Ada perkara menarik yang berlaku di kalangan masyarakat Melayu. Kes buang bayi. Buang bayi ini mungkin ada beberapa tujuan, pertama hendak menyerahkan bayi itu kepada sesiapa yang menemuinya di tempat pembuangan, kedua, dengan harapan bayi itu tidak diketahui keberadaannya sebab ia tidak diperlukan lagi. Maksudnya, biarlah ia mati kelaparan dan kehausan. Ia sama dengan perbuatan membunuh bayi itu.
Kita belum dengar kisah bayi ditanam hidup-hidup seperti yang berlaku di zaman jahiliyah dulu. Meskipun kita sudah moden tetapi masih ada lagi kehidupan secara jahiliyah.
Rasanya sudah banyak dibicarakan soal pembuangan bayi yang dilakukan oleh wanita Melayu. Di mata orang Melayu seorang perempuan yang mengandung di luar perkahwinan adalah sangat memalukan. Ia dianggap menconteng arang ke muka orang tua.
Perlu diingat, apa yang dilakukan oleh anak-anak ada kaitan dengan orang tua. Maksudnya ia ada kaitan dengan didikan orang tua. Ada kaitan dengan pemakanan, ada kaitan dengan riba, ada kaitan dengan apa sahaja tindak-tanduk ibubapa dalam menanggapi sikap beragama secara "world-view" Melayu.
Barangkali inilah yang menyebabkan ibu Melayu teramat malu jika anak gadisnya mengandung di luar nikah. Ia memberi gambaran anak gadisnya terlalu bebas, berada di luar kawalan dan di luar pengetahuan mereka.
Kisah buang bayi di tong sampah, di tepi longkang, di belakang kebun, di tepi pondok pengawal, di belakang kantin, dan di mana-mana memberi gambaran bahawa masyarakat Melayu hari ini amat sakit. Mungkin angka-angka pembuangan bayi yang dipaparkan sebagai rujukan kes membuatkan kita resah dan gelisah.
Punca segala hal ini adalah perubahan yang ada di sekitar kita. Keadaan tempat tinggal, tingkat sosioekonomi mereka, pendidikan mereka, dan jangan lupa tingkat pendidikan dan sosioekonomi ibu bapa juga memberi pengaruh besar kepada data-data yang disebutkan itu.
Sudah tentu orang akan mengatakan bahawa agama adalah benteng yang paling teguh. Ceramah, simposium, halaqah, sembang-sembang, hujah, komentar, tulisan-tulisan akademik yang menyentuh tentang persoalan buang bayi ini sudah lama dijadikan topik utama.
Kutbah Jumaat pun biasa mengulas dan mengulangi topik yang sama tentang pembuangan bayi dengan harapan kaum remaja, kaum lelaki yang memberi input kepada kebejatan moral perempuan Melayu ini diberi peringatan dan ingatan.
Nampaknya, meskipun media massa kita kerap memaparkan kesudahan daripada kes pembuangan bayi, ia masih tidak dapat membendung kejadian itu berulang dan berulang lagi. Ia tidak memberikan kesan kepada bakal-bakal pembuang bayi di masa depan.
Pembuangan bayi ada kaitan dengan hubungan seks luar nikah. Siapa yang membuang bayinya sesuka hati? Mereka adalah perempuan Melayu kita yang masih remaja, masih besekolah, pelajar pusat pengajian tinggi, pekerja kilang, kerja sendiri, penganggur, dan sesiapa sahaja yang merasakan diri mereka bersalah kerana melahirkan bayi tidak berbapa.
Kenapa orang membuang bayi? Puncanya kerana sikap Melayu terlalu menjaga agar mukanya tidak dicoreng dengan arang oleh anak perempuan atau kaum kerabatnya. Perasaan malu diaibkan oleh perbuatan mengandung di luar nikah itu diterjemahkan dalam bentuk tindakan nekad, campak bayi hingga mati, buang bayi ke parit, ke sungai atau mungkin banyak kejadian buang bayi yang tidak diketahui orang lain. Bayi itu memang telah dibuang atau telah ditanam tetapi aib yang ditanggung itu dapat disembunyikan.
Jika yang membuang bayi ada rekodnya, ia hanya melibatkan kes-kes yang telah dihidu oleh orang ramai dan ada laporan. Bagaimana kes pembuangan bayi secara senyap-senyap? Jika perempuan Melayu itu bijak dan belajar dari filem-filem jenayah, mereka tahu bagaimana hendak menghapuskan jejak pembuangan bayi itu. Mungkin kes pembuangan bayi yang bersifat pendam seperti gunung berapi pendam ini lebih banyak jika hendak direkodkan.
Bayangkan, berapa banyak yang menggugurkan kandungan secara senyap di tangan "bidan" kampung? Belum lagi klinik swasta yang dikatakan turut menawarkan khidmat pengguguran bayi secara senyap? Ada juga ikhtiar masing-masing mengikut petua-petua tradisional yang konon sangat ampuh untuk mengggugurkan janin dalam kandungan yang masih terlalu muda.
Semua ini kita hendak salahkan siapa? Menyediakan tempat perlindungan perempuan muda yang hamil tanpa nikah ini bukanlah satu penyelesaian. Ia masih tetap mencoreng arang ke muka ibu bapa juga.
Kepada siapa kita hendak salahkan? Hiburan Melayu yang melambakkah? Filem dan video kelucahankah? Telefon bimbit yang canggihkah? Bukankah laptop saiz kecil dan apa sahaja yang ada boleh memuat-turunkan bahan-bahan kelucahan. Bahan porno memang digemari semua orang.
Cerita-cerita porno pun ada dalam blog. Ia lebih dahsyat jika dibandingkan dengan novelet kisah seks tahun 70-an dan 80-an dulu. Bukankah ini memberi sumbangan kepada pembuangan bayi?
Sebenarnya apa yang berlaku ini adalah sebahagian dari tanda-tanda akhir zaman. Suka atau tidak suka, kita terpaksa terima. Masyarakat Melayu kita memang sudah lama bejat. Masalah dadah pun belum selesai, kini buang bayi pula. Kes buang bayi ada kaitan dengan dedah, dadah dan cabul. Seks bukan boleh dicuba-cuba di luar dunia perkahwinan.
Lelaki bujang yang tidak dapat mengawal diri mungkin gemar mengunjungi rumah urut. Atau mengunjungi rumah pelacuran, mereka melampiaskan nafsu syahwatnya di situ. Atau kepada pasangannya bukan bertujuan untuk dikahwini, tetapi sekadar untuk pelampiasan syahwat. Golongan inilah yang menyebabkan perempuan Melayu hamil luar nikah.
Satu perkara lagi yang kita lupa, bahawa sejak akhir-akhir ini kita begitu ghairah menggunakan isu-isu seks, contohnya liwat, video seks dan apa sahaja yang berbau seks untuk dijadikan model berita perdana, modal siaran muka depan akhbar arus perdana dengan tujuan memalukan seseorang yang menjadi musuh politik.
Inikah akhlak yang dimiliki umat Melayu? Umat Melayu gila seks? Kisah liwat dan porno tidak habis-habisnya mengalahkan masyarakat Barat. Di Barat yang porno begitu tidak laku lagi, sebaliknya di dunia Melayu ia dijadikan senjata untuk membunuh seseorang.
Dan jangan marah, jika Allah SWT menimpakan bencana kepada umat Melayu dengan kaum perempuan Melayu banyak melahirkan anak luar nikah, membuang bayi di mana-mana yang mereka suka. Inilah gambaran perempuan Melayu mutakhir yang "unjuk rasa" kepada sesiapa sahaja yang faham maksudnya, bahawa janganlah terlalu gembira mengaibkan seseorang.
Hari ini, kita masih bermain dengan isu seksual. Ini memberi gambaran umat Melayu yang dangkal akhlak. Di mana kita hendak banggakan dengan umat Melayu yang konon umat sangat berbudi bahasa, lemah lembut dan sopan santun, sebaliknya dalam bab seks, umat Melayu tidak tahu mengatur diri mereka. Seks seolah-olah barang baru, baru ditemui semalam, dan setiap orang akan mengusung kisah seks, kisah yang mengaibkan umat Melayu semua tak kira apa pegangan politik mereka.
Akhirnya, keruntuhan umat Melayu, selain kerana barah rasuah, sangup jual negeri, umat Melayu juga tergadai maruahnya kerana pembuangan bayi tidak dapat dibendung lagi. Jadi kita tak perlu berkeluh kesah jika ada perempuan Melayu membuang bayi. Ia sudah jadi macam pembuangan sampah biasa. Bayi yang dibuang itu bukannya bayi, tetapi sampah. Sebab ia juga menjadi simbolik kepada peradaban umat Melayu mutakhir yang sudah tidak keruan. Walllahu a'lam.[]
No comments:
Post a Comment