Wednesday, 9 November 2011

ALKISAH PAKCIK JAGA SUPERMARKET

Kisah berlaku lebih kurang dalam tahun 2006. Pakcik Jaga ini tinggal di sebuah asrama di Kg Bahru, Kuala Lumpur, dekat bangunan Naza, Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur. Dia berulang-alik naik Rapid ke Selayang untuk bertugas sebagai jaga. Kerja jaga bukanlah mudah. Biar paku berderet di kedua belah bahu, gaji macam tu jugak. Nampak gah dengan uniform sahaja, beban tugas berat.
Begitulah keluhan Pakcik Jaga. Kebetulan dia ketika berada di Masjid Jamek pernah bertemu dengan Pak Kassim Ekor Kuda, kerana rambutnya diikat ke belakang, Pak Kassim ada ijazahkan sedikit "ilmu hikmah" kepada Pakcik Jaga melalui Pak Husein Ali, dari Pak Zain Yahya (pelakon drama). Menurut Pak Kassim, amalkan suatu amalan yang dia peroleh di masjid pada suatu ketika itu dari seorang alim yang berada di alam keghaiban.
Maka Pakcik Jaga pun mencatatkan ilmu yang dituturkan oleh Pak Zain. Kita tak dapatlah nak terangkan secara terperinci sebab nota temuramah telah hilang dari simpanan. Antara yang diingat oleh Pakcik Jaga adalah melakukan amalan pada waktu tengah malam hingga menjelang Subuh atau sebelum Subuh. Sediakan kain warna hijau, potong elok-elok macam sejadah. Ketika seseorang itu solat sunat hajat umum, letakkan kain hijau itu di bahagian belakang seolah-olah nak jadi imam solat.
Kata Pak Zain, yang solat di belakang anda ketika itu adalah jin-jin Islam. Mereka akan mengaminkan doa anda. Setelah selesai solat dua rakaat, duduklah berwirid, jika umur Pakcik Jaga 53 tahun, dia kena baca sebanyak itu. Sedekahkan fatiha kepada arwah-arwah orang yang rapat termasuk guru-guru, selawat atas Nabi SAW mengikut bilangan umur pengamal, kemudian membaca surat al-Ikhlas sebanyak seribu kali. Ada lagi kaedah yang tidak diingat kerana penjelasan Pak Zain dan Pak Hussein diambil dalam masa dua hari, pada waktu yang berbeza.
Maka Pakcik Jaga itu pun amalkan ilmu hikmah itu selama dua malam berturut-turut. Dia rasa seronok beramal begitu. Semakin khusyuk jadinya pada tengah malam berwirid di dalam kamar.
Di masjid ketika terserempak Pak Kassim, Pakcik Jaga beritahu, "Aku dah buat seperti mana yang kamu berikan selama dua malam."
"Insya-Allah! Kamu akan dapat apa yang dihajatkan," kata Pak Kassim tanpa memberitahu apa maksud hajat itu.
Tidak ada apa-apa. Kalau diamalkan pun akan dapat pahala, jangan fikir soal apa yang akan dapat.
Dipendekkan cerita, gara-gara amalan yang dilakukan selama dua malam sahaja, dan itu sudah berlalu sekian lama. Tetapi, mulut Pakcik Jaga jadi masin.
Contohnya, ketika dia bertugas sebagai ketua keselamatan itu, dia sering diganggu oleh anggota sekutiri dalaman yang cemburu kerana Pakcik Jaga naik pangkat begitu mudah, dalam seminggu sudah ada satu paku. Soal paku bukan penting sangat. Tetapi orang yang tak tahu dunia jaga, akan anggap ia hebat benar.
Bagi Pakcik Jaga ia tak ada apa-apa.
Sebagai jaga di supermarket, bos supermarket yang juga sesekali ronda akan beritahu Pakcik Jaga apa yang kena dan tak kena. Banyak perkara yang tak kena diberitahu kepada Pakcik Jaga, biasanya, pegawai bawahan Pakcik Jaga tidak kemas, baju keluar, hisap rokok waktu tugas, atau duduk di pintu masuk pasaraya. Ini semua hal remeh temeh. Pakcik Jaga sebagai ketua kena ronda, dan cek budak-budak pekerja supermarket masuk kerja. Belum lagi jaga orang bawahan. Gaji tak seberapa. Maka Pakcik Jaga pun stress amat.
Suatu hari anak buah bos besar datang jumpa Pakcik Jaga, dia tuduh jaga itu lepaskan satu troli barang yang tidak dibayar. Mana ada? Kecoh dan geram betul. Sejak itu Pakcik Jaga mulai tidak senang bertugas di situ. Nampak kelibat anak buah bos dia akan melafazkan semacam doa kutukan.
Dan pada suatu hari ketika berpeluang pindah ke lokasi bahagian pakaian di tingkat atas, Pakcik Jaga dengan geramnya telah berdoa, menadah tangan dan menolak ke arah pintu naik ke bahagian atas. Maksud menolak itu agar tidak ramai orang shopping di atas. Alhamdulillah. Permohonannya dimakbulkan, hari Sabtu, tingkat atas lengang tak ramai orang naik. Budak perempuan yang jadi juruwang terkuap-kuap mengantuk tak ada orang nak beli. Sabtu malam Minggu pun begitu.
Maka Pakcik Jaga teringat solat dua rakaat yang dia buat dulu. Masih ampuhkah?
Dia pun hairan dengan apa yang terjadi. Dia tertanya-tanya ketika solat sendiri di surau terpencil di bangunan itu. Keesokan harinya, apabila nampak sahaja anak buah bos lalu dan kebetulan pegawai atasan sekuriti dalaman menemui Pakcik Jaga dan mengadu banyak hal, maka Pakcik Jaga pun berdoa lagi. Mohon diberi kemudahan dan tunjukkan di mana kebenarannya.
Dan petang itu dia berdoa lagi akan berlaku sesuatu di bangunan itu. Nah, esok paginya ketika dia masuk kerja, seluruh anggota keselamatan bangunan sudah kecoh. Kenapa? Kedai jual telefon kena pecah. Telefon bimbit kena curi. Pencuri naik ikut bumbung bangunan. Ikut tiang tepi naik dan naik ke siling bangunan. Masuk ke dalam kedai, buka peti pameran. Gara-gara kes ini sekuriti dalaman pening kepala. Ketua sesi malam letak jawatan. Pakcik Jaga senyum sahaja. Tertanya-tanya juga, adakah disebabkan dia duduk berdoa dan membacakan ayat-ayat tertentu ketika sangat stress kerana diperlekeh dan diperlecehkan oleh anak buah bos?
Selang dua hari kemudian Pakcik Jaga menguji ilmu hikmahnya lagi, dia berdoa di pintu tangga naik ke tingkat atas supermarket itu. Dia berdoa kerana dia rasa dia selalu dizalimi oleh petugas dalaman supermarket itu, semua pegawai Melayu yang kerja sekuriti di situ memandang rendah Pakcik Jaga. Dianggapnya orang bodoh, tak berpelajaran patut jadi jaga.
Maka kali ini berdesing lagi telinga Pakcik Jaga. Dia pun berdoa lagi dan minta didatangkan apa sahaja bala ke atas pemilik supermarket dan petugasan bawahannya, iaitu mana-mana yang berbuat zalim ke atas dirinya.
Nak dijadikan cerita, pada pagi itu dalam pukul 10.00 pagi ketika bahagian atas (bahagian pakaian dan beg) hendak memulakan perniagaan, tiba-tiba lampu dan pendingin hawa tak berfungsi. Gelap. Pintu bahagian atas ditutup. Bahagian bawah pun bergelap. Terpaksa dapatkan tenaga sokongan tapi tak cukup. Apa yang terjadi. Selaku petugas keselamatan Pakcik Jaga pun memeriksa apa yang berlaku. Kabel elektrik di bahagian pembekalan yang ada di bangunan itu sudah terbakar. Pakcik Jaga senyum. Tertanya-tanya apa yang telah berlaku?
Sudah berlaku beberapa perkara yang mencarik pemikiran Pakcik Jaga.
1. Pelanggan tak naik pada hari Sabtu malam Minggu ke tingkat atas.
2. Berlaku kecurian kedai telefon bimbit.
3. Kabel terbakar- seluruh pasaraya bergelap.
Untuk mempastikan tidak berlaku apa-apa lagi, Pakcik Jaga tidak mahu melanjutkan permintaan lagi kerana mulutnya masin.
Adakah ini berkat shalat dua rakaat sebagai imam dan mengimami jin solat malam (andaian dan agakan Pakcik itu sahaja seperti gambaran Pak Kassim ketika mengijazahkan ilmu hikmah ini).
Keadaan makin meruncing, pada suatu ketika pihak sekuriti dalaman mahu rasuah. Jika syarikat sekuriti tempat Pakcik Jaga hendak sambung kontrek, pihak syarikat perlu sediakan cek tunai setiap bulan, sekeping cek RM300 untuk ketua sekuriti di situ, dan RM300 untuk pegawai Melayu yang ditugaskan membuat pemilihan syarikat sekuriti.
Bayangkanlah, hanya perkara kecil begini pun ada rasuah. Inilah pegawai Melayu di sebuah pasaraya yang letaknya di Selayang, Selangor. Tak perlu disebut apa nama pasarayanya.
Gara-gara pihak syarikat sekuriti enggan melayan permintaan rasuah itu, maka pada hari itu bos Pakcik jaga mengarahkan agar buat kejutan.
"Suruh semua orang berkumpul di pintu keluar, pintu dua, buka uniform, tinggalkan pasaraya ini dan kita lepak di warung tomyam tepi jalan, okay?" begitu pesanan Encik U.
Maka Pakcik Jaga pun tinggalkan tempat itu. Dia tidak bekerja sebagai jaga lagi, tetapi sejak dia tinggalkan jaga, dia pernah tersepak sampul surat 4x9 mengandungi duit RM450.00, dan dalam minggu yang sama dia dapat lagi RM50.00 duit terpijak di depan Kamdar, atas rumput. Semua ini mungkin berkat amalkan ilmu hikmah dari Pak Kassim.
Satu lagi sebelum berpisah Pakcik Jaga hanya berharap, "Pasaraya ini akan terbakar suatu hari nanti!"
Itupun kerana pegawai ronda tanya. "Apa lagi yang kamu nak doa?"
"Tak ada apa, biar bangunan tu terbakar habis!" kata Pakcik jaga melepaskan geram.
Setelah tinggalkan tempat itu setahun kemudian, berita kebakaran sebuah pasaraya dibaca oleh Pakcik Jaga. Ada budak Vietnam mati terbakar. Pakcik Jaga tentu kenal dengan budak Vietnam itu kerana mereka sama-sama mengecat dan pasang rak-rak di lantai dua supermarket itu. Pakcik Jaga pun tahu sejarah permulaan lantai dua yang menempatkan pakaian, beg dan barang elektrik.
Sejak Pakcik jaga tidak mengamalkan baca wirid hingga seribu kali selepas solat sunat dua rakaat, mulut Pakcik Jaga tidak masin lagi. Walllahu a'lam.[]

No comments:

Post a Comment