Ketika blog ini dicatat, di luar sana masih kecoh dengan persoalan lembu. Kebetulan dalam beberapa hari yang lalu kita menyambut Hari Raya Korban, maka lembulah yang dicari orang. Tetiba meletuplah isu lembu. Bukan fitnah dan bukan rekaan, tetapi ini berdasarkan Laporan Audit Negara. Tidak ada siapa yang boleh menyanggah, tak tahulah mungkin ada di kalangan pembesar kita yang mengatakan laporan itu tidak kemaskini, tidak memuat data-data lengkap atau kekeliruan pengambilan data. Apa pun, semua ini sudah pecah sekarang. Semua orang sudah tahu, orang kampung yang tak minat politik pun dah minat, tak tahu hal lembu melembu pun dah tahu. Baguslah, maknanya rakyat sudah sedar, seorang pemimpin, yang menang dalam pilihanraya tidak digalakkan mengkayakan diri mereka. Tidak digalakkan bergaya dengan kereta mewah sedangkan jiran-jiran masih pakai Kancil atau Saga biasa.
Dah jadi kebiasaan orang Melayu suka "pamer" kekayaan dan kemewahan. Orang kerja Gomen selalu begitu, apa nak hairannya, duit macam misai, dicukur habis akan tumbuh lagi. Duit mereka begitulah, habis duit pergi cucuk di ATM. Tetapi bagaimana orang yang bukan kerja Gomen, dan buat kerja sendiri, tebas rumput, mengait pisang, kelapa sawit, cari ketam nipah di pantai, kutip siput, kutip pucuk pakis, tebang pisang nak buat kerepek pisang, buat penyapu lidi, bela ayam kampung ala kadar, ambil upah kerjakan sawah atau kebun orang, maka orang politik terutama yang masuk ikut "tingkap" iaitu yang telah kalah dalam pilihanraya tapi masih diberi ruang untuk duduk di Parlimen, maka mereka akan melakukan kenistaan seperti kes lembu Feedlot RM250 juta. Bagi orang kecil, cerita macam ini menyebabkan mereka marah. Mereka begitu susah nak dapatkan duit RM25 sehari, tanyalah Pakcik Jaga. Tetapi orang politik (terutama yang berada di sisi penguasa -UBN-) dengan senangnya memperoleh kekayaan atas dasar merit keahliparlimenan dan kebarisanasionalan - di sinilah mata rakyat kecil, orang kecil akan jadi merah, pedih, sedih, kerana orang yang berkuasa dengan sewenang-wenang melakukan sesuatu yang dianggap merendahkan imej mereka.
Betapa tidak, nama projek ternak lembu, harapannya dapat membekalkan daging (bukan tenusu) untuk sedikit keperluan domestik. Apa sudah jadi? Diserahkan kepada sebuah syarikat. Jika projek ini dikendalikan oleh jabatan atau kementerian lain atau agensi kerajaan lain pun rasanya, sama sahaja, mereka tak mampu melakukannya.
Teknologi kita jauh ketinggalan biarpun ada kajian demi kajian tentang kaedah ternakan lembu ini. Bacalah jurnal tentangnya. Memang indah data-data dan pengkaedahannya, sayangnya, kita belum sampai ke peringkat menterjemah dalam bentuk praktik.
Kes yang menimpa Shahrizat ini berkaitan dengan kemampuan menjalankan perniagaan di bidang ternakan. Rekod di negara kita, belum ada orang boleh pelihara lembu sehingga melahirkan generasi cowboynya. Belum ada.
Lembu pawah, bela lima ekor, bela sekandang bolehlah. Apabila berskala besar, maka akan kecundanglah kerana menyedari apa nak gaduh, kalau gagal pun bukan rakyat marhaen tahu?
Zaman dah berubah rupanya. Memberi dana besar untuk sesuatu projek ternak lembu ini seolah-olah kisah skim cepat kaya. Bukankah ramai di antara umat Melayu yang kecundang kerana menyertai skim cepat kaya ternak lembu? Anda boleh ternak lembu, tak perlu ladang, tak perlu kandang, tak perlu pegang tali lembu, tak perlu carikan rumput lembu, semua akan diuruskan oleh sebuah ladang perintis.
Daftar sekarang. Minimum seekor lembu sebanyak sekian dan sekian. Begitulah sahabat saya bercerita dalam tahun 2008, itulah kisah pelaburan ternak lembu. Tiba-tiba gagal. Sama gagalnya macam projek ternak ketam, ternak keli, ternak ketutu dan macam-macam lagi.
Ingatlah zaman sekarang, nak mengaut duit bukannya susah benar. Janji berani redah. Dalam kes ternak lembu (NFC) tadi kegagalan mengurus wang yang besar menyebabkan ia sudah lari dari matlamat asal - ternak lembu untuk dapatkan dagingnya. Memang ada yang sudah mendapat habuan daging itu, tetapi khabarnya kosnya atas dasar asal pulang modal sikit. Maka bekalan daging diberikan kepada puak tertentu pula yang masih dalam "lingkaran syaitan" belaka.
Maka apabila pihak odit melaporkan kegagalan di beberapa agensi tertentu yang berkaitan kementerian tertentu, pemimpin atas memberi jaminan akan bertindak mendakwa mereka. Itu kenyataan politik, televisyen dan media perdana pun sama riuhnya mengulas kenyataan yang tak berwibawa itu. Terbukti, tidak ada tindakan apa-apa.
Bertindak bererti menepuk air cili dalam dulang, memercik kena mata, pedih jadinya.
Sehingga kini, orang pun keliru, orang gelapkan duit RM3 ribu pun kecoh tetapi ini "penyalahgunaan" pertuntukan yang besar tidak ada apa-apa kesan. Kaedahnya di bumi Malaysia ini, kita suka buat kecoh kalau rasuah RM30 dilaporkan guna menaikkan imej peribadi seseorang konon individu itu antirasuah. Padahal rasuah kecil-kecilan inilah yang paling dominan.
Jika anda rajin, merayaulah waktu malam. Tunggu di mana simpang, intip dan selidik.
Apabila ada lelaki Bangladesh atau Indonesia lalu, maka ada seseorang menahannya. Tengok itu dan ini, Berapa kamu bagi? "RM50" - ini adalah gambaran biasa di bumi Malaysia. Wang di mana-mana diminta oleh para "pengemis" - istilah mudahnya adalah "peras ugut".
Sayang, tidak seorang pun berani melaporkan benda ini. Kerana orang sudah membuat tanggapan ada apa dengan RM50, sedangkan yang RM50 juta pun tak peduli? Yang Rm500 juta pun tak kisah.
Kefahaman tentang wang ini masih rendah di kalangan masyarakat. Ada sebabnya. Mereka tak mahu dipayahkan dengan bermacam soal selidik yang berbelit-belit. Soal selidik itu akan mengganggu tugasan mereka yang kebanyakan kerja kilang. Mereka rakyat asing, jika lebih-lebih nanti bimbang mereka sendiri yang terjerat kerana tidak faham tentang kaedah dan sistem yang ada.
HEBAT
Berbalik kepada kes NFC tadi, apabila peruntukan asal menurut kertas kerja berjela-jela adalah untuk ternak lembu daging, maka begitulah wang itu akan disalurkan, bukan untuk membeli kereta mewah, bukan untuk membeli banglo atau kondo mewah. Kalau beli kondo RM9.8 juta bagi menempatkan lembu daging tidak mengapa juga sebab ia masih ada kaitan. Maklumlah, teknologi ternak lembu daging di Malaysia jauh lebih hebat daripada teknologi di Belanda, New Zealand dan Australia.
Mungkin pakar-pakar antarabangsa akan datang ke Malaysia untuk mengkaji keberkesanan meletakkan lembu daging di kondo mewah, bagaimana pengurusan kondo sibuk menguruskan soal najis dan rumput kering untuk makanan lembu, dan bagaimana sukarnya pihak pengawal keselamatan kondo itu mengawal keadaan apabila lembu-lembu banyak mengganggu pengguna lain di dalam lif. Maka lif bombalah yang dijadikan pilihan. Pada pintu lif bomba itu diletakkan lambang lembu. Ia khas untuk membawa naik dan turun lembu-lembu istimewa.
Maka, kawasan persekitaran kondo itu persis kandang lembu, bau najis lembu harum semerbak. Najis lembu perlu dikutip dan dibuang setiap hari. Ada petugas khas mengutip najis lembu. Seorang kontraktor Melayu diberi tugasan itu dengan lima pekerja rakyat asing. Tidak ada masalah, tuan punya kondo tidak bising apabila lembu dibawa masuk naik lif. Bahkan anak-anak kecil yang tinggal di kondo itu bangga kerana mereka berjirankan lembu.
Kesibukan keluar masuk membawa lembu dari ladang ke kondo "Meraung" itu memang membuatkan kawasan sekitar jadi sibuk dan macet. Bayangkan, lori keluar masuk bawa rumput, bawa lembu, bawa doktor haiwan dan sebagainya.
Apa pun, projek lembu daging yang dijangka akan menambah keluaran daging dalam pasaran domestik tidak jadi kenyataan. Di Parlimen, orang-orang dari kelompok BN ikut mengulas. Memang ada di kalangan MP yang rasa iri hati. Jika bagi projek kepada seorang senator, kenapa tidak bagi kepada senator yang lain dan MP lain? Ini baru adil.
Maka tidak hairanlah apabila Bung Mokhtar sudah berani bangun mengkritik masalah ini. Yang benar tetap benar, apa hendak diselindungkan lagi. Ia akan jadi liabiliti kepada Umno dan kerajaan UBN. Usaha Khairy Jamaluddin hendak membela NFC dalam soal beli kondo pun tidak menyengat. Orang lain tidak peduli sangat kerana ada perasaan "geram" kerana masih ada menteri yang tidak faham dengan permasalahan masa lampau.
Apakah mereka tidak ingat dengan berbagai masalah yang menimpa projek-projek mega di bawah tatakelola UBN? Isu Kerpan, isu Perwaja, isu GLC, isu Pelabuhan Klang, isu kapal selam, isu Altantunya, isu Perimekar, isu SPR, isu tuntutan Bersih 2.0, wah...banyak isu yang perlu ditangani, tetapi sejauh ini semuanya terkapar dan terbiar. Rakyat kecil yang selalunya dinafikan oleh pemerintah hanya disogokkan dengan laporan yang indah khabar dari rupa.
Rasanya isu lembu ini tidak menjadi jika tanpa laporan odit, kemudian ada Pak Menteri bercakap hendak mendakwa mereka yang menyalahgunakan kedudukan, dan sekarang rakyat kecil menunggu apa tindakan susulannya. Yang memelikkan orang kecil, kes besar yang dianggap berprofile tinggi (mana tak tingginya sebab di kondo berapa tingkat?), maka orang itu tuduh pihak ini, dan pihak ini tuduh pihak itu. Ada yang kata, mereka tak ada kuasa menyiasat, dan pihak yang satu kata belum ada laporan belum ada arahan dan macam-macam alasan.
Senang cakap, isu lembu ini mungkin akan jadi macam isu kapal selam. Ketika orang sibuk membincangkan soal perkara itu, pihak yang terkena akan sibuk pula menggunakan isu dangkal seperti video seks. Gunanya untuk mengalihkan tumpuan rakyat kecil kepada isu lembu. Agaknya, isu lembu itu ada kaitan dengan Hari Raya Haji, dan sekarang sudah dekat nak menyambut Awal Muharram, maka pihak tertentu berharap isu ini sejuk.
SISTEM KITA
Begitulah sistem yang ada di bumi kita. Banyak isu yang tidak selesai, semuanya ditangani secara retorik belaka. Mereka bising untuk menambahbaikan, tetapi pada masa yang sama mereka juga menambahrosakkan apa yang ada. Mereka merosakkan minda rakyat kecil dengan slogan dan momok habuan, habuan RM100 negara berkebajikan. Mungkin beberapa tahun kemudian kita dapat berita, ada pihak tertentu menggelapkan wang peruntukan untuk sifulan dan sifulan.
Bukankah kisah begini sudah lumrah? Tengoklah, hanya untuk kursus sahaja, mereka beli yang bukan-bukan, laptop dan printer dibeli semahal-mahalnya (bil tipu), ini sudah menjadi asam garam kehidupan umat Melayu. Tidak habis-habis memanipulasi sebutharga dengan tujuan mendapatkan sedikit imbalan. Jika tidak diajar dengan kaedah begini sejak semula, tentu mereka tidak mempraktikkannya. Barangkali pengaruh politik menyebabkan timbul keberanian melakukan ubahsuai sebut harga, lagipun rakyat kecil di kampung apa tahunya?
Walaupun isu lembu nampak hebat dan dibesarkan, nampaknya media arus perdana masih takut hendak jadikan ia sebagai tajuk utama. Ulasan pun sipi-sipi sahaja walaupun akhbar itu bermoto berani dan tegas.
Buat sementara waktu isu lembu masih panas. Rakyat bawahan menunggu apakah tindakan yang akan dibuat oleh pihak berkuasa ke atas masalah lembu ini.
Masihkah ingat dengan kisah peruntukan dalam bidang sukan pada sebuah kementerian yang berkait dengan kesukanan sebagaimana didedahkan oleh Nadeswaran, wartawan berani The Malay Mail dan kemudian jadi wartawan penting The Sun? Peruntukan besar untuk meningkatkan prestasi sukan negara tidak memberi apa-apa makna, kita masih kecundang dalam apa juga bidang sukan berpasukan. Malah Vietnam dan Mynmar pula boleh mengalahkan kita dalam bidang kesukanan popular. Peruntukan demi peruntukan telah disalahguna.
Tidak ada orang atau pihak yang didakwa kerana salahguna wang yang banyak. Apabila ia menjadi liabliti kepada pihak tertentu, maka kaedahnya ialah diarahkan diam. Maka diamlah sifulan dan kini dia hidup senang lenang.
Bayangkan jika dulu berada di kandang sektor penyiaran? Tentu nasibnya tidak segelimang hari ini. Dan bayangkan pula jika sifulan itu adalah pendukung Pakatan Rakyat, maka hingga ke hari ini sifulan itu akan naik turun mahkamah kerana dimalukan "Pecah amanah" - kesimpulannya, orang kecil mendapati di bumi kita ini perundangan boleh dikatakan YA dan TIDAK atas kapasiti di mana seseorang itu berada.
Andainya boleh dipesongkan perhatian rakyat, maka pesongkan segera, misalnya terjadi tanah runtuh, banjir besar, kapal terhempas, tsunami dan sebagainya.
Inilah kelemahan orang kecil di bumi kita. Pantang ada isu baru, yang lama disenyapkan. Ini adalah strategi dalam kepropagandaan maklumat, membius massa dengan isu-isu jelmaan guna mengarahkan massa kepada kelir "Wayang Kulit" yang baru, bukan lampu minyak tanah (gaslin) tapi lampu yang lebih putih dan bergelimang cahayanya.
Wayang pun dimainkan - rakyat kecil tidak peduli siapa Dalangnya. Biasalah, di bumi kita ini DALANG adalah orang penting yang menggerakkan sesuatu.
Jangan nanti dalam kes lembu ini orang akan mencari siapa DALANGnya, iaitu dalang yang mencetuskan isu lembu ini. Inilah yang terjadi di bumi kita. Keadaannya sudah lari dari permasalahan yang dasar. Lain buat hal, lain pula yang dijadikan isu. Semua ini adalah kemungkinan yang tidak dijangka dalam tindak-tanduk politik untuk membenamkan isu. Walllahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment