Pak Man ni pelik. Dia tinggal di Balakong, Taman Impian Ehsan kalau tak salah. Kerja di pusat pengajian tinggi UPM, Serdang, masih bujang walau dah berusia. Pergi kerja naik teksi. Balik kekadang naik bas. Walau kerja di pusat pengajian tinggi, apabila bertemu kawan-kawan kerja yang tidak setaraf dengannya, Pak Man ni banyak yang tidak tahu. Dia lebih banyak bertanya walaupun kepada Pak Jaga yang lebih berusia darinya.
Mungkin dia kurang bijak menggunakan ruang yang ada untuk menambahkan ilmu. Dia lebih gemar bekerja siang dan malam. Pelik kan? Siang kerja ikut time pejabat dari pagi santak ke petang. Lepas balik dari kerja dia terus berkemas kerana dalam pukul 7.00 malam dia kena masuk kerja sebagai pengawal keselamatan.
Orang ini memang rajin kerja. Akan tetapi bolehkah bertahan bekerja berterusan begitu? Jika pegawai kerajaan bercuti di hujung minggu, dia tetap bercuti tetapi malamnya kena kerja. Masalahnya, selama mana dia boleh bertahan tidak tidur, atau tidak cukup tidur.
Ada kawan dia di pejabat kata Pak Man ni mata macam burung jampuk, macam burung hantu. Dia ketawa sahaja. Duit banyak nak buat apa?
Memang banyak mana pun tak cukup. Apa dibelinya? Memang tak beli apa pun, kereta tak ada, motosikal pun tak, apalagi basikal. Hairannya sejak tahun 2007 lagi dia sanggup bersengkang mata kerja di sebuah syarikat pengangkutan di Balakong, Nippon Ekspress, jadi pengawal dari pukul 7.00 malam hingga 7.00 pagi.
Menurut kata kawannya yang tinggal di Taman Impian Ehsan, Balakong, dia tidur sambil duduk, kepala menyandar ke dinding. Kawan setugas yang memantau dia jika ada pegawai ronda datang.
Inilah yang dianggap pelik. Kerja pengawal keselamatan ini kata orang yang dah kerja, ia merupakan kerja yang berterusan tak ada cuti, tak ada kenduri-kendara, tak ada hari raya, tak ada... selagi tak ada pegawai gantian.
Gaji bukan sebanyak manapun, bagi orang luar konon pengawal bergaji Rm1,200 lebih. Itu sembang atas kertas, Pak Man beritahu melalui SMS baru-baru ini, gaji dia hanya RM950.00, itupun kata dia bulan lepas bagi tak penuh.
Inilah kisah pengawal keselamatan yang diperas dan diperkuda oleh pihak syarikat. Ada juga tugas yang disub-subkan. Pakai unoform Syarikat Anu, tetapi sebenarnya ia digaji melalui sub Syarikat Ana.
Kekadang seronok juga apabila dapat sembang-sembang dengan pengawal keselamatan yang bertugas untuk kita mengetahui keadaan mereka.
Kisah Pak Man ini satu contoh. Dulu apabila ada cuti Pak Man akan hubungi saya. "Aku ada di Bukit Bintang!" kata dia. "Datanglah boleh sembang-sembang." Saya balas, buat apa pergi Bkt Bintang, baik kamu tidur di rumah. Malam kerja, siang kerja, tak penatkah?
Dalam diam-diam sebenarnya di dalam relung hati Pak Man ada sesuatu rahsia terpendam mengapa dia perlu kerja begitu "kejam" sekali. Hak tubuhnya untuk berehat tidak diberikan. Kini, setiap malam dia kena bekerja walaupun diberi upah RM950.00. Campur gaji sebelah siang di pejabat dia dapat dua ribu lebih mungkin dekat tiga ribu. Tak cukup Pak Man? Tak cukup.
Itulah keluh kesah seoerang kenalan berasal dari Ipoh dan kini tinggal di Balakong. Kegigihan dia mencari wang sehingga sesekali lekat di rumah menjadi persoalan juga.[]
No comments:
Post a Comment