Sudah tentu payah bagi orang ramai hendak menyuarakan pendapat bagi membantu pihak PDRM mengurangkan indeks jenayah di negara kita. Indeks jenayah akan bertambah sesuai dengan perkembangan semasa. Selagi nadi berdenyut, sesiapa sahaja akan cenderung untuk melakukan jenayah kerana semua ini bertolak daripada perkara CARI MAKAN.
Cari makan merupakan perkara utama yang menyebabkan data-data tentang jenayah di negara kita tidak dapat dikurangkan. Ketika orang awam tidak dibenarkan membuat sebarang komen tentang sesuatu isu apabila terjadi sesuatu perkara berkaitan siasatan pihak polis, maka rakyat akan menerima kekangan ini dengan menunjukkan sikap fasif. Mereka tidak mahu menyuarakan apa pun cadangan bagaimana hendak mengurangkan indeks jenayah.
Jika ditanya puncanya, bukan sahaja indeks jenayah, pihak berkenaan juga harus memeriksa bagaimana indeks persepsi masyarakat kita terhadap pihak PDRM. Adakah masyarakat menunjukkan sikap tidak peduli, tidak mahu ambil tahu atau enggan memberi kerjasama? Semua ini bertolak daripada kekangan pihak pemerintah terhadap rakyat dan pihak PDRM dijadikan benteng baris depan untuk berkonfrontasi dengan rakyat marhaen.
Meskipun layanan pihak PDRM diberi gambaran yang indah-indah, tahanan perhimpunan Bersih 2.0 misalnya diberi makanan dan layanan istimewa, ia berbeza sama sekali ketika insiden itu berlaku di kawasan jalanan, tembakan air, dan gas pemedih mata sebenarnya memberi gambaran indeks kekerasan terhadap orang awam.
Ia secara tidak langsung menyukarkan pihak PDRM untuk mengambil hati orang ramai.
Tugas menjaga keamanan ada pada pihak PDRM. Selama ini kenyataan dari pihak pegawai atasan PDRM memaparkan bahawa orang awam tidak dibenarkan campur tangan dalam urusan PDRM. Mereka lebih tahu daripada orang awam.
Kini apabila pihak PDRM mengharapkan pendapat awam diutarakan kepada pihak PDRM ia memberi gambaran seolah-olah pihak PDRM menyedari bahawa masyarakat awam di Malaysia perlu disantuni, jangan dikasari. Sebarang perlakuan kasar pihak PDRM terhadap rakyat, ia akan memberi kesan jangka panjang, mereka tidak mahu memberi sebarang teguran membina, apalagi untuk berkongsi idea tentang bagaimana mengurangkan indeks jenayah.
Ada di kalangan orang awam yang bersahaja memberitahu, balai polis sudah cantik, gaji mereka pun sudah dinaikkan, mahukah orang awam yang tidak bergaji memikirkan soal indeks jenayah negara?
Sebenarnya jenayah di negara kita sukar dibendung kerana pihak penguasa tidak menunjukkan suatu iltizam yang jelas bagaimana hendak mengurangkan jenayah.
Bukankah selama ini jenayah yang dibisingkan hanya jenayah orang-orang kecil yang mencuri di kedai runcit, curi ayam, curi telur, curi barang curi, jual barang curi, dan apa sahaja kecurian. Nampaknya kecurian kelas bawahan ini diberi keutamaan, sedangkan "kecurian" wang yang berjuta-juta tidak dapat ditangani.
Jika inilah sikap pihak penguasa kita, maka rakyat menjadi jera dengan sikap yang tidak profesional ini. Mereka menjadi kecewa dengan situasi yang ada. Wacana bagaimanapun untuk mengurangkan indeks jenayah tidak akan memberi kesan.
Di negara kita kini, berbicara soal politik yang cenderung kepada pembangkang dianggap menyalahi peraturan, dan mereka dianggap seperti "penjenayah" juga. Indeks jenayah akan meningkat kerana kita memberi takrif yang berbeza tentang jenayah. Jika kita mengamalkan sikap dualisme dalam memberi makna dalam sesuatu perundangan, rakyat jadi keliru.
Bagaimana mungkin ada kes jenayah (sebagai contoh) pihak tertentu tidak menekankan aspek motif. Biasanya pihak tertentu sangat galak mencari MOTIF sesuatu itu terjadi. Umpamanya, kalau kes bunuh, akan dicari motifnya. Kes penipuan wang ratusan ribu pun dicari motifnya. Pihak berkenaan begitu ghairah mencari modus operandinya.
Ada juga kes yang tidak disebut langsung tentang motif sesuatu perkara. Jika tanpa motif, ia seolah-olah ada sesuatu yang diselindungkan.
Sebenarnya, indeks jenayah di negara kita tidak akan berkurang. Jenayah semakin menjadi-jadi. Jika kita memberikan indeks yang sebenar, maka indeks tidak perlu bermain angka semata-mata untuk menggambarkan kegagalan atau kejayaan sesuatu tindakan.
Di negara kita ada pula Yayasan Mencegah Jenayah, ada pula pihak tertentu yang bertungkus lumus berbicara tentang jenayah, menonjolkan diri sebagai pakar dalam hal ehwal penjenayahan, berbicara di radio dan TV menjadi penasihat dalam hal ehwal penjenayahan, hasilnya tak ada apa. Kesedaran pada kejenayahan di negara kita masih macam itu juga.
Indeks jenayah akan terus meningkat jika kita cari. Bermula dari jenayah melibatkan wang dan seks, semuanya akan berangkai-rangkai kerana semua orang mahu CARI MAKAN. Jika kita hendak senaraikan jenayah dari A hingga Z, maka di dunia melayu Malaysia, indeks jenayah tidak akan menurun. Aspek jenayah itu sendiri perlu diperkirakan. Ia perlulah menyeluruh, dan tidak menjadikan soal jenayah sebagai mainan orang kecil sahaja. Amat jarang jenayah orang besar dipaparkan, bahkan kekecewaan orang ramai kini kerana pengkategorian jenayah juga mengikut status perorangan.
Suatu ketika kita dihebohkan dengan jenayah ragut, jenayah jalanan, kemudian jenayah yang melibatkan colek kanak-kanak, kehilangan tidak dapat dikesan - bermakna kita gagal dan buntu. Kini jenayah kesan dari seksual melampau yang dipopularkan oleh media massa buang bayi masih menjadi isu.
Jenayah pembunuhan umpamanya, ia adalah gambaran tanda-tanda akhir zaman. Di mana diterangkan dalam beberapa hadis mutawatir, berlaku pembunuhan di mana-mana memberi gambaran tentang akhir zaman. Pembuangan bayi pun salah satu tandanya. Rasuah menjadi-jadi, riba tidak dihiraukan, halal haram di kira sama sahaja, dan jenayah yang menjadi-jadi masih berhubung rapat dengan tanda-tanda akhir zaman.
Apabila orang menyedari dunia ini sudah semakin tua renta, maka penjenayah tentu akan takut. Dosa melakukan jenayah selama ini tidak dipedulikan orang.
Fitnah dan memfitnah juga perbuatan jenayah. Akan tetapi di negara kita, sebarang aduan tentang fitnah dan memfitnah tidak dilayan dengan sepenuh hati kerana sistem kita berpandukan kepada merit kepartian dan merit kesiapaan pelaku jenayah yang dilibatkan. Aspek pengenaan kepada seseorang dengan tujuan dimalukan sudah menjadi keutamaan. Bukankah ini juga suatu jenayah. Islam tidak menerima kaedah yang bejat ini.
Bagaimana sikap kita terhadap jenayah? Disebabkan jenayah itu banyak jenis, ada besar dan ada yang kecil, ada yang utama dan ada yang dikemudiankan, maka pandangan umum terhadap kejenayahan di negara kita juga dilayan secara umum. Orang tidak ambil peduli dalam soal jenayah.
Ada petugas yang diberi gaji, dinaikkan gaji mereka untuk membanteras jenayah. Seperti tugas guru di sekolah adalah mendidik murid atau pelajar mereka, tugas ibu bapa hanya memantau di rumah dan di luar rumah, di sekolah tugas guru. Guru tak boleh mengeluh jika murid atau pelajar melakukan jenayah. Apa guna bergaji tinggi, masa mengajar yang singkat - sepatutnya mengajar dalam tempoh 8 jam seperti orang kerja pejabat.
Kini nampak sangat kaum guru ditatang sangat seolah-olah menjadi agen penting dalam pembangunan sahsiah insan. Ia bukan ukuran sebenarnya. Kita perlu melihat aspek keguruan dengan bidang CARI MAKAN, sebab itulah apabila lulusan UPSI merayu agar mereka dipilih jadi guru, maka ada sesuatu yang tidak kena berlaku di negara kita.
Bukankah lucu, sebuah maktab untuk melatih guru dinaiktaraf jadi universiti akan tetapi mereka masih merayu untuk dilantik jadi guru juga. Apa guna universiti jika lulusannya tidak tahu hendak CARI MAKAN dan masih memandang perguruan sebagai sasaran akhir? Jika semua universiti mengeluarkan lulusan untuk disalurkan ke bidang keguruan, maka tidak gunalah universiti diwujudkan begitu banyak.
Dulu lulusan universiti jual kacang putih jadi bahan gurauan. Kini jangan hairan, banyak yang menjadi peniaga kecilan di pasar malam, dan jangan lupa, ketidakberesan dalam menentukan kerjaya seseorang yang berkelulusan universiti juga memberi sumbangan kepada berkembang atau tidaknya indeks jenayah di negara kita.
Semakin orang berpendidikan tinggi belum tentu akan memandu diri agar tidak terlibat dengan kejenayahan. Ingat, orang berpendidikan tinggi pun cenderung melakukan jenayah sesuai dengan keilmuan mereka. Dan tidaklah aneh di negara kita orang yang bergelar Datuk, Tan Sri, dan macam-macam gelaran termasuk gelaran tipu cenderung melakukan jenayah. menggunakan gelaran tipu juga suatu aspek kejenayahan di negara kita, seperti orang cenderung menjual pangkat, menjual gelaran semata-mata untuk CARI MAKAN.
Begitulah catatan orang kecil berkaitan dengan jenayah di Malaysia. []
No comments:
Post a Comment