Sunday 21 July 2013

ORANG GELANDANGAN, RAKYAT DIDAHULUKAN?

Di dalam blog ini saya sering menyentuh soal kehidupan orang gelandangan. Sahabat penulis pun dulunya pernah jadi gelandangan ketika "niaga" di Central Market KL dalam tahun 90-an, kemudian berkelana di Eropah dan terakhir menetap di Brisbane, Australia. Sahabat ini menceritakan tentang pengalamannya yang indah tidur di bawah jambatan dan tepi longkang yang banyak nyamuk!
Sekadar membaca laporan akhbar harian atau mingguan, anda tidak rasa apa. Atau paling tidak ada yang mencebik: "Mereka itu pemalas!"
Bukan tak ada orang kata, mereka yang gelandangan itu kaum Melayu yang pemalas nak kerja. Tetapi sesiapa yang berbaik sangka dengan mereka, jangan terkejut kalau mereka ada yang bekasan pekerja swasta dan kerajaan yang sudah terbuang.
Ada yang gelandangan tidur di kaki lima kedai, tepi jalan atas tembok, bawah jejambat kota, celah kotak, dalam kotak, tepi longkang, tepi jamban, atau mana sahaja selagi boleh lelapkan mata, mereka itu sudah mangli dengan nyamuk, tiruk pun tak mampu nak bagi penyakit kepada mereka walaupun mereka makan roti canai banjir minum air kosong sahaja.
Bila disebut gelandangan, ia hanya dijadikan bahan menyendal ruang akhbar dan majalah sahaja. Hanya untuk dipaparkan dan dimegahkan. Wartawan yang melaporkan terasa hebat kerana menjenguk orang susah di bawah jambatan.
Setelah dipaparkan baharulah ada tokoh koporat dan orang itu ini tampil membuat kenyataan mahu membantu. Maknanya, orang kita lebih suka publisiti. Nak bagi sumbangan apa pun kena diwar-warkan kepada umum. Takut nanti orang kata, dari gelandangan sudah mampu sewa rumah? Ini mesti ada apa-apa!
Orang kita suka hirau tepi kain orang. Kalau nak jaga tepi kain orang ini dikatakan baik pada zaman muta'akhirin ini. Bukan apa, takut fitnah.
Ingatkah kisah Uwais al-Qarni yang disebut Nabi sallallahu alaihi wasallam sebagai orang miskin dan juga gelandangan [ikut takrif masa dulu], tak ada kerja, jadi kuli jaga kambing, jaga harta kafilah [guard], tetapi namanya harum di langit.
Ketika Perang Uhud, kebetulan dia datang ke rumah Nabi untuk bertemu Nabi. Sayang sekali yang ada di rumah hanya Aisyah r.a. sahaja, maka dia hanya dapat kirim salam kepada Nabi. Dia kena balik ke Yaman yang jaraknya 400km berjalan kaki dan tumpang rombongan dagang yang ulang-alik.
Uwais ditawarkan sumbangan oleh pihak kerajaan ketika itu tetapi dia menolak. Nak diberi pakaian cantik pun dia tidak mahu. Sebab apabila orang besar sudah turun padang memberi bantuan itu semua, maka nama Uwais akan popular di kalangan orang ramai. Sedangkan Uwais namanya disebut-sebut di langit.
Berbalik kepada orang gelandangan tadi, sudah menjadi kebiasaan di negara kita, apa isu pun tidak diambil pedulikan kalau setakat paparan dalam blog. Kalau bukan isu sensitif atau isu provokatif, isu hasutan, maka orang tak ambil peduli.
Orang gelandangan di celah kota sudah lama wujud. Masyarakat kota langsung tidak prihatin terhadap mereka. Sesiapa yang ingin merasakan hidup bergelandangan, cubalah tidur di kaki lima kedai kalau berani. Beralaskan kotak. Tetapi anda yang menyamar begini kenyang. Lega. besok pagi boleh pergi hotel atau balik ke rumah. Jika ditakdirkan anda jadi gelandangan bagaimana?
Itu sebabnya kita tak perlu memperlekeh, persenda mereka dengan macam-macam tuduhan. Pemalas, kaki dadah, kaki copet, peragut, kutu rayau dan macam-macam.
Walaupun nampaknya sudah ada orang prihatin terhadap gelandangan misalnya ada makanan percuma yang disediakan pihak tertentu [JAM'IYAH] masih ada gelandangan baru yang tercicir dari perhatian.
Dunia penggelandang ini tidak akan habis begitu sahaja. Orang lama sudah beredar dari tebing sungai, akan ada orang baru ambil tempat. Ia macam pusingan syaitan. Silih berganti mereka berdatangan. Jangan hairan sekarang saya lihat, yang gelandangan itu termasuk bekas pensyarah universiti pun ada [dari Jabatan Pengajian Melayu, karya tulisnya pun ada saya simpan sampai sekarang]. Meski gelandangan, saya tetap mendapatkan komen dan ulasan daripada tokoh ini meski dia gelandangan.
Biasanya setelah dipaparkan dalam media, esoknya ada susulan orang nak bantu. Selagi tak ada paparan mereka, seorang pun tak nak turun ke tebing sungai. Mereka asyik turun padang bola. Turunlah ke bawah jambatan, turunlah ke dalam longkang yang busuk dan hanyir itu. Cuba rasai tidur sekejap di situ biarpun pakai tali leher lebar! [Aha?].
Paparan dalam media ini menunjukkan bahawa pihak tertentu masih gagal melaksanakan tugas mereka. Apa yang disebut sebagai rakyat didahulukan hanya slogan di kacar tv, slogan di dinding bas, slogan dalam LRT/,monorail dan slogan kempen pilihan raya! []

No comments:

Post a Comment