Friday, 4 November 2011

KUTBAH TANPA TEKS JAWI RASA AMAN

Gara-gara teks kutbah Jumaat yang disediakan oleh Jawi kekadang tidak menyelerakan, kami dan para sahabat di KL akan memilih masjid yang berkecuali. Kebetulan kawan baik Azizi Urut pagi-pagi dah beritahu dia ada berita gembira dan nak jumpa, maka saya pun ke Jalan Masjid India bertemunya. Dia mahu bercerita tentang emas untuk gadaian kepada Ar-Rahnu Agrobank.
Saudara dia yang tinggal di Sabah katanya jadi ejen untuk jual beli emas paling minima RM4,000 lebih. Kata Azizi, saudara mara dia sekarang dah kecanduan niaga emas. Ada emas, bawalah ke cawangan Agrobank di mana-mana, gadaikan emas itu daripada disimpan dalam almari, sorok celah bantal atau sebagainya, sebab, apabila digadaikan ke Ar-Rahnu, emas itu terjamin.  Bayar upah simpan bagi setiap RM100 hanya 50 sen. Kiralah kalau emas yang anda gadai itu RM4,000 berapa ringgit kena bayar?
Jika sesiapa ada emas bolehlah digadai dan simpan di Ar-Rahnu Agrobank, jika tak ada emas boleh dapatkan daripada kawan tadi yang saudaranya niaga emas di Sabah. Paling sedikit hanya RM4,000 lebih sikit. Serah emas yang dibekalkan oleh Azizi, anda akan dapat pinjaman RM2,600 lebih dan kemudian serahkan duit itu kepada Azizi, untuk bayar emas yang "dipinjamkan" untuk gadaian. Lepas itu kena tambah lagi RM1,500. Maknanya, anda hanya perlu sedia duit RM1500 sahaja bagi urusan penggadaian emas yang anda tidak miliki. Akan tetapi di Agrobank anda sudah ada akaun simpanan emas sebanyak RM4,000 lebih. Jika harga emas naik, maka anda beruntung. Harga emas tidak turun, ia akan naik dan terus naik.
Kata Azizi, jika sesiapa ada simpan emas perhiasan, elok disimpan sahaja di Agrobank.Tak kiralah rantai, subang, cincin, gelang tangan, gelang kaki, kerongsang, duit syiling emas atau emas keping.Tempoh gadaian enam bulan dan boleh dilanjutkan.
Azizi yang juga tukang urut kaki dan bekam di Jalan Masjid India nak promosi kepada kawan-kawan yang ada pitih lebih. Dapatkan harga istimewa emas berharga pajakan RM4,000 dengan harga RM1,500 sahaja!
Inilah kisahnya mengapa Azizi telefon saya pagi-pagi sebab dia nak beritahu tentang perniagaan yang menguntungkan ini.
Kebetulan sudah berada di situ, maka destinasi saya adalah Masjid Jamek Jalan Bandar, untuk solat Jumaat. Seperti biasa, di depan pintu masjid ramai orang berniaga, macam-macam yang dijual dan dipromosikan. Ada nasi lemak, tapai, daun sativa, CD ceramah, CD al-Quran, kaunter kad telefon, kupiah, asah pisau, minyak urut, apam balik garing, air kelapa laut, briyani dan macam-macam.
Tertanya-tanya juga ketika berada di masjid jamek, mana Pakcik Husain Ali, mana Amin, mana Zabri Zakaria (penulis buku kanak-kanak), mana geng penulis. Tak apalah kalau mereka tak jumpa pun. Oleh sebab datang awal, maka baca al-Quran adalah suatu alternatif daripada melamun atau borak duniawi. Baca surah al-Kahfi. Ketika membaca ustaz pun memulakan tazkirah. Bicara tentang ibadat haji. Antara lain yang disebut adalah ada orang pergi haji hendak dapatkan haji mabrur. Bolehkah mereka semua dapat haji mabrur? Semua ini kata ustaz penceramah bertolak dari kefahaman pada doa IFTITAH setiap kali kita takbiratul ihram. Apa maknanya? Fahamkan maknanya, kalau tidak faham, solat dan baca iftitah lima kali sehari atau lebih (termasuk solat sunatnya) maka perangai tak akan berubah.
Yang buka aurat akan terus buka aurat, pakaian mendedahkan, menjalani kehidupan dengan keribaan, kedustaan, kefitnahan, mengadu-domba, mengata dan mengata. Jika tak faham maksud doa iftitah maka sukarlah seseorang itu hendak mempraktikkan ketaqwaan mereka. Macam mana nak jadi muhlisin, macam mana nak jadi mukminin, macam mana nak jadi orang bertaqwa kalau solat dianggap rutin dan tidak merubah cara pemikiran dan cara kehidupan yang islami.
Begitu juga dengan ibadat haji yang ditunaikan walau sekali seumur hidup. Ada yang pergi haji hanya kerana kemampuan mereka lebih dari cukup, mendapatkan pakej yang mewah, ingin eksklusif, ada pengawal dan iringan semua, padahal apa maksud dan apa hikmahnya kita melakukan semua rukun haji di sana?
Nah, maknanya ada jemaah haji yang masih tebal dengan keakuannya sebagaimana di Malaysia, ingin mendapatkan sesuatu yang istimewa kerana status hidupnya di bumi Malaysia begitu. Maka apakah ambisi mereka mahu dapatkan haji mabrur itu terlaksana jika sikap ego ini masih menebal dalam diri?
Ingatlah, kata ustaz tadi, haji bukan tempat untuk bermegah dan menancapkan ego diri. Di sana kita perlu bermuhasabah diri. Belajar erti kesamarataan, tidak ada ekslusif di situ, tidak ada ego diri di situ, segala-galanya perlu direndahkan kerana semuanya hanya memakai kain putih, tidak kira kamu orang penting, anak raja, perdana menteri atau isteri perdana menteri.
Dan yang paling saya tertarik, pentazkirah menyentuh, ibadat haji sepatutnya mengubah cara hidup dan sikap manusia beragama. Jika tidak tutup aurat selama ini, balik haji nanti hendaklah tutup aurat. Tetapi kalau masa haji sahaja tutup aurat dan kemudian bila balik negeri balik perangai ke asal, maka kemabruran haji itu tidak boleh digapai. Orang yang berhaji perlu berubah, jika tidak berubah juga, mereka tidak akan berubah walaupun berkali-kali haji kerana kemewahan dan kemampuan mereka lebih dari mampu dan mewah. Sedangkan orang kecil, orang miskin, sekali pergi haji mereka telah mengorbankan wang ringgit, simpanan berdikit, orang kaya tidak terfikir pengorbanan yang dilakukan orang miskin.
Begitulah apabila orang pencen beribu akan rasa megah dibandingkan orang miskin tanpa pencen, hingga ke tua akan bekerja lagi. Secara keseluruhan kutbah Jumaat di Masjid Jamek Bandaraya Jalan Bandar ini menarik. Ia bebas dari teks disediakan Jawi yang meleret-leret dengan slogan dan propaganda politik UBN. Hendaklah ustaz dalam Jawi memahami perasaan para jemaah.
Ketika kutbah para jemaah diminta DIAM dan PATUH mengikuti kutbah. Jika kutbah itu memperlecehkan para jemaah, maka diam dan patuh mereka akan diterjemah dalam bentuk pemberontakan pemikiran. Hampa solat di sesebuah masjid yang penuh propaganda pemerintah (baca Umno). Sepatutnya kutbah hendaklah umum, tidak menyentuh mana-mana.
Saya teringat ketika FITNAH dijadikan judul kutbah rekaan Jawi, maka maksud fitnah itu tidak merata. Mereka bicara tentang fitnah, tetapi TV dan akhbar perdana kita menaburkan fitnah. Tidak selaras intipati kutbah Jawi dengan media milik sepayung dengan Jawi. Para jemaah berhak memilih masjid kesukaan mereka kerana tidak mahu diganggu pemikirannya oleh kutbah yang berbau propaganda politik penguasa. Begitu juga doa-doa yang meleret yang tidak kena dengan suasana yang berubah sekarang. Rasanya, kawan-kawan pun gembira apabila mendengar kutbah tanpa teks Jawi. []

No comments:

Post a Comment