Sunday, 23 October 2011

KERIS JAWA DAN KERBAU PADANG

Kisah ini dongeng lelucon yang ada kaitan dengan asal usul kenapa orang di Sumatera itu dipanggil Minangkabau.
Kedua mengapa orang Jawa selitkan keris di belakang, sedangkan Melayu moden macam Umno cium keris atau selit keris di depan.
Walhal keris asalnya dari Jawa. Melayu banyak belajar hal ehwal keris dari Jawa.
Dahulu kala konon ada dua kerajaan yang asyik berperang tak henti-henti, itulah kerajaan di Padang dan kerajaan di Jawa. Raja Padang dan Raja Jawa asyik berperang. Keduanya tidak berperang sangat, tapi para perajuritnya banyak yang terkorban.
Orang Padang tidaklah melanggar Jawa, sebaliknya menunggu kedatangan prajurit Jawa ke Sumatera. Masa dulu perajurit Jawa juga pernah pergi ke Malaka untuk berperang menentang musuh di sana. Mana larat, awak bawa keris dan tombak, Feringgi bawa bedil dan pedang!
Oleh sebab perang tak habis-habis, maka keduanya pun berpakat untuk berdamai. Tetapi dengan satu syarat, keduanya tidak perlu tanding senjata, tetapi bertanding - laga kerbau.
Ini sudah dikira idea baru. Masa itu dikira lateral thinking juga macam Edward de Bono.
Maka, kedua pihak pun setuju untuk mengadakan pertandingan laga kerbau. Macam biasa, Raja Jawa kena mengalah. Laga kerbau perlu diadakan di Sumatera bukan di Jawa.
Pihak Raja Jawa siapkan seekor kerbau yang hebat, ukuran badannya pun bukan calang-calang kerbau. Macam adat kratonan Jawa, kerbau hebat itu dipanggil Kyai Gentong Pamungkas. Hebat!
Fikirlah, mana ada kerbau dipanggil kyai? Kyai itu maknanya orang yang yang alim, warak, kaki masjid dan surau. Bagaimana kalau kerbau jadi kyai?
Rupanya bukan itu. Kyai ini tidak ada kaitan dengan watak taqwa seseorang. Ia hanya gelaran. Memang inilah gelaran yang paling popular di Jawa. Kalau haiwan pun dipanggil kyai apalagi manusia yang berkupiah dan berserban.
Untuk siapkan kerbau, pihak Raja Jawa macam biasalah dengan adagt Kejawennya, kerbau dimandikan, diberi mandi bunga tujuh jenis, siap umbo rampenya, bakar kemenyan, mantera dan memantapkan tenaga kerbau agar dapat mengalahkan kerbau pilihan orang Padang.
Sementara itu di Padang, Raja Padang susah hati mendengar Raja Jawa sudah siapkan kerbau bernama Kyai Gentong Pamungkas. Dah tentu kerbau Raja Jawa cukup tangkas.
Penasihat Raja Padang namanya pelik sikit, lucu pula, SUTAN BAGINDO MARINGKIAK MACAM KUDO.
Dah tentu Sutan Bagindo ni dahsyat juga. Mariangkiak macam kudo? Macam kuda bunyinya.
"Aku ada cadangan Pak Raja," kata Sutan Bagindo.
"Apa dia?"
"Jangan takut kalau kita tak ada kerbau bosar macam Raja Jawa punya. Biarlah dia nak namakan Kyai ke Lebai ke atau Ustaz, tapi aku ada cadangan istimewa. Tunggulah, jangan bimbang. Masa pertandingan dimulakan, aku nak buat surprise!" kata Sutan Bagindo.
Maka kemudian Raja Jawa berangkatlah dengan kapal kecil siap dengan kerbau, rumput makanan kerbau, menyeberangi Selat Sunda, langsung ke Sumatera. Berhari-hari bergerak, akhirnya sampailah ke Padang.
Upacara pertandingan pun dimulakan.
Kerbau bernama Kyai Gentong Pamungkas dijampir dan dimantera lagi. Dibakarkan kemenyan dan disertai oleh pawang dan bomoh serta paranormal kondang.
"Pertandingan akan dimulakan sekarang... lihat Kyai Gentong Pamungkas telah masuk ke padang, berjalan mundar-mandir menunggu tandingannya masuk," demikian kata pengacara majlis.
Orang ramai bertepuk. Kebanyakan orang Padang, dan sedikit orang Jawa yang hadir kerana jauh. Jika Raja Jawa bagi duit tambang mungkin ramailah orang Jawa datang ke Padang.
"Diminta pihak Raja Padang mengeluarkan kerbau tandingan mereka!"
Semua orang menunggu dengan sabar.
Seekor anak kerbau telah dilepaskan oleh Sutan Bagindo.
"Apa ni?" kata para penonton. "Masak anak kerbau mahu berlawan dengan kerbau Kyai Gentong?"
Atas muslihat Sutan Bagindo, Raja Padang naik cemas. Kalau anak kerbau dilawankan dengan kerbau dewasa, mana yang menang. Memang gilo Sutan Bagindo. Anak kerbau nak lawan bapak kerbau?
"Gila kamu Sutan Bagindo, kamu memalukan aku," kata Raja Padang.
Tetapi Sutan Bagindo ada siasat, anak kerbau yang hingusan itu tanduknya masih kecil, tapi Sutan Bagindo sudah sambungkan tanduk kerbau dengan besi tajam yang bahaya. Kalau besi itu terkena perut Kyai Gentong, pasti tembus!
Tunggulah dulu.
Orang  Padang resah takut kalah. Akhirnya sebaik anak kerbau itu melihat ada kerbau besar di tengah gelanggang ia terus mengejarnya. Kenapa? Anak kerbau fikir, kerbau besar itu adalah ibunya. Dia mahu menyusu kerana sudah lapar dan dahaga. Inilah peluang baik untuk menetek.
Maka anak kerbau pun terus meluru dan menyeruduk bawah kerbau besar. Anak kerbau mahu menetek. Biar Kyai Gentong itu kerbau jantan, dia tak peduli.
Randukan dari anak kerbau menyebabkan kerbau besar kesakitan. Apa ni? Aku jantanlah! Tak kan kamu nak menetek dengan aku. Kerbau besar berlari mengelak. Bukan apa, dia tak ada mood nak bertarung, bawah badannya sudah luka kena tusuk besi tajam yang disambung pada tanduk anak kerbau.
Apa lagi, anak kerbau terus mengasak dan mengasak mahu menetek kerbau besar. Akhirnya kerbau besar tumbang di gelangggang. Perutnya luka teruk dirodok tanduk anak kerbau.
Anak kerbau terpinga-pinga mendengar orang Padang bersorak. Raja Jawa temungkul melihat kejadian itu.
"Dengan ini kita isytiharkan kemenangan di pihak Raja Padang! Beri tepukan!"
Dengan pengumuman itu kisah perang yang berlarutan antara dua pihak Padang dan Jawa  telah dimenangi oleh Raja Padang.
Raja Padang adalah pihak yang menang dalam laga kerbau tadi. Justeru itu orang Jawa memanggilnya, puak Menang Kerbau. Kamu lawan dengan siapa? Dengan Menang Kerbau.
Maka panggilan menang kerbau itu terkenal di seluruh Jawa.
Raja Jawa tampil mendekati Raja Padang. "Aku menyerah kalah, kamu yang menang!"
Kemudian Raja Jawa mencampakkan kerisnya yang berluk-luk itu ke padang. Sementara kerbau besar Raja Jawa sudah terbaring di gelanggang.
Melihat Raja Jawa mencampakkan keris, Raja Padang berkejar mengambilnya.
"Pisaumu! Aku tak mahu pisau mu ini, kenapa berluk-luk, mana boleh aku gunakan untuk potong daging kerbau?" kata Raja Padang.
"Ambillah aku tak mahu!" kata Raja Jawa.
Raja Jawa berlari. Raja Padang mengejar hendak menyerahkan keris itu kepada Raja Jawa. Raja Padang mengejar dan mengejar. Akhirnya apabila sudah dekat, Raja Padang pun sisipkan keris Raja Jawa itu di belakang ikat pinggang Raja Jawa.
Raja Jawa pulang ke Jawa dengan keris tersisip di belakangnya. Konon, bermula dari kisah tadi, keris Jawa memang disisipkan di bahagian belakang, manaka keris orang di wilayah lain disisipkan di bahagian depan.
Dengan sebab orang Padang telah menang dalam pertandingan tadi, mereka dipanggil Menang Kerbau. Untuk memudahkan menyebut mereka sebutnya Minangkabau.
Semua ini adalah wawasan brilian dari Sutan Bagindo Maringkiak Macam Kudo. Kalaulah Malaysia mempunyai pegawai umpama Sutan Bagindo, tak adalah politik Malaysia ini caca-marba dengan ketuanan melayu dan hidup melayu.
Nasib baik generasi muda Indonesia tidak bilang, "Lihat, malingsia, keris pun dibilangin milik mereka. Melayu malingsia bilang keris milik mereka. Aduh kok jahat banget?" []

No comments:

Post a Comment