Saturday 22 June 2013

KISAH HUSAIN KARBALA MENYEDIHKAN

Riwayat yang dipaparkan di dalam kitab milik Syi'ah memang kalau boleh ditulis dengan begitu rupa agar orang yang membacanya tergiur dan membuahkan simpatik.
Begitu juga dalam cerita yang tidak logik, angkatan Husain yang hendak menuju ke Kufah setelah ditipu oleh pasukan seterunya.
Husain pada awalnya menyangka undangan ke Kufah adalah untuk diraikan sebagai ahlul bait, mereka akan berbaiah kepadanya. Akan tetapi dalam perjalanan menuju ke Kufah, temberang musuh sudah diketahui.
Wakil musuh yang bernama Hur telah menjalankan tugasnya dengan licik memperdaya Husain dan rombongannya.
Rombongan Husain yang pada mulanya besar hingga beratus-ratus orang, apabila mendapat laporan bahawa Husain telah ditipu, maka mereka diberi pilihan hendak teruskan ikut Husain ke Kufah atau balik kampung.
Ramai yang balik kampung, sementara Husain dan rombongan, termasuk anak dan isteri, kerabat, semuanya terpaksa berkhemah bagi melayani kerenah bohong musuhnya Sang Gabenor yang berkuasa.
Dilihat sekali imbas, cerita kematian orang-orang Husain satu persatu bagaikan menempah maut. Tidak ada ikhtiar untuk mengelak daripada menghadapi maut yang sengaja ditempah.
Bolehkah seorang pahlawan terkemuka berhadapan dengan musuh yang puluhan atau ratusan orang? Betapa hebat, betapa kebal sekalipun, kalau pasukan musuh lebih ramai, maka yang seorang akan kecundang juga.
Husain sengaja menempah maut apabila mendatangi pasukan samseng yang jauh lebih besar. Kumpulan itu juga melaungkan Allahu Akbar!
Maka, cerita Husain di Karbala entah kenapa dipaparkan begitu rupa. Ia bukanlah perang namanya. Ia hanya cerita buli, orang-orang Husain tidak cukup bersandarkan status ahlul bait. Seorang demi orang menjadi umpanan pedang, panah dan tombak musuh.
Lebih mengharukan, Husain turut membawa kaum wanita dan kanak-kanak dalam usahanya untuk pergi Kufah. Padahal ia boleh dihindari, tidak perlu membawa kaum wanita dan kanak-kanak sekalipun mereka pada akhirnya akan jadi bahan tawanan perang.
Siapa sahaja yang kena buli pasukan Yazid itu? Mereka termasuklah, Abu Fadhl Abbas, Zubir al-Qain, Jaun bekas hamba Abu Dzar, Abdullah Muslim bin Aqil, Ali Akbar bin Husain, Muhammad Abdullah Jaafar, Aun Abdullah, Abrurrahman Aqil, Aun Abdullah, Jaafar Aqil, juga Qassim bin Husain bin Ali. Setelah seorang demi seorang menjadi mangsa buli samseng yang diarahkan oleh Sang Gabenor, maka pada giliran Husain memang sudah tidak berdaya. Seorang sahaja yang tidak dibuli kerana ia sedang terlantar sakit, Ali Zainal Abidin as-Sajjad.
Semua pahlawan yang dihantar ke medan laga, berdepan para pembuli yang samseng, semuanya luka teruk, dipenggal kepalanya dan dijadikan bahan mainan musuh.
Husain tidak terkecuali. Dalam keadaan terdesak, bukan tidak ada kaum wanita yang meminta agar mereka dihantar pulang ke Makkah bagi mengelakkan kesengsaraan. Namun tidak. Husain tidak ada pilihan lain. Malah pada saat akhir beliau masih mahu melakukan sensasi di depan medan laga.
Husain telah membawa seorang bayi yang tak tahu apa, ditunjukkan kepada musuhnya, bahawa kumpulan Husain yang terdiri dari kaum wanita dan kanak-kanak semuanya sedang menghadapi masalah kekurangan air. Mereka ingin minum air sungai tetapi pasukan musuh di Kufah langsung tidak peduli.
Bawalah bayi yang masih merah atau apa, pasukan Kufah tidak berganjak. Yang menyedihkan bayi yang sedang dipangku oleh Husain juga dipanah oleh musuh. Mati percuma bayi bernama Ali Ashgar kerana perlakuan seorang dewasa yang tidak melindungi. Mendedahkan bayi di medan laga.
Mungkin ini cara penutur cerita hendak menarik simpati kepada Husain bin Ali.
Setelah Husain dibunuh oleh samseng pembuli, dengan permainan bodoh yang tidak seimbang, satu [pihak Husain] dan berpuluh-puluh pasukan bersenjata panah, tombak dan pedang [pihak Kufah].
Setelah dibunuh, Husain dihina begitu rupa tanpa peduli ia satu-satunya ahlul bait, kepalanya dipenggal dan ditancapkan di mata tombak. Mereka bersuka ria dapat mengalahkan pasukan Husain.
Setelah kematiannya, isteri Husain yang wataknya tersorok akhirnya muncul. Dia yang bernama Sahra Banu [mengingat nama seniwati Hindustan era dulu] adalah anak Raja Parsi yang pernah jadi tawanan perang setelah Parsi kalah kepada tentera Islam. Nama asalnya Jahan Syah.
Sahra Banu dengan beraninya menunggang kuda bernama Dzul Janah. Kuda ini berlari kencang melarikan janda Husain untuk pulang ke Iran. Dia keluarga diraja yang telah melarikan diri ke luar negeri setelah Parsi [Iran] takluk kepada Islam.
Sahra Banu balik ke Iran, dia meninggalkan anaknya  terlonta-lonta. Lagipun, dia kata Husain pernah berpesan, sebagai orang Ajam di tengah orang-orang Arab, dalam keluarga ahlul bait itu, Sahra Banu rasa tersisih setelah kematian Husain.
Tentang kuda Dzul Janah juga menarik kerana ia seolah-olah kuda sembrani yang luar biasa. Kuda ini pernah ditunggangi oleh Husain ketika bertempur di medan laga. Seorang lawan berpuluh orang. Mana mungkin dia akan menang sekalipun pedangnya mengkilap.
Inilah kisah ahlul bait yang mengharukan. Kenapa diceritakan sebegitu rupa? Adakah untuk menarik simpati oleh kalangan kelompok Syi'ah? Ia perlu difahami dari keseluruhan cerita. Medan laga yang dituju oleh Husain bukanlah medan perang. Ia hanya medan untuk menguji kekuatan. Siapa hebat dia menang. Seorang lawan berpuluh, adalah gambaran yang tidak munasabah. Itulah cerita tentang kematian Husain di Karbala.
[Mirza Taqiy, Nasikh at-Tawarikh, Juz 1; Syeikh Mufid, Al-Irsyad; Sardar Karbala; Al-Kharaij ar-Rawandi; Kitab Malahim, dinukil dari Ibnu Shar Asyub, bab Imamah, Setara-e Dirakhsyan, Jil.1]. []

No comments:

Post a Comment