Saturday, 5 November 2011

PAWAGAM YANG SEPI

Pawagam adalah akronim bagi Panggung Wayang Gambar. Di Kuala Lumpur, suatu ketika dulu bilangan pawagam cukup lumayan. Ada Golden Star, Jalan Ipoh, Star, Jalan Pudu, Majestic Jalan Pudu, Pavillion di Bukit Bintang, Odeon di dekat Sogo, Central di dekat Kompleks Wilayah, Rex di depan Kota Raya, di Jalan Tun Sambantan pun ada panggung (Lido?), Federal, Jalan Raja Laut, Colesium Jalan Tuanku Abdul Rahman - pendeknya di sana-sini pawagam hidup. Masa itu orang kaki wayang, majalah hiburan cerita hal wayang dan artis sahaja. Setiap bandar di seluruh Malaysia pun ada pawagamnya. Dan ketika itu Pawagam P.Ramlee pun ada di Kg Periuk, Kg Bharu, KL. Siapa yang makan nasi kandar di Kudu Abdul pasti dapat lihat keratan akhbar lama yang menceritakan pawagam P.Ramlee. Di kedai itulah P Ramlee suka makan nasi kandar.
Sekarang nak makan nasi kandar kena berbaris ikut giliran. Sanggupkah anda berbaris begitu? Saya syorkan anda belajar masak lauk nasi kandar di rumah. Belajar masak lauk kegemaran anda agar anda tidak bersusah payah berbaris. Dulu pun saya peminat nasi kandar juga, dan sejak mutakhir ini taste nasi kandar sudah berubah, dan saya tutup buku.
Berbalik kepada soal pawagam, walaupun di tempat membeli-belah hari ini ada pawagam, sambutannya tidak segalak masa dulu. Terus terang saya bukan kaki wayang walaupun dulu bersama Othman Abdullah, Singapura, buat Majalah Filem, terbitan Shaw Brothers, Singapura (1970-an).
Kini, pawagam di luar pusat membeli-belah semakin sepi. Yang nampak masih bernyawa adalah Colesium, Odeon dan Federal di Kuala Lumpur.Pawagam di tempat membeli-belah tetap hidup, tetapi rasanya tidaklah padat seperti masa dulu.
Sekarang tidak ada fenomena baru dalam pewayangan. Dulu ada masanya orang kemaruk filem Indonesia, kemudian kemaruk filem Hindustan, filem Barat pula tidak ada yang benar-benar menimbulkan fenomena menarik tidak seperti zaman John Travolta dengan Saturday Night Fever (tahun 70-an) ia telah menebarkan pengaruh fesyen bell bottom, seluar kaki lebar.
Ada tak adanya adalah fenomena Shahrukh Khan apabila filem Dilwalee Dulhaniya Le Jayenge dimainkan di pawam hingga berbulan-bulan. Itu dalam tahun 1994 yang lampau.
Filem Melayu pula mendatar, tidak ada yang benar-benar meletup walaupun ia dianggap box office. Kemudian ia hambar dan terus hambar apabila rangkai TV tempatan semakin galak menyiarkan drama demi drama, drama bersiri dan sebagainya. Ia belum lagi siaran berbayar seperti Astro. Belum lagi mereka yang melayari internet setiap hari.
Jadi, pengaruh pawagam semakin berkurangan. Apakah tidak mungkin pawagam nanti akan menjadi benda yang memelikkan. Orang tidak tahu bagaimana rupa pawagam.
Sebenarnya jika difikirkan pawagam adalah wadah orang berleka-leka, wadah orang bermaksiat, mengabaikan tuntutan agama. Orang yang benar tidak akan mengunjungi pawagam. Dan kebetulan saya sendiri pun bukan kaki pawagam, ketika menulis untuk Berita Harian dan Utusan Malaysia (sebelum saya boikot terus) dulu pun hanya menulis tentang gambaran di luar panggung.
Mengapa saya tidak minat tengok TV. Ada sebabnya, dulu dalam tahun 70-an zaman hitam putih, saya tak ada TV. Kalau nak tengok kena pergi rumah orang "berduit" yang ada TV, di rumah Pakcik saya Sariman Tusat. Saya jenis tak suka berhimpit tengok bidang segi empat yang kecil. Ketika orang tengok cerita P.Ramlee saya tidak menikmati bagaimana rupa filem P.Ramlee. Begitu ketika anak-anak muda sibuk tengok Gusti. Itu sebab sampai sekarang saya tak minat tengok wayang apa pun. Di kampung saya, dulu kalau nak tengok TV pergilah ke kedai kopi yang ada TV atau "balai raya" pekan yang sudah diubahsuai jadi kedai kopi, sambil tengok TV boleh tengok sekali muka-muka orang "kenamaan" kampung yang main mahjong (macuk).
Saya teringat ketika bersama pemain gitar Sdr Azim Chan yang dikatakan suaranya macam Louis Amstrong (The Malay Mails) - ada kedai kopi dekat Jalan Raja Laut jadi tumpuan artis veteran main majhong, hisap rokok lelaki perempuan. Setiap kali masuk kedai itu untuk makan nasi minang, saya jenguk tandas, lalu di belakang artis veteran main mahjong. Sebenarnya sebahagian besar artis veteran yang sezaman dengan P.Ramlee pandai main mahjong (dulu ada kedai kopi di bangunan Bomba Chow Kit sekarang) yang jadi tumpuan orang main mahjong. Kopi dan roti bakar serta telur separuh masak memang laku.
Pawagam yang ada di negara kita rasanya akan terus sepi. Meski sorak-sorai kalangan artis kita bukan main gah dengan berbagai anugerah berprestij, tayang fesyen, tayang stail, masing-masing menjulang tropi dan menitiskan air mata gembira kerana "darah seni" yang mengalir itu membuahkan hasil.
Hakikatnya itu hanya anugerah kepada para pelakon. Kemudian kalangan wartawan bising, mengatakan ada artis yang layak terima anugerah Datuk tapi tak dapat-dapat. Benarkah artis kita kemaruk Datuk? Pendatukan ini kadang-kadang menyebabkan artis menaikkan statusnya sehingga marah kalau tak dipanggil Datuk. Anggap anugerah Datuk itu biasa sahaja, bukan kerana jasa. Artis berjasa kepada lakonannya sahaja. Semua telah dibayar. Jasa lebih besar jika tidak dibayar. Tetapi kerenah yang ada sekarang sudah berubah, semua orang nak mencari Datuk.
Dalam keadaan pawagam semakin muram, maka beralihlah kalangan penggiat seniman kita yang mengidam gelaran. Apapun gelaran ini bersifat duniawi sahaja, tidak memberi apa-apa kepada ketaqwaan seseorang. Betul kata ustaz yang beri tazkirah. Dan apabila seseorang itu faham agama, maka hiburan, filem dan pawagam akan dilupakan. Cukuplah. Tak perlu diingat lagi. Kerana pawagam itu adalah sumber kelalaian dari mengingat Allah, ia juga sumber maksiat, wadah maksiat, berapa ramai pasangan muda-mudi kita masuk pawagam, bulan puasa pun pawagam juga, kata orang dalam pawagam boleh makan-makan, boleh senggol-senggolan, boleh memadu kasih, memadu asmara, hanya yang cabul sahaja yang belum dikisahkan. Bukan tidak ada. Orang-orang yang berusia 70-an dan 80-an sekarang telah menikmati zaman budaya pop di Kuala Lumpur. Mungkin bersama Makcik dan Nenek memadu kasih di pawagam itu. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment