Undang-undang apa pun yang sedang nak diluluskan di Parlimen ia akan mengekang kuasa rakyat daripada mengadakan demo. Tidak ada istilah demo haram atau halal, sebab di negara kita, sesuatu yang datang dari pihak Umno akan dianggap halal dan sesuatu yang datang dari pembangkang (baca PR) adalah haram dan menyalahi belaka. Inilah canggihnya sistem perundangan di negara kita.
Begitu juga dengan ISA yang dulu orang tepuk tangan dan mengalu-alukan, tetapi para sahabat semua menunggu dengan sabar dan tak berani komen berlebihan, sebab jika dipuji-puji ia akan makan tuan juga. Betul, ISA hanya dicelupkan dengan tepung berwarna dengan citarasa lain tetapi ia begitu juga rupa dan bentuknya.
Tengoklah apa yang sudah jadi dengan undang-undang perhimpunan tadi, pihak tertentu dalam Umno sedang merancang bagaimana tidak berlaku lagi demo rakyat besar-besaran, dan mereka harap Bersih 2.0 itu yang terakhir.
Orang tetap tak percaya adanya permit untuk demo melainkan ia dipohon oleh golongan Perkasa dan Umno. Jika ada pihak PR hendak memohon adakan demo termasuk NGO pasti akan diselidik habis, siapa dalang di belakangnya dan ada kaitan dengan pihak tertentu atau tidak, maka jika ada kaitan dengan penguasa pusat, maka ia dibenarkan.
Penipuan dalam sistem perundangan begini sebenarnya adalah ujicoba pihak pemerintah untuk mengalihkan persepsi rakyat terhadap apa yang dikatakan sebagai kekangan agar keselamatan negara lebih terjamin.
Undang-undang menghalang demo besar-besaran adalah rekayasa pihak Umno dan sekutunya kerana bimbang gelombang rakyat yang lebih besar akan berlaku. Bukankah sudah ada ura-ura nak mengadakan Bersih 3.0 jika tuntutan yang awal tidak dipenuhi?
Sebenarnya Umno dan pemimpinnya memang gerun dengan demo. Mereka tidak biasa dengan demo. Jika Umno nak buat demo selalunya tidak laku, tidak sepadat yang PR buat. Umno tidak ada pengalaman buat demo kerana Umno tidak ada poin untuk mengumpulkan rakyat.Sejauh ini rekod menunjukkan Umno hanya boleh buat demo jika ada peruntukan untuk menghadiri demo, siapkan beberapa ratus buah bas penuh dan semuanya free termasuk makan minum dan tempat lepak.
Ia tidak sama seperti demo yang dilakukan oleh NGO yang bersebelahan dengan PR, mereka datang dengan ketulusan tanpa ada duit poket dan nasi bungkus semua.
Ketakutan terhadap fenomena demo rakyat beginilah, pihak penguasa cuba menerapkan peraturan baru. Apabila hendak adakan demo kena mohon kepada pihak penguasa dulu. Logikkah pihak penguasa hendak beri kebenaran? Sudah tentu tidak, atas kertas orang anggap wah bagus amat BN mentadbir negara ya, tetapi ingatlah, dunia sedang memerhatikan tindak-tanduk yang tidak popular ini.
Rakyat akan lebih marah jika tidak dibenarkan unjuk rasa macam dulu. Umno sengaja hendak mengekang kebangkitan rakyat. Sebab jika berlaku ladi perhimpunan besar, nescaya ia lebih hebat daripada Bersih 2.0 yang berjaya membuka mata dan minda pemimpin Umno. Mereka selama ini menganggap rakyat kecil tidak ada kuasa, bahkan kejayaan Bersih 2.0 memberi momentum kepada bermacam perubahan yang tidak berubah-ubah, hanya retorik atas kertas. Jaminan demi jaminan dan perubahan demi perubahan, akan tetapi retorika dari kalangan pengarang kanan media arus perdana sahaja. Ia hendak menggula-gulakan semut rakyat.
Mungkin Bersih 2.0 itu yang terakhir, lepas ni, nak adakan perhimpunan AMAN DAMAI kena bagi notis 30 hari dulu, kena tunggu pelepasan boleh atau tak boleh, sudah tentu pihak polis akan rujuk kepada menteri dalam negeri, hasilnya: "Jangan benarkan!"
Maka kempunanlah orang nak adakan perhimpunan, kecuali jika ia dipohon oleh pihak yang memihak kepada UBN maka besar harapannya diluluskan dengan sokongan padu.
Kemudian tidak dibenarkan buat protes jalanan. Jadi perhimpunan AMAN ini menurut definisi Umno ia adalah perhimpunan AMAN yang dihadiri oleh budak-budak bisu, tak dibenarkan protes apa pun. Kemudian lingkungan 50 meter dari tempat larangan boleh dipertimbangkan.
Hanya orang yang keliru ia lebih parah daripada Akta Polis 1967 (Seksyen 27 dan 27A). Bagaimanapun menurut gong dan canang yang dipalu oleh "media arus Perdana Menteri" dengan akta molek ini Malaysia akan dikenali sebagai sebuah NEGARA DEMOKRASI terbaik di dunia dan Kutub Utara-Selatan.
Bolehkah dianggap negara terbaik dalam pengamalan demokrasi. sedangkan akta yang dipersembahkan itu tidak demokratik langsung. Maknanya, kalau dulu boleh lalu situ, sekarang tak boleh lalu lagi. Sama sahajalah. Ia bukan perubahan atau penambahbaikan, bukan juga transformasi, tetapi peratuan yang semakin KERAS dan membunuh aspirasi rakyat kebanyakan.
Kesudahannya:
Penganalisis berpendapat, lepas ini mohonlah apa sahaja perhimpunan AMAN, pihak polis sudah ada jawapannya. TAK BOLEH, HARAP MAAF.
Kemudian mohon lagi, tak dapat lagi. Notis 30 hari habis. Mohon lagi. MAAF. Akhirnya ia macam satu lingkaran syaitan.
Pi mai, pi mai, tang tu jugak.
Apa yang dianggap sebagai penjelasan pihak polis untuk mengklasifikasikan perhimpunan itu AMAN atau KECOH maka ia diputuskan di bilik berhawa dingin, dengan otak yang dingin.
Kesudahan daripada akta ini, sesiapa pun tak boleh buat perhimpunan lagi. Yang dibenarkan adalah pihak-pihak yang mengadakan perhimpunan untuk mengangkat gambar Tuk Jib dan sekutunya. Hidup Melayu dan Hidup Melayu, itu sahaja yang dibenarkan. Begitulah pendapat penganalisis isu ini ketika dihubungi. []
No comments:
Post a Comment