Jangan nak ketawakan kalau ada pengawal keselamatan yang diibaratkan pagar makan padi. Setahu penulis, di Sekincan sana, di Pasir Panjang sana, adalah kawasan sawah. Sawah kami di sana tidak ada pagar pun. Justeru harapkan pagar makan padi ni kena baca ulang untuk memahami maksudnya. Atau mungkin kena buat yang baru dan lebih sesuai.
Ada seorang pengawal keselamatan berkhidmat di Bangunan Loke Yew, dekat Bangunan Sultan Abdul Samad, masa itu dia berkhidmat dengan Syarikat Helang Keemasan. Bertugas sif siang dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam. Dia kerja macam biasa. Masa itu dia tinggal di Sentul Pasar. Entah betul atau tidak kurang pasti. Ini berdasarkan sembang kawan penulis.
Nama budak sekuriti tu Muthu. Dia kalau bercakap dengan bos syarikat atau bos-bos syarikat yang ada di bangunan itu bukan main lembut. Pandai ambil hati.Pandai ampu, dan pandai segala-galanya. Akan tetapi kelemahannya jika ada pitih dia akan minum sikit, kasi ringan kepala.
Kerja tak ada masalah. Dia cukup jaga budak-budak bawahannya. Dia baik dengan budak-budak yang kerja dengan Bueken, dengan budak-budak Portmouth University,dengan budak-budak kerja pejebat peguam, masa itu Mahkamah Perusahaan pun ada di situ, tingkat tiga kalau tak silap. Ada pejabat mewah yang konon jadi think tank sebuah syarikat yang menjadi penasihat untuk segala macam projek, konon projek di Sepang, projek di Putrajaya, syarikat Henry & Butcher, dan banyak lagi.
Biasanya kalau hari Sabtu, pejabat sampai pukul 1.00 petang. Maka relaks sikitlah Muthu dengan kawan-kawannya bertugas. Budak-budak di situ, hanya jaga parking lot yang ada, terutama kawasan parking VIP yang kekadang menimbulkan kekecohan. Orang kaya memang berlagak habis, siap pemandu dan tempat parking yang tak boleh dikacau-ganggu.
Muthu hanya kena jaga agar orang luar tak sebarangan keluar masuk, kena ronda di lantai bawah, tempat parking, dan hingga ke lantai paling atas, boleh nampak Dataran Merdeka. Hari Sabtu biasanya Dataran Merdeka ada persembahan riuh rendah. Maka orang melayu biasanya berjejalan kalau ada pesta, tak kiora pesta apa pun. Malam minggu, tempat parking penuh. Maka Muthu selaku ketua sif malam memantau sekitar.
Dalam hati Muthu, malam itu dia boleh kaut duit dengan membuka ruang parking di lantai bawah bangunan itu. Kenakan bayaran RM3-RM4 pun tak apa. Orang mesti bayar punya sebab tempat itu dekat. Malam itu secara diam-diam Muthu bertugas seorang diri. Seorang lagi petugas sesi malam disuruh tidur. Tak ada masalah Muthu boleh jaga seorang.
Dalam pada itu Muthu selaku ketua pengawal sesi malam lupa. Dalam banyak-banyak kereta yang masuk untuk parking di lantai bawah bangunan itu adalah budak-budak pekerja pejabat di bangunan itu. Maka budak itu dengan bijaksananya telah menggunakan telefon bimbit merakamkan adegan yang berlaku.
Esoknya, budak yang jadi pemandu kereta mewah bos sebuah syarikat yang jadi perencana segala projek hebat di sana-sini melaporkan, "Malam tadi ada orang dah kantoi!" katanya.
Siapa dia yang kantoi tu? Siapa lagi Muthu.
Dan kisah kantoi dapatkan duit parking kereta secara haram itu telah pecah secara diam-diam. Che Ali Che Mok yang tinggal di Gombak pun geram bukan main. Dia bekerja memantau hal ehwal keselamatan bangunan itu selain hal berkaitan dengan keselamatan banjir. Maklum bangunan itu dekat sungai, kalau hujan lebat, siren di bawah bangunan itu akan berbunyi. Budak bertugas akan berkejar ke bawah, tekan butang siren tadi supaya diam. Kemudian tutup lubang air. Gunanya agar limpahan air sungai tidak masuk ke lantai bawah bangunan itu.
Hari Ahad, kerja macam biasa budak Muthu itu. Tetapi dia nampak gelisah dan tak menentu.Masuk hari Isnin, Muthu sudah cabut. Tembelangnya pecah. Budak bawahan termenung. Tak sangka, orang yang diharap menjadi ketua dah buat hal. Maka Muthu terpaksa menipu kawan-kawan kerjanya dengan mengatakan dia ada hal. "Saya punya saudara ada masalah, dia suruh saya balik cepat ke Sentul." Muthu pun naik motosikal tinggalkan bangunan itu. Dia tak akan datang lagi ke situ. Maka kecoh, konon pihak pengurusan bangunan hendak menyaman Helang Emas dan macam-macam. Temberang Che Ali sahaja.
Dipendekkan cerita. Budak Muthu kemudian tak kerja. Ke mana nak lari. Kerja sekuriti bukan senang, kamu lari, bermakna satu sen tak ada duit. Kalau kejadian "pecah amanah" berlaku setelah dapat gaji tak apa. Atau setelah dapat pinjaman RM200 pada setiap 20 haribulan.
Mana tahan nak menganggur lama. Budak Muthu lari ke Balakong. Cari kerja di sana. Dia pun dapat kerja dengan sebuah syarikat Arm....Gaji RM850, begitulah penulis diberitahu. Syarikat Nippon Express. Bukan syarikat bas ekspress, tetapi syarikat pengangkutan.
Setiap hari lori kontena keluar masuk. Dari Penang, dari Johor, dari Singapura, dari Kuantan (barang alat ganti kenderaan), dari Bangkok pun ada.
Dapatkah Muthu mempertahankan dirinya sebagai seorang pengawal yang menjaga padi di sawah? Tengoklah cara dia bekerja di situ. Menurut seorang kawan, di tempat baru ini, dia boleh tidur di kawasan tempat kerja, tak payah balik rumah, tidur di rumah khas untuk para pemandu. Maka Muthu bolehlah jimat.
Dia kerja dengan tekun, banyak dia bagi cadangan itu dan ini, dia boleh membodek habis bos syarikat pengangkutan itu.
Pendeknya percaya habislah. Hanya kelemahan dia, apabila bertugas di situ, jumpa geng dia yang kaki minum, maka dia akan masuk ke rumah kontena untuk teguk sedikit. Apabila sudah meneguk dia mula mengantuk mabuk. Maka urusan keluar masuk, rekod dan laporan setiap jam dan minit ditulis oleh rakannya. Rakan banyak membantu ketika Muthu mabuk.
Apabila ada ruang, Muthu boleh berleluasa menanam kepercayaan kepada seluruh kaki tangan bawahan syarikat. Disebabkan sesama bahasa pertuturan, maka dia ramai kawanlah, kawan minum pun ramai. Maka keadaan tempat kerja makin selesa benar bagi dia. Padahal menurut laporan budak-budak kerja di situ yang penulis diberitahu, budak-budak hanya menipu syarikat sahaja. Rekod kedatangan ada, tetapi orangnya tak ada. Begitulah yang terjadi setiap malam. Ada budak Melayu bertugas malam, dengan pakaian cincai, selekeh, hisap ganja lagi, kemudian berdengung. Pukul 3.00 pagi balik ke rumah langsung tak muncul lagi.
Di situ pihak ibu pejabat selalunya membuat panggilan kepada pos-pos kawalan yang ada.
"Keadaan bagaimana? Berapa orang bertugas? Baik? Okay!" Itulah yang selalu disebut apabila ditanya oleh petugas di ibu pejabat. Ada juga pegawai ronda yang datang pada waktu pagi kita-kira pukul 4.30 atau lebih awal lagi.
Setelah setahun lebih kerja di situ, Muthu semakin dipercayai. Boleh diamanahkan. Nak dijadikan cerita, pada hari cuti umum, bos Billy tidak ada di situ, budak kerja pun tak ada, kunci van syarikat diletakkan pula di dalam laci di bawah kawalan Muthu.
Muthu pun pandu van syarikat menuju ke belakang, punggah zink yang terbiar dan apa sahaja yang boleh dibawa keluar untuk dijual di kedai besi buruk. Dia pun punggah zink dan aluminium, sementara sahabat baiknya yang tak tahu membaca dan menulis Si Kalimuthu menunggu di pondok kawalan utama.
Biasanya dia akan mencatatkan keluar masuk lori. Misalnya sebuah kontena masuk. Jam 8.35 pagi. WHB4702,T762. Termasuk nombor trelar yang diheret. Apabila keluar, ia dicatat sekali lagi, sebab kepala lori itu akan membawa kontena lain misalnya T821 pula. Ada barang atau kosong. Kena periksa kontena itu dulu.
Si Muthu yang sudah dipercayai kejujuran dan amanahnya telah memunggah zink terpakai untuk dijual di kedai besi buruk. Sudah berangan-angan nak dapatkan duit, boleh beli air minum dan boleh mabuk lagi. Hari minggu boleh rehat dan mabuk sikit.
Kebetulan masih cuti umum, keadaan lengang, hanya Muthu dan Kalimuthu sahaja yang ada di situ. Maka, Muthu pun dengan penuh yakin memandu van syarikat yang diamanahkan kuncinya menghala ke depan pejabat.
Dalam masa yang sama, entah bagaimana bos besar masuk dengan mercedeznya. Mak oi, Muthu gelabah bukan main. Dia pakai uniform jaga tapi bawa van syarikat. Bos besar berhenti. Dia keluar dan tahan van yang meluncur dari arah belakang kawasan parking kontena dan lori.
"Nak ke mana?" tanya bos besar.
"Ada...ada...," merapulah Muthu menjawabnya. Dia kata nak hantar zink keluar, pegawai anu suruh hantarkan zink itu keluar.
Bos besar tak percaya. Dia terus minta kunci. Ketika dia hendak letakkan kereta mercedeznya, Muthu sudah kelam-kabut capai sana-sini dan terus cabut meninggalkan kawasan Nippon Ekspress. Ini kes kedua dia kantoi lagi. Mana nak tutup muka.
Kalau repot polis memang ada kes. Kes pagar makan padilah. Tapi ini kes kecil, orang kecil curi zink nak dijual di kedai besi buruk.
Pengajaran cerita ini, seseorang pegawal keselamatan yang biasa melakukan kerja tidak jujur, pecah amanah, akan tetap melakukan di tempat lain. Dalam kes ini penulis tertarik dengan kisahnya sebab, Muthu telah melakukan dua "kecurian" sedangkan dia diamanahkan sebagai ketua kepada para pengawal lain.
Seperti diceritakan oleh seorang sahabat, kecurian pertama yang kantoi, mengutip bayaran parking kereta di lantai bawah bangunan Loke Yew Dataran Merdeka (2006) dan kemudian memunggah zink buruk untuk dijual (2008) di Balakong.
Berdasarkan kisah orang biasa ini, tidak hairanlah, ada pegawai kerajaan berkedudukan pecah amanah, pegawai atasan atau bawahan pun sama. Soal duit akan merabunkan semua orang. Kadang-kadang orang boleh hilang pertimbangan.
Sebut harga yang melampau dan memanipulasi harga barangan adalah perbuatan yang biasa dilakukan oleh kalangan kita. Lagi-lagi kalau ia melibatkan projek perdana. Tengoklah kisah lembu dengan Shahrizatnya. Tengoklah kes kapal selam. Kes Pelabuhan Klang. Kes korek pasir. Selagi ada ruang, orang akan melakukan apa sahaja kejahatan yang tersembunyi.
Dalam kes syarikat pengangkutan umpamanya, masih ada pemandu yang membuat klaim duit minyak yang berlebihan. Alasan, lori kuat makan minyak. Setelah direkodkan secara rahsia, bukan masalah enjin lori, tetapi pemandu tidak mengisi penuh tangki minyaknya walaupun resit menunjukkan seolah-olah penuh, begitu juga ada lori kontena yang mengelak di jalan tol, tetapi dia dapat klaim dari tol orang lain. Resit tol boleh dibeli.
Kisah Muthu yang tak serik-serik ini mungkin boleh dijadikan pengajaran. Berhati-hati dengan orang yang bermulut manis. Kuat mengampu dan mengatakan serba boleh buat itu dan ini.
Kisah ini sengaja dipaparkan kerana ia mewakili kisah orang kecil. Kisah orang kecil biasanya orang tak peduli. Kisah mereka juga perlu dipaparkan.[]
No comments:
Post a Comment