tasbih, buku nota dan pen  ketika masuk pasar mini Carefour.
Budak jaga kaunter terkebil-kebil. Pakcik Jaga masuk ke Carefour semula kerana tidak puas hati dia ingin bertanya siapa pegawai bertugas termasuk sekuriti dalaman yang sibuk hendak menangkap orang itu.
Sayangnya, budak-budak itu sudah keluar. Kata hendak jaga sangat daripada dicuri, tetapi ketika itu hanya ada seorang sahaja yang berada di kaunter. Perkara ini kiranya dilaporkan ke ibu pejabat syarikat tentulah memalukan.
Akan tetapi dengan berkat doa dan kutukan oleh Pakcik Jaga, sebagaimana yang dia pernah lakukan ke atas sebuah supermarket di Selayang tahun 2006 yang lampau, maka mini market Cartefour pun menerima nasib yang sama. Kedai semakin lengang, tak ada siapa masuk. Macam lalu tepi kubur. Dan oleh sebab kesal dengan kejadian itu, Pakcik Jaga tidak mahu jenguk lagi kedai itu dengan harapan kedai itu tutup, dan biarlah budak-budak yang berlagak itu menganggur. Kedai Carefour itu kini sudah tutup. Maka Pakcik Jaga memberitahu penulis, dia gembira, doanya telah dimakbulkan.
Kedai yang begini, apabila dikunjungi budak dadah mereka tak periksa sangat, akan tetapi apabila datang lelaki berkupiah akan diperiksa. Keyakinan mereka tinggi bahawa orang yang berkupiah ini pencuri ulung di tengah kota ini. Dan gara-gara itu, Pakcik jaga tidak akan masuk ke mana-mana kedai mini Carefour. Ini sebagai pengajaran. Sama juga kebencian Pakcik jaga ini dengan kedai di Jalan Masjid India dekat pondok polis itu. Orang ramai memang berjejal konon nak dapatkan barang murah, kalau setakat nak beli sebuku sabun, carilah kedai lain. Buat apa bersesakan begitu. Dan biasalah, muka Melayu sahaja... []

No comments:

Post a Comment