Sunday, 20 November 2011

KULIAH HARI MINGGU DI PERKIM

Seperti biasa, setiap hari minggu saya dan isteri habiskan masa di Perkim, mengikuti kuliah ilmu, tajuk apa sahaja, bicara apa sahaja, seperti program Tanyalah Ustaz. Bezanya yang hadir di kuliah mingguan ini termasuk saudara baru dari Indonesia, Filipina, Selatan Thai dan sebagainya.
Hari ini di Masjid Bandar Baru Sentul, ada program Perkim Putera, majlis jamuan Aidil Adha, seekor kambing panggang jadi santapan. Boleh tahan. Oleh sebab dah makan di rumah, saya hanya minum dan bawa nasi yang disediakan sebagai bekal ke Perkim untuk sambung kuliah yang terencat tadi, maklum ada dua program dalam satu masa, semua di bawah sayap Perkim.
Menjadi kebiasaan pada hari Sabtu dan Ahad ada kelas pengajian agama yang pelbagai. Semuanya mengikut tahap kemampuan pelajarnya. Budak-budak dari Afrika pun ada sekali belajar agama Islam. Mereka tentunya mengharapkan bantuan guru yang mahir Bahasa Inggeris.
Ada satu perkara yang biasa dilihat di depan bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, orang-orang yang bernasib kurang baik duduk berkumpul menunggu sumbangan nasi dalam bekas. Semua sudah dikhaskan kepada mereka. Berpuluh kotak nasi campur disediakan untuk mereka. Jadi, jangan kata pihak Perkim tidak beri sumbangan sedikit pun kepada budak gelandangan kota.
Buktinya, hari ini (Ahad) mereka diberikan nasi ayam yang mengenyangkan. Golongan gelandangan ini yang datang dari berbagai latar belakang seolah-olah tersisih dari budget ekonomi negara. Cerita budak sekolah dapat RM100 memang jadi bahan heban politik - bukti kerajaan yang ada hari ini prihatin kepada rakyat.
Bukan tidak ada orang menempelak, bagi RM100 pun kecoh, sedangkan pihak tertentu memberikan projek beratus juta secara kronisme tidak diberi perhatian sangat.
Golongan gelandangan ini menunggu sehingga dapat nasi kotak. Kemudian mereka meninggalkan kawasan bangunan Perkim dan menghilang entah ke mana. Ada di antara mereka yang penulis cam muka mereka, pernah menjadi khadam orang berniaga ubat di Chow Kit dan Masjid India.
Sejak bomoh Antarabangsa "hilang" dari persada Perbomohan Kota, lelaki itu seperti kehilangan tempat bergantung. Seminggu sekali di Perkim bolehlah dianggap sebagai jadual tetap yang terpahat di dalam kepala para gelandangan sekitar Chow Kit dan PWTC.
Sayangnya, seperti yang banyak dikeluhkan, mengapa mereka tidak mahu masuk mendengar atau mengikuti kuliah yang tempatnya selesa dan berhawa dingin itu? Hairan juga. Para gelandangan kota nampaknya lebih setia mengharapkan sumbangan nasi dalam kotak tetapi tidak sudi hendak mendengar pengajian agama.
Kebanyakan gelandangan yang hadir di kawasan bangunan itu adalah Melayu, beberapa orang sahaja dari kalangan budak India dan Cina. Ada juga dari kalangan pengawal keselamatan.
Sebenarnya kuliah di hujung minggu ini memerlukan audien yang lebih besar. Bilangan wanita lebih banyak daripada lelaki. Mungkin lelaki sudah pandai, atau menganggap Perkim tempat saudara baru. Jika mereka jenguk dewan kuliah Perkim ini tahulah mereka, kedatangan sesiapa juga yang inginkan ilmu agama memang dialu-alukan, bukan ada bayaran, makan pun dapat bagi sesiapa yang mengikuti kuliah lain setelah kuliah di situ. Ada yang hendak memantapkan bacaan al-Quran dan mengkaji tafsir Al-Munir, selain Furu' Masail yang juga pada hari Minggu.
Mungkin orang hanya ghairah jika ada rakaman RTM atau TV9 atau kerana sambutan Maal Hijrah atau apa sahaja sambutan. Walau tanpa gembar-gembur, kuliah itu berjalan dengan lancar. Bilangan yang hadir sentiasa pasang dan surut. Maklumlah hari minggu dan cuti sekolah pula. []

No comments:

Post a Comment