Wednesday, 2 November 2011

MISTIK PERKUBURAN


Ini merupakan gambar lama yang dirakam di Muzium Negara (2010). Gambar-gambar ini merupakan sebuah gambaran bagaimana manusia yang mempunyai berbagai anutan agama dan kepercayaan mempunyai kaedahnya di dalam soal menyelenggarakan sebuah kematian.
Kaedah mereka memberi gambaran cara mereka melayani si mati yang dipercayai berada di dunia lain setelah kematian.
Suku Aga di Bali umpamanya menyimpan mayat di kawasan hutan dengan ditutup bumbung sementara, membiarkan proses pereputan mayat diuruskan oleh alam semulajadi. Hujan, panas, angin dan hutan akan melayani mayat sehingga meninggalkan tulang belulang seperti mana amalan masyarakat primitif. Suku Toraja di Sulawesi, meletakkan mayat di kawasan batu kapur, disorokkan di dalam ruang celah batu, dibuatkan pepatung yang menyerupai si mati, walaupun si mati telah menjalani proses pereputan hakiki, namun patung yang diletakkan di cecelah batu itu memberi gambaran begitulah wajah si mati ketika hidupnya dulu.
Akan tetapi bagi orang Tibet ada yang masih mengamalkan perkuburan terbuka, membiarkan mayat dihurung burung bangkai. Mayat akan dikelar-kelar badannya untuk memudahkan burung bangkai melahap mayat dalam waktu lebih cepat. Mereka meyakini roh si mati akan dibawa naik ke Nirvana.
Petugas akan menunggu kumpulan burung bangkai makan daging manusia yang masih merah dengan darah kesan tetakan dan hirisan oleh petugas. Konon, perbuatan menyeksa mayat itu akan memudahkan burung menguruskan mayat, makan dagingnya sampai habis dan tinggal tulang. Manakala pekerja itu bersiap untuk mengutip tulang-tulang yang ada.
Masyarakat Hindu Bali pula akan mengarak mayat di dalam usungan keranda yang dibuat dengan hiasan kepala lembu. Ia kemudian dibakar. Ada upacara dilakukan oleh pendeta mereka guna mengusir roh-roh jahat agar tidak mengganggu proses pembakaran mayat. Ini merupakan ritual yang sangat dinanti-nantikan oleh para turis ketika berada di Bali.
Setiap kepercayaan agama memiliki kaedah ritual perkuburan. Ada yang meletakkan mayat di dalam keranda kayu dan diletakkan di dalam gua. Mayat dibiarkan menjalani proses pereputan hingga meninggalkan tulang belulang. Atau meletakkan mayat di dalam rangka sepergi bubu ikan. Semua ini adalah kaedah pengebumian menurut ajaran nenek moyang mereka.
Melihat berbagai tatacara dan ritual yang mereka lakukan, adalah sebuah pengalaman menarik. Ada orang yang ambil peduli, dan ada yang langsung tidak ambil tahu. Seperti juga setengah orang kita yang tidak tahu bagaimana hendak menguruskan mayat, memandikan jenazah, mengkafankan mayat dan menguburkannya. Bahkan ada yang takut dengan keranda, usungan, kubur, pokok kemboja dan kereta jenazah. Orang yang begini perlu belajar bagaimana mengusung mayat, bagaimana menguruskan pengebumian mayat.
Seingat penulis, dalam tahun 2010, kami hanya enam orang sahaja menguruskan penguburan seorang sahabat yang diduga berasal dari Sabah, setelah kematian baharulah saya tahu dia berasal dari Bulungan, Kalimantan Timur. Dia adalah Allayarham Abdul Rahman bin Ahmad,52 (umur sebenar 63 mengikut kartu penduduk Bulungan). Kami uruskan pengebumiannya di perkuburan Islam Cheras Baru. []

No comments:

Post a Comment