Sunday 21 July 2013

AL-KAFI KITAB HADIS SYI'AH BAGAIMANA ISINYA?

Bicara tentang Syi'ah sudah tentu tak lengkap kalau tidak menyebut nama kitab al-Kafi [Muhammad Yacob al-Khulaini, Mansurat al-Fajr Beirut Lebanon, 1428H/2007M, 8 Jilid]. Kitab ini seumpama Bukhari dan Muslim di kalangan Ahlussunnah yang selalu kita sebut setiap kali berwacana tentang apa sahaja berkaitan dengan Islam. Di dalam al-Kafi terdapat beberapa pembahasan antaranya:
Usul al-Kafi, furu al-Kafi dan rawdat al-Kafi.
Di kalangan ulama Syi'ah, kitab ini memang jadi rujukan utama. Inilah kitab hadis mereka. Mereka tidak utamakan Bukhari Muslim dan seumpamanya. Ia jadi sandaran utama mereka setelah al-Qur'an. Kulaini dikatakan hidup sezaman dengan para wakil Imam Zaman, iaitu imam yang ditunggu-tunggu kemunculannya. Kitab ini ditulis ketika ghaibah sughra.
Para ulama Syi'ah memang memberikan rekomendasi agar menggunakan al-Kafi kerana ia mencakupi seganap bidang pembelajaran agama. Boleh dijadikan panduan murid dan guru.
Kalau kita semak ulasan dan komentar para ulama Syi'ah terhadap al-Kafi, maka kita akan dapati kebanyakan mereka memuji keunggulan kitab ini. Dalam bidang hadis kitab ini memang tidak ada bandingannya kata Ali al-Kurki dalam mukadimah al-Kafi.
Ada yang kata ia paling mulia, paling mendalam, lengkap dan sempurna, bebas dari cacat. Ini kata al-Faid yang juga orang Syi'ah.
Al-Majlisi berkata, inilah kitab terbaik, paling sempurna dalam masalah pokok, karya terbaik pembabakannya. Dalam masa yang sama, setelah penelitian dalam al-Kafi, al-Majlisi [penulis Bihar al-Anwar, Jala' al-Uyun, Haqq al-Yaqin, Hayat al-Qulub dll]. Al-Majlisi mendapati di dalam kitab induk Syi'ah ini terdapat 9,485 hadis daif.
Al-Amili, juga seorang ulama Syi'ah yang banyak dijadikan patukan sumber, mengatakan di dalam kitab al-Kafi itu terdapat 5,072 hadis shahih setelah meneliti sanadnya; 144 berstatus hasan; 1,118 berstatus muwaththaq [boleh dipercaya]; 302 berstatus qawi [kuat] dan 9,485 hadis lemah atau daif.
Ada kalangan Syi'ah yang berpendapat hadis di dalam kitab induk itu statusnya tidak diragui kerana ia dicatata atau direkodkan ketika periode ghaibah sughra, sekitar 70 tahun sejak menghilangnya Imam [260-328H], alasannya semasa keghaiban itu Imam telah melantik wakilnya. Jika ada hadis di dalam rekod al-Kafi itu dinisbahkan kepada ahlul bait dan tidak shahih, al-Mahdi akan menegurnya.
Dikatakan bahawa al-Majlisi telah melakukan telaah hadis dalam al-Kafi dengan menggunakan metode muta'akhirin, kaedah yang digagaskan oleh al-Hilli dan Ahmad ibn Tawus.
Di mata kalangan Syi'ah, kitab hadis ini dianggap sempurna dan hebat bagi menandingi Bukhari dan Muslim. Tetapi dalam penelitian ulama dewasa ini, ia sarat dengan khurafat dan MISTIK/MITOS.
Contohnya:
1. Nabi Muhammad disusui pamannya, Abu Thalib beberapa hari ketika kehabisan susu [Vol.i , hal.448]
2. Potong kuku, mencabut misai, membasahi kepala adalah penolak kemiskinan dan membuka pintu rezeki [vol.vi]
3. Ditegah pakai sandal hitam, bahaya pada mata dan melemahkan syahwat. Warna kuning dianjurkan (membawa kesenangan) dan warna putih (mendatangkan rezeki) [vol.vi]
4. Ayam ada lima sifat yang dimiliki pada Nabi - dermawan, pemberani, berpuas hati, tahu waktu solat, banyak kahwin dan cemburu [vol.vi]
5.Cabut bulu hidung menjadikan tampan menaikkan aura wajah [vol.vi]
6. Nikah di waktu tengah hari panas dilarang, nanti bercerai sudahnya [vol.v]
7. Nabi mengajar Ali sejuta bab tentang ilmu setelah baginda wafat [vol.i]
8. Bayi yang bakal menjadi orang soleh itu boleh dilihat pada kemaluannya kelihatan kecil dan redup pandangannya, manakala bakal kaki maksiat kalau kemaluannya besar dan tajam pandangannya [vol.vi].
Begitulah yang dapat dicatat.
Menariknya, sekalipun kitab ini dianggap serba sempurna oleh mereka, ada sesuatu yang membuatkan pembaca Ahlussunnah kehairanan. Betapa tidak, dalam kitab yang sama juga dinyatakan bahawa ada satu riwayat dari Jaafar al-Shadiq yang mengatakan al-Qur'an yang dibawa turun oleh malaikat Jibril kepada Muhammad sallallahu alaihi wasallam berjumlah 17,000 ayat, sedangkan yang ada di tangan kita sekarang hanya 6,263 ayat. Di mana selebihnya? Ia ada di tangan ahlul bait dari kompilasi Ali bin Abi Thalib [Usul al-Kafi, vol.ii/634].
Teringat satu cerita menarik dari Sayyid Husain al-Musawi yang sudah dihukum KAFIR oleh puak Syi'ah kerana beliau kembali ke pangkal jalan dengan mengikut Ahlussunnah. Ada orang menginap di rumah tokoh Syi'ah ternama, orang yang menginap itu seorang ahlussunnah hendak pergi ke Najaf. Orang Sunni ini dilayan sebagai tetamu biasa. Esoknya setelah tetamu berangkat ke tempat tujuan, ayah kepada tokoh Syi'ah ini telah memerintahkan agar tilam yang digunakan untuk tidur orang Sunni itu dibakar, bersihkan pinggan mangkuk dan cawan yang telah digunakan oleh orang Sunni itu, kenapa? Ya, mereka orang Syi'ah menganggap orang Sunni ini najis. Kena bersihkan semuanya. "Kerana para fuqaha Syi'ah telah menyamaratakan orang Sunni itu sama sahaja macam orang musyrik dan babi," itulah penjelasan al-Musawi yang kemudiannya beliau dibunuh oleh pihak Syi'ah kerana telah keluar dari ajaran Syi'ah. [Jurnal Islamika, vol.viii, No.1, 2013].

No comments:

Post a Comment