Saya teringat zaman kawan-kawan menghadapi musim sukar di tengah kota. Seorang kawan yang juga menulis rencana politik DI, pernah berniaga ubat di Lorong Haji Taib. Dan dia juga pernah menjaja ubat di Jalan Melayu, Jalan Masjid India, KL. Seorang pengarang akhbar tabloid yang selalu siarkan kisah-kisah sensasi juga pernah buka gelanggang di dua tempat itu bersama DI. Mereka jual ubat untuk dapatkan duit beberapa helai. Bukan soal mereka yang berniaga ubat, tetapi orang lain yang memang setiap malam berniaga ubat di situ.
Yang paling mengesankan adalah seorang Melayu dari Taman Soga, Batu Pahat, dia konon belajar ilmu kedukunan dari Siam, dan menjadi dukun atau bomoh nombor ramalan. Maka ramailah orang Melayu yang terpikat dengan celotehnya. Dia bijak, dengan mempamerkan salinan cek yang hebat, ada cap MAGNUM CORPORATION lagi, cek itu bernilai puluhan ribu ringgit. Konon dia ni adalah peramal empat digit yang hebat di Chow Kit, selain kelompok warna dari Indonesia yang membuka gelanggang, dalam telur ada empat digit. Ada yang buat ramalan dengan cara besi timbul ke permukaan air, ada yang angka telah siap, dan pendeknya semua orang masa itu gila empat digit.
Orang-orang ini tidak tahupun ada hadis yang menegah perbuatan mereka mempercayai cakap bomoh atau pawang temberang. Mereka tak tergerak pun nak mempelajari hal ini semua. Ada yang boleh meramal angka empat digit dengan cara mencampurkan nombor tarikh cabutan, campur enam digit angka sendiri, dan campurkan angka 666666. Sistem ini diketengahkan oleh seorang bekas tentera (cara no.5). Konon dia banyak mengaut duit dengan sistem itu.
Ada beberapa kaedah orang mendapatkan nombor ramalan:
1. Jumpa bomoh Cina, India, Orang Asli atau Bomoh Melayu.
2. Jumpa geng penipu di Chow Kit terdiri warga dari Indonesia yang mahir mengelabui mata orang ramai dengan lakonan cipta angka ramalan atas pinggan atau piring putih.
3. Jumpa geng penipu di Chow Kit terdiri dari warga Indonesia yang mahir menggunakan kaedah pecah telur ayam masukkan ke dalam sampul surat, keluar nombornya (sudah siap tulis dengan asid limau).
4. Jumpa geng dari Indonesia yang mahir gunakan besi timbul, dalamnya ada kertas angka tergulung terselit dalam besi(buat dirumah, ada teknik supaya besi itu timbul).
5. Jumpa abang bekas tentera tadi, dia buat sistem kiraan dengan ideanya sendiri.
6. Jumpa ahli astrologi Cina di mana-mana yang buka praktek (iklan dalam The Sun)
7. Jumpa budak Indonesia yang selalu fotostat angka ramalan dengan kaedah barisan angka ditekap dengan pelubang angka tepat. Sebaik ramalan keluar, dia pun tampal dan fotostat angka perubahan ini dan mendakwa ada orang kena 1st Prize, rugi siapa yang tak beli. Dia ni adalah satu-satunya peniaga ramalan nombor yang paling lama bertahan hingga tahun 2011, dia berniaga di Jalan Pasar Pudu, setiap hari. Berkaca mata, bawa beg hitam, kaki meja direka khas.
8. Anak muda keturunan Cina duduk bersila siap mengira angka ramalan dengan bayaran RM2, juga apek di Jalan Silang, siap meramal dengan menggunakan sistem (5) di atas.
GILA NOMBOR
Pendeknya, masa itu orang gila nombor paling banyak. Pantang ada budak Indon buka gelanggang. Muka yang sama. Mereka juga pandai main sandiwara, ketika kawan tengah buka gelanggang dan orang tengah sesak padat, dia pun masuk mencelah, serah duit beratus-ratus. Duit dalam sampul. Duit diletakkan depan pawang temberang, ada tempat bakar kemenyan, bakar setanggi, kain hitam, kain merah, "Tengok abang, orang sudah kena, dia kasi hadiah sama saya! Siapa mahu kasi?" katanya dengan megah.
Kata-kata si pawang temberang itu menambah keyakinan orang lain. Semua berkeyakinan tinggi menunggu bagaimana proses buat angka ramalan itu dimulakan. Biasanya siapa yang minat tolong sediakan wang kecil RM1, masuk dalam envelop.
Masing-masing menunggu bagai nak gila. Pawang temberang pun jerit-jerit, asap kemenyan lagi banyak, lagilah bagus. Ini kesan psikologi. Aroma kemenyan itu menimbulkan sugesti tinggi di kalangan orang yang kemaruk angka ramalan terutama hari Sabtu, Ahad dan Rahu (dulu hari Khamis).
Pawang temberang nombor ramalan ini ada di mana-mana. Sampai tahun 2011, masih ada saki bakinya di Lorong Petaling Street dan Jalan Pasar,Pudu. Ramai sudah mengaku kalah. Orang dah tak percaya dengan temberang.
Ingatkah kepada Dr Raden Johari Mansor yang namanya hebat gunakan gelar Sri Sultan, konon mewarisi kepakaran dari kraton Jawa. Itu sebab dia guna nama Raden. Di Malaysia orang yang nak jadi bomoh, pawang atau paranormal (sebutan mereka) amat gemar gunakan nama Raden. Inilah peluang untuk menipu orang.
Dulu ada juga Pak Raden Salleh (ayahanda Khalid Salleh pelakon tu), cuma orang tua itu yang mengaku umur seratus tahun isteri ada empat, "Anak dara semua!Janda-janda tidak ada! Semua rokon(rukun) hidup damai satu rumah."
Dia bukan bomoh dan pawang, dia hanya jual makjun. Jadi tak ada apa salahnya dengan Raden Salleh.Begitulah ujar Pak Raden Salleh yang biasanya jual makjun Pangkor Laut. Duit mencurah-curah jika dia bersila buka gelanggang di Jalan Masjid India (tahun 80-an hingga awal 90-an).
Seseorang yang menyamar dukun hebat biasanya akan mula belajar menipu orang ramai apabila berasa diri mereka terkenal dan hebat. Puncanya, ada wartawan tabloid yang memberi ruang. Mereka paparkan iklan dengan harga istimewa setidak-tidaknya selamat untuk kos cetak tabloid dengan iklan itu. Di sinilah, bomoh atau pawang temberang akan menggunakan media akhbar tabloid yang tidak popular untuk melariskan dagangannya. Banyak juga pawang atau bomoh temberang jadi cerdik setelah berkawan dengan wartawan. Contohnya, Bomoh Antarabangsa yang buka praktek di Hotel Kowloon. Siap bawa jala untuk menjaring makhluk halus. Temberang betul.
Bermula daripada gelaran yang logik hingga gelaran yang tak logik. Nama Raden dibubuh, nama Datuk ditambah, kemudian Prof lagi. Kemudian ada gelaran Datuk Kelana persilatan. Bab ini no komen. Mahaguru persilatan dengan sewenang-wenang menganugerahkan gelaran hebat-hebat kepada seseorang, dan ada Menteri yang terkena iaitu Datuk Dr. Zahid Hamidi, dapat anugerah selempang lagi serba kuning dari Datuk Raden Johari Mansur yang penipu (semaklah blog Uncle Seekers).
Sebenarnya ramai orang yang menyamar sebagai pintar, menyediakan berbagai kepakaran yang sebut sahaja masalah anda, mereka siap menolong, ini saya lihat iklan Tuk Baba di Masjid India. Dulu buat operasi di Pasar Borong Selayang, sekarang pindah di Masjid India. Ada juga astrologer keturunan India yang hebat, nama Prof juga, dulu di Semua House, kemudian pindah ke Campbell. Tak tahu masih aktif atau tidak.
Selain bertemu pawang temberang dan dukun temberang, kaki nombor juga mempunyai kemahiran membaca kod rahsia tiket ramalan angka yang sudah dibeli. Mereka boleh mengagak angka itu masuk atau tidak. Mereka membeli RM1 sehelai demi sehelai sehingga masuk RM50.00. Kad yang dibeli semakin tebal.
Seorang lelaki di Ampang ketika wafat, kamarnya digelidah dan dibersihkan oleh tuan rumah mendapati lelaki itu yang keturunan Syed menyimpan tiket angka ramalan berikat-ikat banyaknya. Mujur sahabat baiknya menyorokkan benda itu dan buang ke tong sampah. Ini untuk mengelakkan fitnah.
Begitulah, yang hendak diceritakan tentang bomoh dan pawang temberang yang bertebaran di mana-mana kerana ada orang yang mabuk empat digit. Di Johor Bahru, mengikut tinjauan peribadi, ada sebuah kedai kopi yang dipenuhi oleh lelaki Melayu dan perempuan Melayu yang kemaruk dengan empat digit. Mereka study kod tiket yang dibeli dan kemudian membeli lagi, diubah lagi dan beli lagi, paling tidak mereka akan gunakan istilah PUSING atau PAU.
Oh, ya, ada satu lagi kegilaan orang KL. Iaitu angka CHEEFA. Biasanya angka dibeli dari seorang ejen secara haram. Kalau kena dengarnya RM1 dibahar RM36 atau lebih (kalau tak silaplah). Pemain angka begini kebanyakan peniaga kecil dan pasar malam di Chow Kit, peniaga ikan dan semua yang berkawan dengan mereka. Ia permainan angka paling popular. Duit pun dapat segera, ejen boleh tahu siapa kena dan siapa tak kena. Hanya kena simpan kertas kecil sebagai bukti.Pondan paling kemaruk dengan CIPA.
Begitulah hebatnya permainan angka ini. Dari empat angka menjadi enam angka. Ada juga yang dua angka sahaja. Siang angkanya lain, petang lain, larut malam lain. Itulah CHEEFA atau CIPA. Ramai juga geng pemandu teksi yang suka lepak main angka begini. Yang dah kena akan ketagih, macam orang ketagih empat digit. Orang ketagih jadi bomoh dan pawang ekor pun sama juga. Inilah ragam manusia kota yang elok dicatatkan. Semua ini tinggal nostalgia. Ke mana perginya bomoh dan pawang hebat itu? Istilah yang saya guna pawang dan bomoh ekor ni tidak kena sebenarnya, tapi sengaja digunakan untuk menggambarkan kegiatan meramal dan mengetahui hal yang tersembunyi (ghaib?).[]
No comments:
Post a Comment