Friday, 4 November 2011

DONGENG MODEN

Menurut sumber cerita, ada sebuah perkuburan kucing di sebuah negeri bernama Merali. Perkuburan itu telah wujud sejak puluhan tahun yang lampau. Menurut Nek Nor, di bawah pokok mangga epal di sebelah rumah jirannya, kawasan itu telah menjadi "perkuburan" rasmi bagi kucing peliharaannya dan jirannya.
Sebagai seorang yang sukakan kucing, dia sudah menyediakan dua buah sangkar besar di dapur rumahnya. Sejak usia muda hingga ke tua, berstatus nenek sekarang, Nek Nor masih setia dengan kucing.
Sayangnya, dia tidak ada masa sangat hendak menguruskan hal ehwal kucing peliharaannya. Tidak ada kucing yang bertahan lama di bawah jagaannya.
Kematian demi kematian terus silih berganti. Ia sudah jadi asam garam dalam dunia Nek Nor.
Barangkali orang tidak faham tentang Nek Nor ini. Dia seorang wanita berumur, sudah 80 tahun lebih. Masih aktif jalan ke sana-sini. Dia memang gemar kucing.
Dia termasuk dalam kelompok orang kurang upaya, pendengarannya sudah menurun, penglihatannya masih okay, dia pula bisu, jadi sesiapa hendak berkomunikasi dengannya tidak ada garis panduan yang terakru sebab dia tidak pernah belajar di mana-mana sekolah cacat pendengaran dan tidak mampu bicara. Begitulah nasib yang menimpa diri Nek Nor.
Kini dia tinggal di sebuah rumah sederhana, tinggal seorang diri. Itu sebabnya dia suka kepada kucing. Kucing sudah menjadi kawan setia Nek Nor. Dia cuba berbicara dengan kucing peliharaan sedaya yang termampu.
Kucinglah menjadi temannya. Bagi sesiapa yang hidup kesunyian, mereka akan bersahabat dengan haiwan. Seorang lelaki di sebuah kampung sanggup memelihara musang sebagai penghibur. Memang terhibur sekiranya sesiapa memiliki haiwan peliharaan. Itu sebabnya, manusia dan haiwan tidak boleh dipisahkan. Haiwan akan mencanaikan psikologi seseorang. Haiwan boleh dijadikan teman bicara, teman untuk makan dan minum. Orang sanggup berhabis duit kerana haiwan.
Buktinya, tengoklah di klinik haiwan. Nek Nor di zaman pertengahan usia kerap membawa haiwan peliharaan ke klinik haiwan. Demam ada ubatnya. Ada pil vitamin, ada pil selesema dan macam-macam lagi kerenah perkucingan yang orang tak tahu. Seperti halnya dunia anjing. Akan tetapi, kita tidak digalakkan memelihara anjing kalau sekadar untuk menonjolkan status hidup.
Anjing untuk maksud berburu atau menjaga haiwan peliharaan yang banyak. Jika memelihara anjing tetapi dibiarkan bebas keluar masuk rumah, ini akan merosakkan citra keagamaan. Seperti orang yang tidak faham dengan hukum memelihara anjing.
Haiwan peliharaan ini menurut hadis tidak boleh diperjual-belikan sepertimana kucing sebab ia tidak boleh dimakan. Haiwan yang halal dagingnya boleh diperjualbelikan.
Menyentuh tentang Nek Nor tadi, setiap kali kucing di bawah jagaannya mati, dia akan mengetuk rumah jirannya. Si jiran yang baik hati akan membantu Nek Nor korekkan lubang kubur kucingnya. Nek Nor akan beritahu mana kawasan yang belum dikorek di bawah pokok mangga itu.
Memang kisah Nek Nor yang bisu dan tidak mendengar ini tidak menarik kepada orang yang tidak peduli dengan orang lain. Bagi penduduk di Merali, kelibat Nek Nor sudah dimaklumi. Dia seorang wanita berumur yang perlu disantuni. Dia pun alhamdulillah, mendapat bantuan dari JKM dan Baitulmal WPersekutuan. Itulah sumber pendapatannya. Walaupun dia mendapat bantuan itu, tidak bermakna wangnya dihabiskan untuk kucing peliharaan. Nek Nor juga sesekali bertandang ke rumah jiran dan saudara maranya untuk makan dan minum ala kadar.
Apabila melihat kawasan "perkuburan" kucing itu maka Nek Nor merupakan penduduk Merali yang banyak menanam bangkai kucing di bawah pokok mangga itu. Tidak ada mistik di kawasan itu. Hanya catatan biasa seorang penduduk Merali.[]

No comments:

Post a Comment