Umumnya apabila disebut jadi-jadian orang teringat kepada filem HARIMAU JADI-JADIAN. Mengenai mistik harimau jadian atau siluman ini, ia adalah perkara misteri. Bahkan dalam kelompok keluarga penulis pun ada kisah yang moyangnya dulu naik harimau dari tanah Sumatera.
Memang setahu saya, tanah Sumatera memang kaya dengan kisah harimau. Itu sebabnya ada sejenis harimau yang dipanggil harimau Sumatera. Filem Negara menggunakan lambang harimau. Bank dan syarikat tertentu ada yang menggunakan lambang harimau. Ia melambangkan kegagahan dan kemegahan. Moyang kita pun berasa megah bercerita mereka naik harimau. Mana cicit, piut dan miutnya tertanya-tanya, naik harimau bagaimana?
Di Negeri Sembilan setahu saya banyak kisah tentang harimau.Masjid Kuala Dulang, Kuala Klawang, Jelebu, konon ada kisah penampakan harimau di situ. Apabila sebut masjid, tentu teringatkan harimau. Begitu juga kisah harimau di tempat lain. Ada orang bersahabat dengan harimau, ada yang bela harimau siluman.Ia menjaga tuannya. Aumannya menggerunkan.
Di zaman moden ini ada orang yang guna khadam harimau, konon dengan adanya khadam jenis ini, rumah mereka dijaga oleh penampakan harimau. Sesiapa yang berniat jahat ke atas harta benda tuannya, orang itu akan melihat kelibat harimau belang depan rumah atau harimau putih. Sudah tentu, orang yang berniat jahat akan lari ketakutan. Ilmu Maung Sakti begitulah konon, apabila dituntut dan diamalkan, ia menjadi pagar kepada harta benda.
Menurut Hamidy Harahap (dalam GREGET TUANKU RAO, Komunitas Bambu, Depok, 2007:20) harimau telah menjadi simbol atau kemegahan kepada keturunan Babiat atau Marga Babiat. Mereka gelar diri mereka Suku Harimau. Harimau menjadi tokoh dalam berbagai mitos Asia termasuk dalam kepercayaan, seni dan imaginasi (Harahap, 2004: 95). harimau di tanah Sumatera ada yang digelar sebagai SUTAN MANGINTE di Dolok. Harimau dianggap sebagai raja. Sesiapa yang jumpa harimau, perlu menyapa harimau itu dengan panggilan hormat OMPANG (datuk, kakek, mbah). Bukan kerana memuliakan harimau itu, dibimbangi yang ditemui itu adalah siluman harimau. Sesiapa yang nak masuk hutan, kena hormat dengan harimau itu. "Mbah aku nak lalu cari buah, aku tak nak kacau Mbah!" begitulah kata hormat lebih kurang.
Sebut harimau, saya teringat sahabat saya Mazlan Manaf (almarhum) mengajak saya ke sebuah kebun durian di Ulu Klang, dia buat pondok dan main masak-masak. Tanam cili dan sayur di situ. Dia tunjukkan bagaimana harimau makan durian, disusunnya biji durian itu cantik-cantik. Tak macam manusia yang suka sepah-sepahkan biji durian.Penjaga kebun durian di Sumatera pula lain ceritanya. Jika ada Mbah nak makan durian, mereka kena bagi kepada Mbah. Durian jatuh dibiarkan harimau tu makan dulu. Jatuh kedua, kalau harimau nak makan, biarkan dia makan. Jatuh ketiga, barulah orang berseru kepada Mbah.
"Ompung! Tunggu ya, bagi durian yang ini untuk saya," orang itu pun datang memeungut durian. Khabarnya harimau tengok sahaja orang itu pungut durian.
Maknanya, hormat manusia kepada harimau itu kena dijaga.Sutan Manginte di Dolok itu sesekali membaham juga manusia di hutan. Konon harimau akan membaham dan mengambil kemaluan mangsa dulu. Konon korban harimau itu adalah kaki seks yang jahat. Itu sebab ia menjadi mangsa Sutan Manginte.
Di Malaysia, orang tak buat begitu kepada harimau, tetapi yang pemberani hanya menyimpan taring harimau, gigi harimau, misai harimau, kulit harimau sedikit, konon boleh buat tangkal azimat. Boleh buat penggerun. kepercayaan mistik ini sudah melegenda begitu lama hingga ke zaman moden sekarang.Tak percaya bukalah laman web tentang benda-benda mistik ni. Nescaya anda akan temui misai, gigi, taring dan kuku harimau dijual dengan harta ratusan. Padahal di Pasar Pudu, kadang-kadang ada India dari India jual taring, misai, dan kuku harimau. Murah aje, tak payah jampi semua.
Di Sumatera kalau Sutan Manginte mengamuk dan membahan manusia, maka pawang harimau diundang untuk mengusir harimau. Ada kalanya berhasil, ada kalanya tidak. Bukan senang nak halau harimau dari membaham manusia. harimau itu pun jangan-jangan tak tahupun ia diberi gelaran Sutan! Kisah tentang macam ini cukup banyak di Nusantara. Ada manusia berbaik dengan macan. Prabu Siliwangi dikaitkan dengan macan juga.
Mengikut kepercayaan misteri Kejawen, makhluk halus itu ada dua kelompok, iaitu yang lahir asli makhluk halus dan yang berasal dari manusia (arwah). Inilah yang dinamakan jin siluman. Konon jin siluman ini tinggal di danau, laut, samudra luas mereka hidup dan mengamalkan sistem kuno, ada raja, ada permaisuri dan pegawai atasan (ingat tak dengan kisah Ratu Kidul? Konon ia mempunyai istana).
No comments:
Post a Comment