Saya tidak tertarik pun kepada makhluk kecil seperti bayi, telanjang bulat, kepala gondol, mata melotot dan sehingga sekarang tidak pernah ketemu dengan makhluk halus yang dipanggil Toyol.
Tak ada sesiapa yang dapat mengambil gambar Toyol. Biar kamera canggih bagaimanapun. Apa yang ada hari ini adalah gambaran oleh pelukis. Mereka lukis bentuk Toyol mengikut apa yang telah diceritakan orang. Kisah toyol ini seolah-olah sama sahaja. Jika ada pun ada penambahan versi sedikit.
Kisah makhluk halus ini pertama kali saya ikuti setelah akhbar arus perdana menyiarkan komik Toyol dan ilustrasi makhluk itu kemudian dianggap yang paling jitu dan menjadi ikutan para pelukis komik dan pelukis ilustrasi buku kanak-kanak.
Kebetulan saya memang bergelut dalam dunia buku, maka para pelukis yang saya temui kebanyakannya merujuk kepada gambaran Toyol yang sedia ada. Begitulah sifatnya sebagaimana yang dibayangkan oleh para pencerita di mana-mana.
Suatu ketika dulu heboh juga konon ada Toyol di Kg Bharu, Kuala Lumpur. Dan ketika menyiapkan Intisari, sebuah majalah misteri, saya pernah bersembang dengan Wak Dollah Saji, di Jalan Rejang, Setapak Jaya, tentang Toyol.
Kata Wak Dollah Saji, yang ketika itu masih pegawai bomba di KL, ada Toyol yang tidak bertuan merayau-rayau di rumah orang. Ia ingin berkawan dengan kanak-kanak. Bagaimana rupa Toyol? Umumnya seperti yang digambarkan oleh para pelukis kita. Begitulah.
Kemudian Wak Dollah cerita Toyol boleh dibeli untuk dipelihara. Kisah Toyol ini mengingatkan haiwan peliharaan. Adakah Toyol ini dalam kategori haiwan berakal? Ia tetap dalam kelompok makhluk halus yang tidak boleh dirakamkan gambarnya, melainkan dilukis mengikut gambaran para pelukis.
Ada yang kata boleh beli Toyol di Jawa Barat, Jawa Tengah dan Jawa Timur.
Menurut kisah, ramai juga orang bela Toyol. Ketika saya balik kampung pada 29 Oktober 2011 yang lalu, Jemblok bertahu saya, di kampung saya ada orang bela Toyol. Siapa? Jemblok tidak mahu sebut siapa dia. Eloklah. Kalau tahu pun nak buat apa.
Sudah tentu orang Jawa agaknya? Sebab kampung saya memang penempatan Jawa 90% baik di bendang atau di kawasan kebun sawit. Ada sumber menyebut orang lelaki tak boleh bela Toyol kerana budak bernama Toyol ini perlu menyusu, jadi isteri pemilik budak kecik itu perlu bertindak jadi ibu, jika tidak ada, anak perempuan pemilik Toyol akan bertindak sebagai kakak yang akan melayani budak kecik itu.
Toyol akan menetek pada waktu dinihati hingga menjelang sebelum subuh. Itu waktu penetekan. Begitu kata paranormal yang tak boleh diyakini ketepatannya.
Begitu juga ada yang kata budak Toyol itu ada yang bermata satu (Dajalkah?). Menurut sumber cerita paranormal, Toyol bermata satu, dan hidungnya ada satu lubang, mulutnya tidak seperti mulut bayi tetapi vertikal bentuknya. Sudah tentu ia berbeza daripada gambaran pelukis Toyol yang ada hari ini.
Kemudian disebutkan, pemilik Toyol akan membawa budak kesayangan itu bersiar-siar pada waktu petang di kawasan pasar. Budak itu dibiarkan merayau seorang, sementara tuan punya Toyol nongkrong sambil hisap rokok dan minum kopi.
Konon ketika itulah budak kecik itu merayau mencari duit. Orang yang sibuk memilih itu dan ini, tidak perasan Toyol berada di sisi ketika mereka keluarkan duit, mengira duit dan menukar duit. Toyol pun mencelah menarik sehelai dua duit yang ada. Biasanya orang tak perasan pun kerana asyik membeli barang di pasar petang yang sibuk.
Orang yang banyak duit lagi senang Toyol hendak tarik duit mereka. Orang berduit tak peduli berbelanja. Setiap item yang dibeli dia akan hulurkan duit besar untuk ditukar. Ada duit kecik bang? Dia akan jawab tak ada semanjang. Jadi, dalam kesibukan inilah Toyol main peranan. Toyol bibir vertikal ini adalah makhlu Toyol yang jarang diceritakan orang.
Saya tidak tanya Jemblok orang kampung saya tentang rupa Toyol yang konon dimiliki oleh salah seorang penduduk kampung. Siapa agaknya? Tanpa prasangka, Toyol masih menjadi sebutan orang kita. Entah ia wujud atau tidak, masih tak pasti. Barangkali ia hanya fitnah dan rekaan sahaja.
Dulu Sudirman Hj Arshad ada menyanyikan lagu Toyol. Kemudian terakhir, penyampai Radio Era, Aznil Nawawi atau Pak Nil turut menyanyikan lagu ini sekali lagi. Dia minat sangat dengan Sudir. Jadi apabila disebut Toyol, segera teringatkan Sudi dan Pak Nil sama. []
No comments:
Post a Comment