Monday, 14 November 2011

KISAH MENYAMAR SEBAGAI DR

Suatu ketika penghuni sebuah bilik di Taman Sri Watan, Ampang, telah berpindah ke rahmatullah. Dia adalah warga Indonesia yang mendapat Mykad ehsan daripada pemimpin kita di Sabah sana. Dia asal dari Bulungan, Kaltim.
Setelah dia tidak ada, biliknya kosong. Masuklah seorang lelaki yang memberikan namanya sebagai Benedict, berasal dari Melaka. Dia mungkin keturunan Portugis, dia bukan Melayu dan bukan Islam, tetapi warna kulit dan penampilannya seperti seorang Melayu kulit ciku masak (sawo matang=Jawa).
Penghuni rumah di Lorong 9 itu tidak peduli siapa pun datang menyewa, asalkan bukan pendatang haram sudahlah. Encik Hadi selaku tuan rumah cukup peduli dalam soal ini, sebab dia tak mahu diganggu dengan masalah perundangan.
Masuk Benedict tuan rumah pun gembiralah, sebab bilik itu sudah lama kosong, tak ada siapa berani sewa sebab takutkan "hantu" seperti kata Mariani yang berasal dari Fatani, Thailand, ketika memberitahu tuan rumah. Dia salah seorang penyewa yang agak lama selain Azmi dan seorang lagi orang Ipoh yang kerja di bank.
Mariani yang tidak tahu apa telah dikelentong habis oleh Benedict dengan mendakwa dia seorang doktor pakar. Pakar bahagian apa? Mariani tidak tanya pula sebab dia tidak faham doktor itu bagaimana tugasan dan bidangnya. Mariani hanya tukang masak gerai di sebuah warung belakang Risda, Jalan Ampang.
Maka, hebohlah di rumah Encik Hadi itu ada seorang doktor pakar menyewa sebuah bilik. Untuk apa sewa bilik begitu? Bukankah doktor pakar mampu menyewa Kondo Menerung? Atau beli kondo?
Mariani tidak fikir apa, keyakinan dia begitu tinggi kepada doktor pakar. Baguslah, nanti sakit pening, boleh rujuk kepada doktor pakar.
Kawan-kawan yang menyewa di lantai bawah mengusik Mariani, "Mu pening kepala, apa mu susah, mu tanyalah doktor pakar, mana tahu ada paracethamol?"
"Tak beranilah, ambo perempue key, dio laki-laki, takut!" kata Mariani.
Lagipun, doktor pakar itu sudah menggoda Mariani yang janda itu agar berubat dengan doktor pakar. Mujur janda ini masih waspada. Dia hormat kepada seorang doktor.
Suatu masa doktor itu bertemu dengan Encik Hadi dan sembang di warung tomyam, kebetulan Mariani pun ada tolong secara sambilan di situ. Doktor tadi belanja Encik Hadi makan dan baki duit itu ditinggalkan sahaja untuk pegerai. Mariani pun puji kemurahhatian doktor pakar itu.
Rupanya dalam sembang menyembang itu, doktor itu memberitahu Encik Hadi, seorang bekas pegawai kilang elektronik di Hulu Klang, bahawa doktor itu adalah dr.Phd. Bukan doktor pakar sangat. Encik Hadi pun keliru apabila sembang dengan budak penyewa bilik di rumah sewanya.
"Doktor tu kata dia nak ajak pergi Port Dickson, dia nak berada di sana selama seminggu, nak buat kajian tentang air laut!" Itulah yang Encik Hadi difahamkan. Selidik air laut, ini doktor bahagian apa pula? Dia pakar kelautankah?
Akhirnya, kebetulan Encik Hadi pun orang negori, maka dia pun temankan doktor pakar itu ke PD. Kata Encik Hadi, dia pergi bawa badan sahaja, lain semua perkara doktor pakar itu belanja.
Ada bawa kertas, laptop, kamera dan sebagainya? Tidak? Ada buat kajian apa-apa tentang air laut? Tidak.
"Dia nak rehat di PD," itu kata Encik Hadi.
Nak dijadikan kisah, setiap malam Benedict ajak Hadi dan kawannya seorang lagi Mejar Bersara makan-makan di sebuah restoran yang siap dengan penari dan karaokenya.
Benedict yang memang seorang doktor pun memperkenalkan Encik Hadi sebagai Dr.Hadi, dan kawannya seorang lagi Dr. juga walaupun dia hanya Major Bersara. Ada tiga doktor pakar menjamu selera di restoran itu. Encik Hadi tak boleh kata apa, nak menolak gelaran itu sudah serba salah, nanti Benedict malu pula di depan perempuan dari Filipina itu. Mereka goyang dan senggolan dahsyat untuk menggatal. Jadi, kajian air laut itu hanyalah untuk menguji keayuan budak Filipina itu dan kemudian serahkan tip.
Encik Hadi berterus terang bercerita dengan disaksikan isterinya yang menyampah bukan main. Percaya sangat dengan orang sampai kena kelentong.
Persoalan tentang doktor sudah terjawab. Kebetulan masih di PD lagi, doktor itu pinjam kereta Major Bersara, doktor terlupa letakkan stetoskop dalam kereta di bangku belakang, doktor mesti ada alat penting itu. Apabila serah kucni kereta kepada Major, Benedict lupa benda itu. Isteri Major pun ambil alat teropong istimewa itu. Isteri Major berlagaklah macam doktor, tekan sana tekan sini. Nak kesan degupan jantung konon. Alahai, tak berfungsi pun. Itu stetoskop dah rosak. Macam mana doktor pakar boleh tak sedar bawa stetoskop rosak?
Khabar ahad mengatakan, gara-gara stetoskop tertinggal dalam kereta itulah, Benedict malu amat kepada dua doktor yang baru dilantik, Dr Hadi dan Dr Major Bersama Sifulan.
Disebabkan dah malu alah, kajian air laut di PD disingkatkan. Masing-masing balik ke Lembah Klang, kecuali Major Bersara kerana dia memang tinggal di kawasan PD.
Selang beberapa minggu kemudian, Dr Benedict pun punggah TV 12" dari biliknya secara senyap. Dia bawa beg doktornya. Ke mana dia nak pergi? Tak ada siapa tanya, tapi seorang penghuni rumah sewa Encik Hadi atau Dr Hadi (lulusan Restoran dan Karaoke PD College?) ada mengambil gambar dengan telefon bimbitnya.
Jelas, Dr Benedict sudah pindah. Mungkin dia malu kepada Dr Hadi dan Dr Major Bersara Sifulan. Adakah kisah ini melibatkan jenayah?
Sejauh ini Dr Benedict belum dipastikan melakukan jenayah. Dia hanya menyamar doktor kepada seisi rumah sewa Dr Hadi. Dr pakar itu juga menganugerahkan gelaran doktor secara segera kepada Encik Hadi, dengan gelaran Dr Hadi semata-mata nak jaga gengsi di depan budak cantik dari Filipina.
Benedict macam biasa dia minum dan merapu bersama budak Filipina. Kajian air laut masin atau tawar sudah dilupakan.
Kini bilik itu kosong. Tidak nampak kelibat doktor yang hebat itu. Tidak ada lagi kereta biru Volvo 240 lama tersangkak di situ. Maka sahlah doktor pakar sudah pindah.
Baru-baru ini salah seorang penghuni rumah sewa Dr Hadi, ada nampak Volvo 240 itu di Petaling Street. Nak ke mana doktor kita?[]

No comments:

Post a Comment