Jika Puduraya menjadi Pudu Central, maka apa salahnya Jalan Silang menjadi Jalan Bangladesh. Lihatlah kiri kanan jalan semua barangan dari Bangladesh dilonggokkan di situ. Ketika meninjau kedai-kedai itu, semua produk adalah dari sana, tidak ada tulisan yang boleh kita baca. Ubat-ubatan jenis sapu luaran, pil demam, dan macam-macam pil, ubat kuat cara dia, makanan cara dia, semua pelik-pelik belaka, dan tidak ada orang Melayu yang masuk ke situ, sebab yang Melayu tahu hanya kapur dan sirihnya sahaja. Itupun kapur dan sirih hanya tinggal perlambangan adat budaya, amalan makan sirih sudah tidak ada lagi. Lagu "Makan Sirih" masih dinyanyikan, tetapi sejauh mana orang mengikut budaya nenek moyang dulu yang menjamah sirih untuk memulakan sesuatu. Kemudian dalam soal adat peminangan ada tepak sirih. Itu simbolik sahaja, sedangkan tepak sirih tidak ada kegunaan lagi di zaman moden ini. Akan tetapi budak-budak Bangladesh gemar sekali makan sirih.
Bukan sahaja budak Bangladesh, budak-budak dari Nepal pun suka. Kenalan penulis seperti Gill, Gautham, Gungga dan Arjun juga suka makan sirih. Sudahnya, lantai atau aspal jadi sasaran crit-crit, semuanya jadi kotor. Bas yang mereka naiki setiap hari pun berbau.
Budak-budak Bangladesh berada di mana-mana terutama di kawasan Lembah Klang. Mereka menguasai sektor perburuhan. Projek pembinaan yang ada di mana-mana dipenuhi oleh budak-budak Bangladesh. Ada yang bekerja di bahagian logistik, di bahagian sekuriti tapak pembinaan, membuat kerja-kerja rencam, pendawaian, ketukangan, kimpalan, bengkok besi, tukang cat, memasang perancah, memasang gondola, memasang mask, kontrol kren, kawalan lalu-lintas, dan berbagai lagi. Pendeknya jika anda berkesempatan berada di tapak projek, anda akan saksikan begitu ramai tenaga kerja dari Bangladesh berjejalan membuat punch card yang diwajibkan oleh ketua masing-masing.
Mereka mempunyai ketua masing-masing mengikut sub-kontrektor yang ada. Kontraktor yang menggaji mereka boleh arahkan mereka pergi ke mana-mana tapak projek jika projek yang ada hampir selesai. Ketika sebuah apartment mewah hampir siap, kontraktor bahagian dapur akan membekalkan apa sahaja keperluan dapur yang lengkap untuk dipasang. Begitu pemasangan cermin yang menjadi trend di kebanyakan bangunan moden hari ini. Cermin yang berat itu perlu dinaikkan dengan menggunakan kren. Budak-budak Bangla yang menjaga lalu-lintas dan pengawal amaran bekerjasama dengan budak kren yang bertugas di puncak bangunan. Budak yang mengendalikan kren ada macam-macam perangai, ada yang cermat dan ada yang panas baran. Makan minum selagi berada di kren atas bangunan dipesan melalui walkie-talkie. Teh tarik, nasi campur, air botol dan sebagainya, dinaikkan dengan menggunakan kren dari lantai bawah ke tingkat 50 di atas. Budak-budak Bangladesh tahan dimarah, ada yang dimaki, dan mereka juga kuat bergurau serta pandai menyesuaikan diri dengan keadaan.
Kehadiran budak Bangla menyemarakkan kedai Mydin, kerana kebanyakan budak Bangla menganggap kedai itu sebagai kedai harga patut, tidak seperti orang Melayu yang berpantang dengan kedai tertentu. Bangla menjadi pelanggan beg saiz besar dan selimut. Negerinya selalu banjir dan hujan. Selimut sangat diperlukan.
Budak Bangla boleh makan apa sahaja makanan di kedai mamak, kedai Pakistani dan yang sejenis dengannya. Mereka tinggal berpencaran, ada yang di kawasan rumah kongsi tapak pembinaan, ada yang menyewa bilik beramai-ramai. Mereka boleh berjimat menanggung kos sewaan tempat tinggal dan makan bersama.
Ikan air tawar adalah kegemaran budak-budak Bangla. Mereka tidak cenderung kepada udang, ketam, ikan tenggiri atau ikan saiz besar. Mereka lebih gemar ikan sepat, ikan puyu, haruan, ikan bilis basah, dan ikan-ikan yang kita tak kenal pun. Lihatlah kedai yang menjual segala jenis ikan di Jalan Silang. Ikan air tawar berukuran besar menjadi kegemaran mereka. Sama juga dengan daging kambing.
Bau masakan mereka sama sahaja antara satu kelompok dengan kelompok lain. Mereka juga mahir masak briyani secara Bangla. Tomato tidak boleh tinggal. Mesti ada dalam semua masakan gulai. Komuniti mereka sangat bersatu, maklum berada di perantauan. Setahun sekali mereka akan kutip duit untuk beli lembu atau kambing. Ada masanya mereka berkongsi beli rusa. Dari pengalaman penulis, budak-budak Bangla sanggup membayar harga mahal untuk dapatkan daging rusa. Bayangkan seekor rusa lebih RM3 ribu harganya. Mereka sembelih di luar, dagingnya dilapah dan di bahagi-bahagikan sama rata. Ketika mereka bekerja di K Resident (sekarang Regency, depan KLCC, Jalan Ampang), mereka berkongsi daging rusa, seorang menapat sekilo lebih. Harga yang dibayar terlalu mahal untuk mendapatkan daging rusa.
Masakan kegemaran mereka adalah gulai kari secara Bangla. Sungguhpun mereka seolah-olah golongan yang berpendapatan rendah, mereka mampu mengirimkan wang ke kampung halaman masing-masing. Selain menggunakan khidmat penghantaran wang yang bercambah di sekitar Jalan Silang dan Central Market itu, mereka juga saling berkiriman wang dan barang jika ada sesiapa hendak balik kampung.
Budak Bangla mudah didekati. Sama juga budak Nepal yang kadang-kadang orang susah nak bezakan mana satu Nepal dan mana satu Bangladesh.
Budak-budak Bangla kebanyakannya berkawan dengan Awek Indon. Mereka lebih senang berkawan kerana semuanya adalah orang luar. Perempuan Melayu kurang tertarik kepada mereka. Hanya Melayu yang kemaruk dengan filem Hindustan akan rapat dengan Bangla. Perempuan dari Jawa Timur berkawan dengan Bangla sehingga ring tone pun lagu Hindustani. Nonton filem Hindustan, dan makan makanan Bangladesh atau yang serasa dengannya.
Bekas majikan penulis khabarnya yang menjalankan perniagaan restoran di Bandar Baru Bangi, berkawan dengan lelaki Bangla. Kebiasaan lelaki Bangla bijak mengambil kesempatan, berkawan dengan wanita tempatan bagi tujuan menguatkan ekonomi mereka. Ada yang telah berkahwin dengan wanita tempatan, bekerja sebagai jurubahasa Bangladesh di mahkamah. Dia selalu solat di Masjid Jamek, dan berborak-borak dengan grup penulis di situ.
Ada juga budak Bangla yang menyamar. Contoh, seorang lelaki Bangla memberitahu penulis namanya Kalam. Sebenarnya dia beragama Hindu sana. Dia menggunakan nama Kalam seolah-olah dia seorang Islam, dan dia terus terang dapat memperdaya seorang janda Melayu yang bekerja di Jalan Ampang. Pasangan yang tidak berkahwin ini kerap membeli-belah di pasar malam sekitar Ampang.
Di pinggir Kuala Lumpur, ada budak Bangla yang berniaga ikan dan sayur. Mereka menolak kereta sorong sambil membunyikan "hon" seperti penjual roti. Setiap hari dia menjadi harapan kepada suri rumah yang malas hendak pergi ke Chow Kit. Inilah "warung tolak" yang berada paling hampir di dapur rumah orang-orang kita.
Kalau kita amati, setiap budak Bangla di bumi Malaysia ini ada kerja. Tidak kira kerja apa. Berbeza dengan budak-budak Melayu yang memilih kerja. Sebenarnya sikap kita sendiri tidak betul. Kita selalu menandang sinis kepada orang yang bekerja macam itu. Berapa ramai Melayu yang kerja di sektor pembinaan?
Tidak ramai. Mungkin mentaliti Melayu lebih menggemari kerja dalam suasana dingin, pejabat, syarikat ada nama sebagaimana gambaran dalam drama TV kita.
Jika sesekali jenguk Jalan Silang, anda akan hairan, kini di kanan dan kiri jalan sudah dipenuhi dengan kedai mereka. Barangan mereka, sirih mereka, curut mereka, dan apa sahaja makanan kegemaran mereka ada di situ.
Sama juga kesibukan Melayu terhadap belacan, sambal dan sebagainya. Jangan hairan, Jalan Bangladesh semakin meriah dan padat pada hari ini.[]
No comments:
Post a Comment