Monday, 31 October 2011

INTISARI DAN DZULNUR'AIN

Dua majalah ini tinggal kenangan. Ada tak adanya, kedua majalah ini tersimpan di Perpustakaan Negara. Kedua majalah ini wujud bermula dengan Intisari dan kemudian muncul pula rakannya Dzulnur'ain. Intisari lebih fokus kepada cerita-ceriti biasa, tentang apa sahaja termasuk yang mistik, bergantung kepada situasi. Walaupun saya pernah duduk di kerusi nombor dua dalam majalah itu, sebenarnya isi majalah lebih dikuasai oleh Abu Bakar Ninggal (ABN).
Kenapa dua majalah ini berada di pasaran pada ketika itu? Tidak lain hanya untuk bergandingan dengan majalah lain yang ada di pasaran ketika itu. Bayangkanlah, selain Mastika, Intisari, Dzulnur'ain, ada Pesona, Misteri, Variasi, Variasari, Visi, Wawancara dan macam-macam lagi. Ini dalam bentuk ukuran saku. Ada yang berbentuk tabloid yang semuanya menyendalkan kisah-kisah yang serupa.
Sesuatu yang ketara pada masa itu adalah setiap majalah akan berlawanan judul muka depan dengan tujuan menarik pembaca.Mereka tidak mengira apakah pembaca akan muak dengan cerita-cerita begitu? Tidak terfikir pun. Selalunya pihak pengedar majalah (semuanya bukan Melayu) akan melaporkan, keluaran kali ini bagus atau keluaran kali ini merosot. Laporan dari tukang edar ini diambil kira, bukan soal matlamat sesebuah penerbitan yang sudah siap dengan wawasan masing-masing.
Apa pun, setiap majalah memuatkan kisah yang sama. Bahan yang dimuatkan adalah kisah-kisah yang dikutip dari berbagai sumber:
1. wartawan majalah itu sendiri mencari bahan dengan cara menjelajah ke sumber asalnya.
2. ada yang mendapat maklumat daripada pembaca yang menghubungi editor mengatakan ada perkara menarik untuk dipaparkan.
3. ada tukang ubat yang menghubungi wartawan atau meja editor meminta agar ditemubual dan diambil gambar kegiatan mereka.
4. ada sumber yang diambil melalui iklan pak dukun, pak bomoh, pak pawang dan apa sahaja sumber.
5. mendapat tugasan daripada editor kanan.
6. bahan daripada surat pembaca.
7. bahan daripada penulis bebas yang ingin belajar menulis (ada pemandu teksi, penganggur dan pekerja swasta yang minat menulis dan bawa kamera mereka buat cerita dan gambar sekali).
8. biasa juga wartawan menghubungi kalangan paranormal yang sudah biasa untuk mendapatkan cerita baru.
9. ada yang menemubual ustaz, kesan daripada tazkirah yang dirasakan menarik untuk diperpanjangkan bahannya.
10. ada pula seseorang yang ingin membuat pengakuan. Hasil daripada pendedahan ini kemudian ada pula yang membuat pengakuan rekaan sahaja, berdasarkan pengalaman orang lain dan diceritakan semula.
11.ada cerita yang terpaksa didramatisasikan kerana tukang cerita tidak dapat memanjangkan cerita menutut alur logika.
Sebenarnya untuk mengisi ruang majalah kecil 128 halaman bukan mudah apabila ia perlu disiapkan mengikut dateline tertentu. Nampak mudah, tetapi apabila telah terlibat secara rutin, secara bulanan, ia kadang-kadang membuatkan kita tension.
Bukan perkara pelik kalau cerita yang dihantar oleh orang luar dianggap kurang ummph oleh pihak editor maka ditokok-tambah. Misalnya kisah zina budak Bangladesh dengan minah Indon. Ia kisah zina biasa, tidak menarik, tetapi di tangan editor ia sudah berubah menjadi kes melekat, hingga dibawa ke hospital kononnya. Tanyalah kepada Dr Ismail Thamby, pernahkah dia berdepan dengan kes melekat ketika zina? Memang tak ada kata dr pakar ini (baca bukunya, Panduan Menjaga Kesihatan Seksual, Batu Caves: PTS Millennia Sdn Bhd, 2006).
Semua ini adalah sensasi. Selain itu kisah orang tangkap hantu masuk dalam botol, kisah toyol, kisah orang jumpa makhluk halus, kepercayaan tahayul, keercayaan khurafat di Alam Melayu dipaparkan. Ada yang berbentuk cuplikan daripada nota-nita silam seperti di dalam Notes and Inquiry, JMBRAS itu. Sumber kisah Tuk Panglima Kinta kahwin bunian itu diambil dari bahan ini. Manakala sesiapa yang rajin semak Jurnal antarabangsa, terbitan universiti luar negeri, memang banyak kajian budaya dan pengamalan yang boleh dipaparkan untuk majalah. Dalam kes ini saya sendiri pernah dapatkan sumber dari ASIAN Comtemporary, sebuah jurnal yang menarik (kes kambing kambing yang dipersembahkan oleh nelayan di Pulau Tuba, Pulau Pinang).
Sebenarnya sumber dari Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu pun banyak. Akan tetapi disebabkan bilangan majalah terlampau banyak (masih kecil jika dibandingkan dengan bilangan majalah dan tabloid di Indonesia).
Berbalik kepada Intisari, walaupun ia cuba bersaing dengan majalah lain, yang kebanyakannya adakan majalah terbitan rakan-rakan penulis belaka. Bahkan ada yang pernah satu bumbung pun. Masing-masing hendak berlawan. Indeks pasaran majalah adalah merujuk kepada mamak yang menjadi agen pemasarannya. Mereka yang menjadi penentu sesebuah penerbitan hendak meneruskan atau tidak bahan-bahan tertentu yang sensasi. Pengedar inilah yang meminta bikin cerita melekat, bikin cerita orang mainlah, dan macam-macam. Pengedar geleng kepala kalau jualan majalah merosot. Padahal dia peduli apa dengan polisi sesebuah majalah, mereka hanya kira laku dan tak laku sahaja.
Disebabkan dah terlampau banyak majalah di pasaran, masalahnya, penjual akhbar dan majalah menghadapi masalah nak menyusun majalah sais kecil ini. Ada yang disusun dengan kemas dan ada yang bertindih, hanya nampak nama majalah sahaja. Isi kisah apa pun mereka tak nampak. Jadi, hampalah siapa yang beranggapan judul zina sampai melekat itu akan menarik minat. Kekadang tajuk sahaja yang hebat, tetapi ceritanya hambar.
Di kalangan orang ramai pun, ada kalangan mereka yang pantang bertemu penulis. Ada sahaja ceritanya. Ramai yang suka bercerita rupanya. Contoh, Arwah Pak Wan Kelantan, rajin bercerita tentang pengalamannya di Kelantan. Dia banyak memberi bahan kisah tentang besi bat sami Siam, guna-guna Siam yang membunuh, kisah petani cabar Allah SWT dengan parang, kisah memancing jumpa hantu dan sebagainya.
Di Chembong, saya bertemu dengan pegawai pertanian yang mendapat benda mistik dari alam bunian. Keris, batu dan selendang (bukan kundu sumai puntianak tau!). Pendeknya, setiap orang suka kalau gambarnya dirakamkan dan ceritanya dipaparkan. Tukang ubat lagi suka. Contoh, kebanyakan tukang ubat akan bentangkan majalah yang memuatkan kisahnya. Kisah dia jual buntat kelapa, kisah dia jual teras kayu, teras buluh, kisah dia ada benda pelik yang ditemui dalam hutan, dalam gua atau yang mendakwa jumpa Puteri Gunung Ledang. Kisah begini perlu dipaparkan mengikut dakwaan mereka, tak perlu diulas logik atau tidaknya.
Seperti kisah seorang lelaki berbadan gempal dari Johor Bahru, dia mendakwa bersahabat dengan amoi yang sudah mati accident. Dia kerap jumpa amoi itu di kawasan jirat Cina. Boleh percayakah? Kemudian dia simpan kemenyan bunian, dia jumpa kucing besar kambing dan macam-macam. Itu belum lagi bab Makam Puteri Jalang di Kota Tinggi. Kisah ini biasa sahaja, tetapi pada penulis yang banyak membaca kisah makam puteri jalang ini boleh dikaitkan dengan kisah dari Jawa Barat tanah Pasundan. Ada kisah wanita mempunyai tanda di lengan. Sesiapa yang nikah dengannya akan meninggal dunia setelah beberapa tahun kahwin. Kahwin lagi dan berlaku lagi perkara yang sama. Ia boleh dikaitkan dengan ilmu hitam atau saka.
Ada juga budak tabligh yang menghubungi penulis hanya hendak tunjukkan batu pelik. Memang batu ini tak ada yang pelik. Jika dilihat dengan mata kasar, biasa sahaja, akan tetapi ada yang menilik dan merekayasa agar batu itu menjadi mistik. Ada urat di dalamnya, ada tulisan kalimah ALLAH dan sebagainya.
Di bandar Baru Sentul, seorang wanita menghubungi majalah kerana ada perkara menarik hendak diceritakan. Sebaik sampai ke tempat wanita itu, tak ada benda yang pelik pun. Terpaksa korek banyak cerita lain untuk mendapatkan bahan yang lebih menarik. Jadi, tidak semestinya setiap kali jumpa orang akan dapat cerita menarik. Banyak yang tak menarik pun. Jika pandai, jadikan ia sebuah cerita yang menarik.
Kekadang untuk mengisi majalah kecil begini, kita perlu kreatif menulis fiksyen. Daripada kisah bisa dijadikan ia luar biasa dan menarik.
Contoh kisah memancing jumpa makhluk misteri, ini sudah biasa. Akhbar perdana pun ada ruangan khas tentang pengalaman memancing. Ada juga temubual yang tidak saya tulis pun, iaitu kisah seorang juruodit dalaman sebuah syarikat perkenal I&P yang buat pelaburan di Kalimantan. Juruodit itu mendakwa dia sebagai gigolo ketika mudanya. Datin-datin jadi sasaran. Ini memang cerita menarik, masih boleh ditulis semula setiap tahun. Kemudian kisah seorang bekas DJ Radio Ibukota yang berkelana ke Banting, Selangor, menjadi khadam kepada bomoh tarik duit. Dia konon boleh masukkan kad ATM dan tekan berapa nak. Konon duit pun keluar berhelai-helai sedangkan akaunnya kosong. Kisah kehebatan diri atau nak tunjuk dia itu berilmu "tarik duit?"
Teringat saya dengan cerita isteri, ketika Ustaz Shauki buat kuliah mingguan di Perkim (30.10.2011) ada seorang wanita mengisahkan pengalamannya bertemu dukun pintar di Ulu Yam, Selangor. Dia beritahu Ustaz Shauki (ada blognya ustad ni) sesiapa nak dapatkan cerita kena bayarlah kepada wanita itu. Wanita itu kata dia ada banyak cerita misteri. Akan tetapi sepanjang saya mencari bahan dan temu ramah orang, tak pernah kita keluarkan biaya untuk bayar cerita. Ada pun belanja makan minum kalau kebetulan sembang di restoran atau warung kecil sahaja. Itu adatlah. Apalagi kalau nak ambil gambar. Kena pandai dapatkan sudut menarik. Ada kalanya kisah saya dapat di laman masjid atau surau.
Wanita yang mendakwa banyak cerita di Bandar Baru Sentul, ketika saya temu ramah untuk dapatkan cerita semakin kalut apabila dia mendakwa penulis adalah anak kepada Presiden Singapura Lee Kuan Yew. Apa ni? Mengarutlah. Disebabkan wanita itu berbicara tak ada sempadan, saya tutup nota saya. Jadi kita perlu nilai cerita bagaimana yang nak dipaparkan. Ada cerita yang boleh dan tak boleh dipaparkan.
Sebenarnya sebahagian besar majalah kecil ini pernah dapat surat cinta dari Jakim. Surat yang mengingatkan kepada editorialnya agar berhati-hati dalam menyiarkan sesuatu bahan. Contohnya, Intisari kena tegur tentang kisah perut busung hingga keluar lintah, konon kerana buatan orang, ilmu hitam. Jakim tidak gemar dengan sebab dan akibat yang begini. Terlalu mengada-ngada. Misalnya, orang yang ketika hidup pindahkan batu pancang sempadan, ketika meninggal kuburnya tak muat, terpaksa digali semula. Atau kerana orang itu begitu dan begini, liang kuburnya ada ular besar atau kala jengking. Ingatlah, semua ini cerita. Bahkan ada kisah-kisah islami yang pernah memaparkan kisah tersebut dan ia diolah semula oleh penulisnya.
Seperti kisah lelaki yang membunuh 99 orang, ia masih boleh ditulis oleh sesiapa pun dalam berbagai bentuk penceritaan guna memberi pengajaran kepada orang lain.
Kedua majalah yang saya ceritakan ini menemui jalan buntu kerana jualan merosot. Bukan dua majalah ini sahaja, majalah lain pun senasib. Yang nampak bertahan sekarang adalah Mastika, Variasari, Misteri dan beberapa lagi masih wujud di pasaran. Sebenarnya mereka beruntung kerana tiada saingan. Kenyataannya, bilangan majalah kecil ini meningkat atau menurun hingga boleh dihitung dengan sebelah tangan adalah berpunca dari pasaran merundum. Orang dah memiliki saluran lain untuk mendapatkan bahan. Zaman dulu novelet Mona Gersang jadi rebutan anak muda. Di pasar-pasar malam anak muda mencari novel panas. Kini yang lebih panas, malah siap dengan gambar sekali sudah ada di depan mata. Kesan dari sinilah majalah kecil semakin menipis, dan mungkin suatu masa nanti tidak ada lagi. Begitulah kisah dua majalah yang kebetulan penulis terlibat dalam pembikinannya bersama Hj Abu Bakar Ninggal, Khairul, Syarifah, dan tak lupa sahabat lama M Jusub Taib (Majusta), arwah Dharmala NS yang popular dengan nama Tuk Awang Ngah itu. Kisah santau yang Tuk Awang tulis banyak merujuk buku yang saya pinjamkan kepada arwah Abdul Muluk Daud. Mereka adalah orang yang pernah terlibat sama dengan majalah Intisari di peringkat awal, dan saya pernah bersama-sama majalah Pesona, Salleh Hamzah dan Rahmah Saad. []

No comments:

Post a Comment