Sunday, 23 October 2011

IBNU MUSLIM DALAM KENANGAN

Saya pernah bersama Ibnu Muslim (Pak Hussein Yaacob) yang menjadi kolumnis HARAKAH tidak lama dahulu. Seingat saya, ketika zaman tahun 80-an, Pas tidak memiliki akhbar sendiri seperti hari ini, maka Pak Hussein telah menerbitkan Mingguan BUMI, terbitan Arliz Creative, pejabatnya pindah randah, tapi yang lama di Kompleks Damai, Jalan Damai, KL.
Ketika itu saya, Pak Hussein (Ibnu Muslim), dibantu oleh Abdullah Tahir, Rahim Tahir, menyiapkan akhbar tabloid politik. Masa itu keadaan daif. Masih mesin taip biasa. Hantar setting pun jauh. Apabila tiba masa dateline, menggelabah betul, kalau sekarang ni senang aje nak sumbat bahan untuk tabloid.
Bahan blog banyak, sumbat sahaja. Gambar-gambar pun lumayan untuk kisah luar negeri. Nak mengulas pun mudah. Zaman dulu alangkah susahnya, seperti yang saya lihat Pak Hussein akan baca akhbar perdana yang ada pagi-pagi. Kemudian dia panggil saya Misjah Aini, suruh ambil mesin taip. Dia pun mula mereka-reka cerita untuk muka depan.
Tajuk muka depan cukup penting, biasanya kami termasuk Dollah Tahir, Pak Hussein asyik rombak-rombak tajuk depan. Kemudian sisipkan tajuk-tajuk menarik di dalamnya. Seingat saya, pada suatu hari saya dan Pak Hussein solat zohor di Masjid Pakistan lepas itu makan bersama di gerai Pakistan.
Ada suatu hari tu, Pak Hussein nampak Ustaz Ismail Kamus pakai jubah putih solat sendiri di masjid, dia solat sunat. Dan kemudian dia jadi imam solat dalam kelompok kecil setelah solat zohor imam Pakistan dilaksanakan. Jadi tak salah apa pun. Yang saya hairan, Pak Hussein di minggu itu karang cerita untuk Mingguan BUMI, bertajuk DUA IMAM DI MASJID PAKISTAN.
Tergamam saya dibuatnya.
Ketika ini muka Pak Hussein mencuka betul. Mingguan BUMI sasarannya untuk orang PAS yang masa itu tak ada surat khabar mingguan. Di tangan Alias, akhbar Pak Hussein jadi caca-marba nak ikut muka depan The Malay Mail, mesti ada gambar perempuan cantik, tak cantik tak mahu! Inilah selera Alias Mohamed. Dan seingat saya, ketika bersama Dr Alias itu kami siapkan buku The Trial of Mokhtar Hashim.
Penerbitannya Gateway Publication, kalau tak salah.
Saya juga biasa ke pejabat Pas di Jalan Pahang untuk interview tokoh Pas masa itu. Kadang-kadang bersama wartawan The New Straits Time dan Berita Harian.
Ketika bersama Pak Husseinlah saya rapat dengan Pak Sako, Mustapha Hussein seorang perjuangan dari Perak. Sempat temuramah dan tulis kisahnya sikit.
Ketika bersama Mingguan BUMI juga saya kenal dengan anak saudara Pak Hussein bernama Faznan Junoh yang sibuk sangat nak jadi wartawan. Cuma dia kena belajar menulis lagi. Sampai sekarang Faznan sesekali terserempak di Masjid Pakistan, dia lepak-lepak di situ.
Begitulah sedihnya,menerbitkan sebuah tabloid semi politik pada masa itu. Disebabkan Dr Alias ni rapat dengan Tengku Razaleigh Hamzah, maka kenyataan dan suara Ku Li sering dipaparkan.
Akan tetapi Ibnu Muslim tak setuju dengan corak yang dibawa oleh Dr Alias yang mahu menjadikan Mingguan BUMI melarat-larat, ada gambar perempuan tak tutup aurat dan macam-macam hal lagi. Masa tu setting pun guna compugraphic lagi. Sedih juga masa itu.
Kemudian ada pula puak Dato Musa Hitam terbitkan akhbar Harian yang nak mencabar harian lain. Ramai penulis ikut akhbar harian tu, antaranya yang saya ingat kawan saya Rahim Tahir, khabarnya Juwie (Auww!) pun ikut juga, gaji semua lebat-lebat, saya saja tak nak ikut. Sebab saya dah congak, gaji lebat macam tu berapa bulan boleh bertahan?
Sesiapa yang pernah ikut buat harian itu pasti tahu. Lepas tu lingkup semuanya. Bertaburanlah, sehingga Juwie masuk Utusan Melayu! Saya tetap dengan Minguan BUMI yang tak seberapa tu. Tabloid ini akhirnya tak ada minyak nak jalan. Pak Hussein "rampas" semula KDNnya dari Dr Alias. Maka Alias tidak ada media untuk menyatakan buah fikirannya dalam Rencana Pengarang dan Awang Putatnya.
Kini, apabila mengenang zaman serba kekurangan Mingguan BUMI saya terkenangkan Ibnu Muslim, saya terkenangkan Syed Jaafar al-Sagoff yang meringkuk kerana ISA gara-gara jadi tukang sebar risalah untuk al-Quds di Masjid Jamek Jalan Bandar, dan saya juga pernah tolong dia terjemah rencana mengenai Revolusi Iran. Saya ketika itu sedikit pun tak peduli soal Syiah atau Wahabi. Padahal kisah Syiah telah saya gali termasuk al-Kulaninya, mushaf Fatimahnya, dan imam yang ghaibah itu.
Syed Jaafar dari Johor selalu solat di Masjid Jamek, selepas dibebaskan dari ISA dia masih solat di situ dan saya teringat, dia ada membawa seketul batu Karbala. Batu itu diletakkan di tempat sujud. Saya tidak pun dipengaruhi Syiah walaupun banyak membaca bahan tentang Syiah. Dan kisah revolusi dulu pun banyak disiarkan dalam Mingguan BUMI. Agaknya kerana ini ada yang menuduh Syiah ada dalam Pas. Tak betul. Syiah ketika itu adalah fenomena yang mendunia. Semua orang kagum dengan Khomeini, bukan kagum dengan ajaran Syiah. Cara dia menjahanamkan Raja Syah Iran yang angkuh itu adalah suatu kejayaan rakyat. Ketika itu mana-mana negara di dunia yang beraja rasa tersindir apabila Raja yang hebat boleh tumbang dan membawa diri ke luar negeri. Mati dalam kehinaan. Begitulah nasib raja besar. Barangkali ada yang kata, ini semua pengaruh Syiah di Timur Tengah. Monarki goyah kerana Iran dan Syiah? Wallahu a'lam.[]

1 comment:

  1. Sdr. Andong Misnon.

    Mohon tulis lagi tentang Mingguan Bumi dan Pak Ibnu Muslim. Saya ada kumpulan mingguan itu, hampir lengkap, dijilid baik2. Saya baru tahu Dr. Alias Mohamed terlibat dalam penerbitan ini. Saya kenal Pak Hussein Ibnu Muslim melalui Pak Saudara saya yang jadi Bendahari Partai Rakyat Boestamam ketika itu. Waktu saya ada sedikit pergeseran pendapat dengan Pak Sako, Ibnu Muslim kasi cerita sama Pak Sako saya anak penyauk etak, budak-budak nakal tak tau apa2. Beberapa kali saya jumpa Pak Hussin di Chow Kit ketika ke pasar Chow Kit. Dia berjual kereta tolak. Harap sdr. dapat tulis sebuah buku tentang Mingguan Bumi dan Pak Hussein. Mingguan ini penting, sebagai suara orang kecil. Terima kasih.

    ReplyDelete