Sunday, 6 November 2011

SOLAT AIDIL ADHA DI MASJID JAMEK JALAN BANDAR

Barangkali orang tak perasan sangat kalau solat hari raya (Aidil Fitri & Aidil Adha) di tiga buah masjid di KL. Pertama Masjid Pakistan, Chow Kit, kedua, Masjid India dan ketiga Masjid Jamek Jalan Bandar. Ketika hari raya, ketiga-tiga masjid ini dipenuhi oleh kalangan bukan Melayu - berduyun dan berjejalan dari kalangan rakyat asing yang bekerja di Malaysia. Ada yang dari Afrika, Pakistan, Bangladesh, Indonesia, Fatani dan sekitarnya.
Ketika solat, masjid boleh tahan penuh juga. Habis sahaja imam bagi salam dan berdoa, para jemaah dari kalangan pekerja asing ini akan keluar tinggalkan masjid. Ketika kutbah mula dibacakan, ada yang sudah berada di warung atau kedai makan. Begitulah pemandangan biasa yang orang saksikan di ketiga-tiga buah masjid yang disebutkan.
Kebetulan sewaktu hari raya saya kerap solat di salah satu daripada tiga masjid itu, maka saya lihat kutbah hari raya selalu diabaikan. Orang tak ambil peduli kepada kutbah. Mengapa?
Puncanya, kalau rakyat asing yang beragama Islam, mereka tak faham apa isi kutbah, hanya sesekali mereka dengar ayat al-Quran dibacakan atau hadis Nabi SAW.
Begitu juga jika orang Melayu tempatan yang solat di Masjid Pakistan atau Masjid India, mereka tak faham apa yang dibacakan dalam kutbah. Kutbah Masjid Pakistan ringkas dalam bahasa Arab.
Dari tiga masjid ini ada orang perasan, ketika hari raya inilah kalangan bukan Melayu yang beragama Islam bersongkok, berbaju Melayu dan bersamping, sedangkan budak-budak Melayu sudah tidak minat dengan pakaian Melayunya kenapa?
Ada yang beritahu, jika pakai songkok dan baju Melayu bersamping, orang itu akan dicap sebagai Umno. Jadi, budak-budak muda tak suka dikata dia orang Umno. Anak-anak muda sekarang gemar pakai kupiah tak kira warna apa, dan mereka melupakan songkok tinggi. Tidak mengapa. Melayu tidak rugi kalau ada umatnya yang lupa kepada songkok tinggi. Lagipun songkok tinggi hanya budaya. Lihatlah orang main muzik zapin, dondang sayang, ghazal dan sebagainya, kenapa memakai sepasang baju Melayu siap dengan sampingnya? Ia hanya pakaian pertunjukan. Orang menari, pakaian para penari budaya semuanya mengikut pakaian Melayu.
Oleh sebab ada orang menyanyi bersongkok dan berbaju Melayu dianggap kena, yang berjubah dengan serban menyanyi tak kena, maka orang Melayu sekarang sudah berani menilai. Pakaian Melayu tidak sesuai untuk dipakai ke masjid, untuk tujuan solat. Kenapa tanya saya? Mereka ada alasan. Itu pakaian untuk mesyuarat Umno, itu pakaian orang Perkasa, itu pakaian orang buat majlis keraian, majlis perkahwinan, pakaian penari budaya, pakaian orang nak nikah, pakaian nak mengadap orang besar, ia pakaian adat istiadat dan ritual tertentu.
Tidak hairan di tiga buah masjid itu saya saksikan, kalangan bukan Melayu lebih berselera berbaju Melayu kerana mereka "terlalu ingin" jadi Melayu.
Kenapa nak jadi Melayu kalau imej Melayu sudah rosak? Melayu kan pemalas? Melayu bangsa subsidi. Melayu melukut di tepi gantang, Melayu suka kelucahan melampau, pendeknya, kalau anda baca dalam apa juga laman internet anda akan temui keruntuhan moral Melayu. Dan saya pun hairan bagaimana ada sebuah parti yang menghimpit BN mahu memohon agar "jadi Melayu" - nampaknya gara-gara perniagaan, nak cari makan ramai orang sanggup "masuk Melayu" bagi tujuan mendapatkan dampingan, naungan dan keselesaan dalam berurusan dengan pemerintah.
Dan ada kelompok yang ingin jadi Melayu tetapi tidak mahu cakap Melayu, tidak makan makanan Melayu, tidak masuk restoran Melayu, tidak makan nasi campur Melayu. Jika begini, kenapa nak mohon jadi orang Melayu? Inilah perkara pelik yang berlaku di KL.
Ketika solat hari raya di masjid ini, saya dapati rasa kemelayuan itu mahu ditonjolkan oleh orang yang bukan Melayu, sedangkan orang Melayu termasuk saya sendiri sudah "malu" mengenakan pakaian Melayu ketika solat hari raya. Maka ramai yang selesa memakai jubah, lebih selesa pakai kurta dan sebagainya. Puncanya, pakaian Melayu tidak selesa dan tidak sesuai dalam semua keadaan. Mungkin Azah Aziz isteri Prof Ungku Aziz tidak gemar dengan komen ini.
Saya ingat ketika mendapat hadiah anugerah sastera dalam tahun 70-an dulu (Tun Hussein Onn di Rumah Malaysia, Jalan Ampang) ramai geng penulis berpakaian cara Barat. Memang mereka suka kalau semua pakai batik. Terus terang saya tak suka batik, kerana coraknya tidak sesuai untuk dipakai waktu solat. Corak pembatikan itu akan melarikan kekusyukan orang solat. Jika pakai baju Melayu nampak sangat kita macam pegawai kerajaan, sedangkan kita bukan kaki tangan kerajaan pun. Kalau pakai batik dicap orang kerajaan, pakai baju Melayu pun begitu juga. Jalan penengah adalah pakai biasa sahaja, baju kemeja lengan panjang dan kupiah putih atau hitam.
Kekadang sudah jadi trend budak-budak muda di hari Jumaat di KL ini memakai baju Melayu, samping, ada yang bawa songkok dan ada yang tidak. Bukan tidak memelikkan pula ada yang berkeliaran dengan pakaian itu ketika solat Jumaat berlangsung (alasan masjid dah penuh, dah lewat!). Dan jadi hal biasa, mereka jalan-jalan heret selipar Jepun atau capal, letak sejadah atas bahu. Wah! Solat nampak? Pakaian itu sudah menunjukkan ciri orang itu. Sedangkan yang pakai biasa, walau pakai capal orang tak anggap akan pergi ke masjid.
Sebenarnya, keluar pejabat awal yang menyebabkan ada anak muda bengang. Nak ke mana? Apa lagi, yang kaki solat akan terus tuju masjid, yang bukan kaki? Mereka akan masuk karaoke jamban, masuk kedai main video, main snooker, makan-makan sampai jam 2.00 petang. Masuk lewatkan?
Inilah gambaran sekilas keadaan orang kita di tengah KL. Bukan mengada-ngada, tetapi kenyataan. Apa nak malu kalau ramai tak mahu pakai baju Melayu? Melayu sendiri tidak menghormati kemelayuannya.
Ibrahim Ali, dan para pemimpin Melayu hari ini merosakkan imej Melayu. Kemudian orang Melayu terlalu sensitif apabila disebut institusi raja. Entah kenapa? Hairan sungguh. Masih ada penjajahan minda dalam diri umat Melayu. Mereka masih gerun dengan derhaka, tetapi tidak gerun kepada Allah SWT, tidak gerun kepada perkara bid'ah, tidak gerun kepada larangan Allah SWT.
Saya tertarik dengan sikap DYMM Sultan Kelantan yang berjubah dan duduk santai bersama TG Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan. Saya tertarik dengan teguran baginda Sultan supaya tak payah sebut "daulat tuanku" sebab tak dapat pahala, maka baginda suruh rakyatnya sebut Allahu Akbar!
Itulah bezanya seorang anak raja yang faham dengan kedudukannya di mata rakyat. Wallahu a'lam.
Kutbah di masjid Jamek seperti tidak mengikut teks. Isinya membabat habis perangai manusia yang mengampu penguasa untuk dapat sesuatu, tidak memahami iktibar dari kisah perjuangan Nabi Ibrahim a.s. Pergi haji tidak berubah, pergi, pergi juga, tapi rasuah tetap rasuah, pergi pergi juga, tapi tetap berdusta, memfitnah dan apa saja larangan Allah demi survival dalam politik kepenguasaan yang ada.[]

No comments:

Post a Comment