Friday 7 December 2012

BUAT BAIKLAH DENGAN PUNTIANAK

ORANG lagi takut dengan puntianak, ini nak suruh buat baik dengan mereka.
Nak buat baik macam mana?
Bukankah puntianak itu hantu menyerupai perempuan, boleh mengilai di atas pokok pada waktu malam ketika bulan mengambang?
Itu adalah gambaran di dalam kisah misteri, filem seram dan drama seram yang berkaitan dengan puntianak atau kuntilanak.
Selain makhluk yang menakutkan, puntianak juga dicari oleh orang yang mengidam harta karun. Jangan fikir puntianak hanya pandai mengilai sahaja.
Khabarnya ketika bebudak kita buat shooting filem hingga menjelang pagi di Pahang sana, ada yang meremang bulu roma apabila pelakon yang melakonkan watak puntianak benar-benar mendengar suara hilaian puntianak original di atas pokok sana.
Wah! Skrip entah ke mana, ketawa mengilai entah ke mana dia pun, hi-hi-hi-hi terus masuk dalam van kerana hendak bertenang.
Jangan main-main melakonkan watak puntianak.
Kena jumpa puntianak dulu, tanya dia bagaimana hendak menghayati watak puntianak.
Temuramah puntianak itu dulu, apa makanan kegemaran, apa hobi di masa lapang, suka keluar pada pukul berapa ketika bulan mengambang, kalau bulan sabit keluar atau tidak?
Kemudian tanya bagaimana hendak mengilai supaya power dan menyeramkan.
Pendeknya, satu temuramah khas perlu diadakan untuk mengetahui kehidupan puntianak.
Kalangan pemburu hantu di tempat kita tentu ingin menemui puntianak untuk dibualbicara. Kalau dapat tentu menarik dan menggegarkan para petugas media di mana-mana.
Tadi kata puntianak ini ada gunanya. Apa gunanya selain mereka menakutkan orang?
Kata yang empunya cerita, jika kita berkawan dengan puntianak kita akan mendapat barang-barang atau benda mistik milik puntianak.
Apa milik puntianak yang mistik? Kata orang, kalau boleh ambil pakaiannya atau selendangnya pun cukuplah.

MISTIK PUNTIANAK
Mengarut! Bukankah puntianak itu menakutkan, nak jumpa bagaimana?
Sebenarnya kata yang pemberani itu, puntianak ada berbagai rupa. Ada yang cengil dan ada yang peramah meskipun menakutkan.
Wajah mereka memang menakutkan, tetapi puntianak suka berkawan dengan lelaki.
Kalau lelaki itu bangsawan, hebat, elitis, pakai lamborghini atau ferari, lagilah puntianak itu suka. Dia ajak orang kaya itu bersiar-siar ke hujung dunia sambil memadu kasih di bulan yang terang benderang.
Disebabkan pakaian puntianak itu ada harga, maka berbagai usaha dari kalangan lelaki yang pemberani untuk melakukan pemburuan di malam hari ketika bulan mengambang.
Mereka ingin memburu puntianak. Tak perlu bawa parang, pisau, pistol atau apa. Datanglah dengan semangat berani dengan niat ingin bertemu puntianak.
Bacalah mantera, bawa epal Jin dan madat Turki [nama wangian macam attar].
Konon, ada sebuah ilmu hikmah mistik yang dipanggil AL-JINATU FI KUNDU SUMAI.
Carilah dalam mana-mana indeks kemistikan, tentu anda tak akan jumpa.
Bagaimana ilmu ini boleh timbul pun orang tak tahu. Tetapi dalam kajian kemistikan dalam dunia kepuntianakan, konon ia ada. Terminologinya dan etimologinya belum dicatatkan lagi buat masa ini.
Jadi, yang empunya cerita berkata, dengan amalan ilmu ini iaitu salah satu cabang ilmu ghaib [rendahan] ia adalah ilmu khusus untuk menakluk makhluk puntianak. Khabarnya ramai juga orang mengetahui ilmu yang satu ini, hanya mereka merahsiakan hobi yang mengarut ini. Betapa tidak, ketika orang lain tidur lena atau mengerjakan ibadat malam, golongan berilmu ini sanggup masuk ke kawasan ladang sawit atau kawasan hutan simpan di pinggiran semata-mata untuk bertemu kekasih hati dari keturunan puntianak.

PUTERI JELITA
Khabarnya, ada kawasan hutan di sebuah pulau yang menjadi tempat tinggal puntianak. Agaknya, semua puntianak di kawasan Nusantara ini berhimpun di situ atau datang dari situ. Peliknya, ada ketua puntianak di situ, dan ada namanya pula yang orang boleh sebut iaitu Si Cindonen.
Cindonen ini puteri jelita. Sukar nak menceritakan bagaimana kejelitaannya kerana belum pernah jumpa pun, kecuali khabar dari yang empunya cerita karut ini.
Jadi, pada malam ketika bulan mengambang, puteri ini akan turun ke kawasan hutan. Bagi kita ia hutan, tetapi puntianak itu kata, itulah taman permainan mereka. Sesiapa yang ada ilmu seperti tadi itu, mereka boleh nampak puntianak terbang dan turun ke bumi. Dia boleh datang dan berbual-bual dengan orang itu.
Ajaklah berbual apa sahaja, hanya jangan pegang-pegang, boleh pandang-pandang, nanti dia melayang ke udara.
Orang yang kaki ilmu puntianak mereka ada perkiraan hari, misalnya pada hari Selasa pon, Jumaat kliwon, itulah masa yang cantik. Walau cerita ini khurafat, kata orang, puntianak ini adalah jin kafir.
Di sebuah pulau, ada orang pintar yang mengamalkan ilmu mandraguna, boleh berkomunikasi dengan puntianak.
Dia juga memiliki pakaian puntianak. Walaupun puntianak dari jenis hantu, akan tetapi anehnya, manusia boleh menyimpan apa sahaja pemberian dari puntianak. Dalam kes ini orang itu telah mendapat sehelai kain puntianak. Nak kata selendang pun bukan. Ia hanya sehelai kain. Puntianak mana ada pakai tudung sebab mereka semua adalah golongan kafir.
Hanya yang tak sedapnya, sesiapa memiliki kain yang pernah dipegang oleh puntianak maka orang itu akan kaya raya di dunia. Jadi, kain puntianak ini tergolong sarana mistik untuk mencari kehebatan duniawi. Hebat dengan kekayaan tetapi batinnya menderita!
Maklum, setelah memegang kain puntianak, orang itu boleh melakukan apa sahaja bentuk kejahatan asalkan mendapat wang banyak. Jadi, dia kena melakukan kerja jahat untuk memperoleh harta yang banyak.
Kain puntianak memang menjadi buruan orang yang kemaruk benda mistik.

MAHALNYA!
Sehelai kain, tak kira apa warna pun, asalkan ia memang milik puntianak, ia sanggup dibeli sekalipun harganya RM180,000! Tawar tak bolehkah? Boleh, asalkan ada wang tunai diserahkan, bukan duit palsu, maka kain puntianak itu bertukar tangan. Gunakanlah untuk kejahatan selagi anda mahu.
Wah! Ini ilmu galakkan kerja jahat.
Inilah namanya ilmu syaitan. Ia bukan menjurus kebaikan tetapi sesiapa yang ada kain yang pernah dimiliki puntianak, orang itu boleh jadi samseng besar di mana-mana.Betapa tidak, dengan berkat kain puntianak itu dia boleh menghilang, orang nak tangkap tak boleh, masuk ke rumah pun tak nampak, keluar ikut tingkap pun orang tak nampak, apa benda yang dipegangnya tidak kelihatan, kalau dia masuk rumah dan selongkar duit serta barang kemas, dia masukkan dalam karung, sesiapa pun tak nampak lagi. Semua ini berkat kain puntianak.
Lantaran itulah, harga kain yang paling mahal adalah kain puntianak. Jangan harap nak cari di Jalan Masjid India, tak jual. Pavillion Bintang Walk pun tak ada. Kalau nak, kena pergi ke negeri puntianak. Jumpa bos puntianak, cakap baik-baik nak mintak baju atau kain puntianak. Itupun kalau mood puntianak itu baik, kalau tidak, orang itu sendiri yang terkencing-kencing ketakutan.
Untuk dapatkan kain puntianak, seseorang itu perlu berani. Dan ketika berdepan dengan makhluk itu jangan sesekali menyebut kalimat apa pun, apalagi nak berdoa, membaca al-Fatihah, Qursi, atau menyebut kalimat yang paling biasa pun. Maknanya apa? Seseorang itu menjadi seorang yang kosong diri, bagai orang yang tidak pernah tahu atau tidak pernah menyebut apa kalimat pun. Maksudnya tak boleh sebut apa sahaja kalimat yang menyebabkan puntianak itu kepanasan!
Dengan sebab inilah, hanya orang yang tak tahu diri sahaja sanggup jumpa puntianak untuk dapatkan kain puntianak. Nak dapatkan kain bukan senang. Tak kan nak rentap atau koyakkan pakaian mereka. Puntianak dalam versi yang dimaksudkan dalam kisah ini, kata yang empunya cerita bukanlah puntianak macam dalam filem seram tu. Jauh sekali. Puntianak ini macam pari-pari, perempuan cantik, boleh buat kawan. Kalau pandai pujuk boleh dapat kain istimewa dari dunia puntianak. Dan bukan calang-calang orang nak berdepan dengan wanita jelita yang boleh terbang dan mengapung ini. Silap haribulan orang itu langsung tak balik rumah.
Khabarnya, ada kira-kira 180 orang yang memiliki kain puntianak di wilayah Nusantara ini.
Bagaimana boleh senang-senang dapat kain itu? Menurut mereka, puntianak ada ketuanya. Di kalangan mereka ada puntianak yang disisihkan. Puntianak ini akan dikorban untuk diserahkan kepada manusia.
Akan tetapi semuanya kena rujuk kepada ketua puntianak.

KAHWIN PUNTIANAK
Peliknya, menurut mereka lagi, mana-mana puntianak yang sudah diserahkan kepada manusia dan kain mereka telah diambil, maka makhluk itu tidak mempunyai kehebatan lagi dalam dunia puntianak. Makhluk ini terusir dan terbiar. Dia akan merayau-rayau dalam hutan dan boleh dilihat manusia pada waktu siang pun.
Kekadang hairan juga, ada orang boleh bagi tahu bahawa ketika puntianak terbang dan berkejaran, makhluk ini boleh bergerak dengan kelajuan 1500km/jam.
Lebih melucukan, konon apabila kain itu sudah diserahkan kepada manusia bagi tujuan kejahatan, orang yang mempunyai kain puntianak kena "berkahwin" dengan puntianak yang sudah terbuang dari dunia kepuntianakan.
Wah, karut benar cerita ini.
Apa pun, orang yang nak buat jahat kena terima jugalah tawaran itu sebab kain sudah dimiliki, dengan puntianak itu juga dijadikan "isteri" - bagaimana kehidupan setelah kahwin tidak diketahui. Puntianak yang dikahwini manusia ini biasanya berwajah buruk, hilang nilai keparian mereka. Dapat "isteri" begitu memang sesuai kerana "suaminya" pun akan jadi bandit yang serakah untuk mencari kekayaan dengan cara yang salah. Tidak diketahui, setakat mana kekayaan itu boleh ditimbun dengan menggunakan kain puntianak ini. Ada yang menyebut selendang puntianak. Tentunya, puntianak tidak perlu selendang. Makhluk ini berpakaian seadanya sahaja kerana ia boleh "terbang" dan bergerak pantas dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dan pada zaman dulu bukan tidak ada, orang perempuan memelihara atau membela puntianak sebagai "saka". Jadikan cerita karut ini sebagai bandingan bukan dipercayai. Cerita tetap cerita. Faktanya dicurigai. Wallahu al'lam. []

1 comment:

  1. Salam. Artikel tn sangat baik. Mohon untuk share content tuan yang lama. Tq.

    ReplyDelete