Saturday 15 June 2013

JIN BAITUL MAQDIS BERKAWAN DENGAN MANUSIA

Jika ada seseorang beramal untuk memanggil nama-nama jin tertentu, ia sama ada boleh dipercaya atau tidak sahaja. Pertama, jika diminta menceritakan awal mula ilmu yang dipelajari ini, terlalu banyak perkara yang semacam dilindungkan. Orang tidak akan cerita dengan berterus terang tentang ilmu ini. Mungkin guru yang memberikan ilmu itu pun masih berselindung di sebalik kerahsiaan, atau mengingatkan orang itu, "Kalau boleh jangan diceritakan kepada orang lain yang tidak sealiran."
Begitulah sebuah dongeng tentang lelaki yang konon boleh berkawan dengan jin yang bernama Baitul Maqdis. Adakah ia berasal dari sana, atau hanya panggilan sahaja kerana nama besar ini memberi kesan besar kepada penikmat ilmu.
Biasanya, kalau dalam cerita, ia diawali dengan sebuah bilik kosong. Lagipun amalan nak panggil jin ini kalau boleh jangan sampai kawan-kawan pun tahu. Ini rahsia peribadi. Maka dalam bilik kosong itulah, si fulan akan membaca surat al-Jin. Dia membaca ayat itu berulang-ulang. Dan, dalam kes kemistikan begini, si fulan tak akan lupa membakar kemenyan agar aroma bilik itu menaikkan semangatnya.
Si fulan akan membaca ayat itu berulang-ulang di dalam bilik yang dipenuhi asap kemenyan. Apa yang ada?
Adakah jin Baitul Maqdis akan segera datang menemui si fulan?
Ketika menunggu itu, si fulan dikunjungi serangga kecil - kumbang. Kumbang itu terbang seolah-olah sedang mengelilingi si fulan yang sedang khusyuk bersila. Bagi yang mengamalkan ilmu, dia mengingatkan supaya jangan ditepis kumbang itu kerana ia adalah tanda-tanda kecil sebelum kehadiran jin yang diundang.
Mengikut cerita mistik, makhluk yang diundang itu akan datang. Tetapi logiknya, kalau si fulan yang memanggilnya berada di dalam bilik, jin yang akan masuk bilik juga perlu padan dengan saiz bilik. Kalau terlalu besar dan tinggi, bumbung rumah pun boleh ditolaknya, kepala jin terjongol atas bumbung rumah.
Jadi, bagi melogikkan cerita, si fulan tadi bolehlah meminta kepada jin agar tampil dalam bentuk yang lain, yang sesuai dengan ukuran bilik tempat si fulan menunggu.
Kemudian makhluk itu pun berubah menjadi makhuk yang berukuran wajar, sesuai dengan si fulan yang memanggilnya. Jika jin berwajah garang, kasar dan ganas, tidak ada manusia sanggup berkawan. Dengan berubahnya jin kepada bentuk manusia biasa, seperti orang baru dikenali, maka mudahlah dia berkomunikasi dengan manusia, si fulan pun mudah hendak berbual-bual dengannya. Perubahan bentuk yang tidak menggerunkan ini terjadi kalau si fulan lulus ujian, iaitu ujian keberanian melihat jin yang besar dan tinggi.
Di dalam bab ilmu hikmah, ada pula golongan yang mendakwa bahawa mereka mendapat seberkas ilmu daripada jin yang dipanggil tadi.
Umpamanya, jin Baitul Maqdis ini. Dia datang menyerupai manusia biasa. Boleh diajak berbincang tentang ilmu ghaib. Si fulan akan mendapat ilmu langsung dari jin ini. Ilmu itu langsung diterima dan kemudian diamalkan. Akan tetapi kalau dia tidak mencatatkan ilmu yang diberi, apakah dia boleh hafal penjelasan yang panjang berjela?
Kalau ada si fulan bercerita bahawa semalam dia jumpa jin dan jin itu berikan dia ilmu sekian-sekian, mampukah si fulan huraikan ilmu itu satu persatu? Sudah pasti akan dimasukkan pendapat peribadinya.
Inilah yang dikatakan guru ghaib. Jika ada orang berkata dia belajar ilmu dari guru ghaib, maka kemungkinan besar, adalah dari jenis jin seperti ini. Hendak berterus terang, takut orang akan lari. Maka dikatakannya dia berguru kepada seorang lelaki yang alim dan dipercayai [meskipun dari kalangan jin].
Biasanya, yang belajar ilmu daripada makhluk seperti ini dia juga menyukai dunia pengubatan atau perdukunan. Jin yang dipanggil itu mungkin hanya makhluk suruhan yang boleh dipanggil pada masa tertentu. Si fulan yang mendakwa boleh memanggil jin akan menghabiskan masa di dalam bilik semata-mata hendak bertemu dengan sahabatnya dari jenis jin.
Ilmu yang dia peroleh dari makhluk tadi, bukanlah ilmu hikmah yang sebenar. Jin itu boleh diberi gelaran atau panggilan apa sahaja. Nama tidak penting. Ahli ilmu hikmah nasihatkan kepada mereka yang cuba menghadiri majlis ilmu dengan cara bakar kemenyan begini berhati-hati. Bahkan ada ilmu yang dia peroleh itu hanya khusus untuk diri si fulan sahaja, tidak boleh diajarkan kepada orang lain.
Tidak hairan, ada kisah orang yang mendapat ilmu semacam ini menghadapi kesukaran ketika sakaratul maut --ada yang mengatakan dia anti bacaan ayat-ayat al-Qur'an. Dua kemungkinan: kerana dia memang terlibat perdukunan dan berguru kepada jin yang tidak ketahuan latar belakangnya. Wallahu a'lam. []


No comments:

Post a Comment