Monday 5 August 2013

BANG, BOLEH SAYA PINJAM ISTERI?

Kalau kita baca akhbar tempatan [Harian Metro] bermacam cerita tentang keruntuhan rumah tangga hanya gara-gara cemburu, pergaduhan yang entah apa sebabnya, bergocoh kerana ada orang ketiga, dan macam-macam cerita lagi.
Ada yang masuk akal dan ada yang tak masuk akal pula.
Di dalam tradisi Syi'ah berkaitan dengan nikah mut'ah ada suatu perkara menarik untuk diulas dalam paparan kali ini.
Mungkin perkara menarik inilah yang menjadi faktor menjadi daya tarik kalangan mereka yang meremehkan agama begitu mudah memilih jalan yang bengkok dengan menuru lorong keSyi'ahan. Alasannya, di sana boleh nikah mut'ah.
Bayangkan di sebuah negara yang mengikut ahlussunnah tetiba di tengahnya ada yang mencelah dengan ajaran asing, ajaran yang diimport dari luar negeri atas faktor megah, menunjuk-nunjuk berani mengikuti suatu sekte baru, dan mereka nak praktikkan nikah mut'ah.

PINJAM ISTERI

Salah satu segmen dalam nikah mut'ah yang tak dapat kita bayangkan ialah bolehnya anda atau sesiapa sahaja memberi pinjaman isteri kepada lelaki lain untuk dimut'ahi semalaman dua.
Amalan ini seperti orang bermalam di hotel kemudian didatangi "muncikari" menawarkan khidmat wanita cantik untuk menemani seseorang untuk semalaman.
Di hotel, mereka yang jadi perantara nak cari duit, tauke dapat persen, pencari pun dapat, perempuan penghibur pun dapat. Yang berhabis duit adalah pelanggan hotel.
Nah, sekiranya anda kebetulan bermalam di rumah seorang sahabat baik, dan kebetulan anda terpaksa keluar untuk tugas di suatu tempat, maka anda boleh berpesan kepada kawan tadi tolongkan tengokkan isteri dan anak-anak gadis di rumah. Pesan untuk mut'ah lagi bagus kerana ia mengelakkan rasa curiga yang bukan kepalang.
Dalam kes mut'ah begini, seorang suami yang nak keluar tinggalkan rumah, dia tak perlu curiga. Dia sudah beri izin kepada isteri untuk bermut'ah dengan tetamunya. Kalau tidak dengan isteri tuan rumah, dia boleh bermut'ah dengan anak gadis [dah tentu bukan gadis lagi kalau bapanya amalkan cara ini].

KRITIKAN TERHADAP ULAMA SYI'AH

Anda boleh bayangkan, sebenarnya di dalam dunia Syi'ah pun sudah ada kritik.
Mereka mengkritik perangai para ulama mereka yang menyuruh orang lain nikah mut'ah kerana ganjaran pahalanya yang menggebu-gebu.
Maka dia suruh orang bawahan mengikut fatwa yang dituturkan, suruh orang nikah mut'ah, sebaliknya kalau ada sesiapa yang statusnya rendah nak tawarkan diri untuk mut'ah dengan anak gadisnya atau isterinya, maka dia sudah tentu tak akan benarkan.
"Cari orang lain ya!" itulah agaknya yang diperintahkan. Ini yang berlaku.
Yang orang komen, jika ulama besar itu hendak bermut'ah dengan isteri orang atau anak "dara" orang boleh saja, tetapi kalau ada sesiapa tawarkan diri nak bermut'ah dengan anak ulama tadi, nescara tidak dibenarkan. Maknanya, mereka yang berilmu tinggi dalam keSyiahan pun macam tak percaya dengan ganjaran pahala yang berganda itu?
Ketika nikah secara ini diharamkan ketika Perang Khaibar dulu, dan apakah ada nikah tanpa saksi yang dikenal di zaman Nabi sallallahu alaihi wasallam pada masa itu? Imam al-Khu'i yang mengulas mengenai perkataan Abu Abdullah [nama ini sering disebut dalam hadis Syi'ah] berkata, bahawa perkataan Amirul Mukminin tentang pengharaman nikah mut'ah pada hari Khaibar adalah berlaku pada hari itu sahaja, dan tidak berlaku untuk hari sesudahnya.
Kemudian dia kata, perkataan Abi Abdullah tentang isu nikah mut'ah itu adalah suatu taqiyyah. Hal ini kata Imam al-Khu'i menjadi sepakat para ulama mereka [Syi'ah].
Hakikatnya, pendapat para ulama mereka telah disanggah oleh ulama mereka sendiri setelah membuat kajian mendalam dan perbandingan riwayat. Pengharaman nikah mut'ah pada hari Khaibar adalah serentak dengan pengharaman daging keldai yang diberlakukan sejak Khaibar hingga sekarang dan tetap berlaku sampai kiamat.
Kaum mereka mengatakan diharamkan mut'ah pada hari Khaibar sahaja. Selepas dari itu, ia jadi halal semula. Itulah yang jadi pegangan sampai sekarang walaupun ada dalil lain lagi yang mereka kemukakan.

BILANGAN ISTERI TAK ADA HAD?

Kalau ikut ajaran mereka, nikah mut'ah dibolehkan oleh para ulama mereka, kaum lelaki diberi hak untuk menikahi [mut'ah] dengan sejumlah perempuan tanpa ada batasan had, walau dengan berapa ramai pun!
Dalam praktiknya, berapa ramai yang menghimpunkan antara anak dan ibunya, antara seorang wanita dengan saudaranya, dengan bibinya dari bapa dan bibi dari ibunya, sementara lelaki itu tidak menyedarinya.
Maksudnya boleh bermut'ah dengan anak dan ibunya kalau tidak tahu latar belakang mereka.
Jadi, tak ada isu ibu hendak marahkan anak gadisnya kalau termut'ah dengan kaedah itu.

KES HARU-BIRU, BEKAS SUAMI NIKAH ANAK SENDIRI

Ada kes menarik di mana Sayid Husain Sadr pernah nikah mut'ah 20 tahun lampau. Perempuan yang sudah dinikahi itu ditinggalkan begitu sahaja setelah dia puas. Mereka bercerai. "Janda"nya telah hamil.
Setelah itu dia tidak bermut'ah dengan mana-mana lelaki. Setelah anaknya besar menjadi remaja yang cantik, dia sudah siap untuk nikah mut'ah pula.
Sayangnya, tanpa disedari ibunya, anak remajanya pun sudah hamil, bermakna dia sudah menjalani mut'ah secara diam-diam tanpa pengetahuan ibunya.
Maka ibunya pun bertanya, dengan siapa anak gadisnya itu bermut'ah?
Maka dijawab oleh si anak: "Dengan Sayid husain Sadr!"
Kalau dalam drama dan filem Melayu kita, ia menjadi jawapan yang serba panik.
Menjadi faktor kepada pengembangan cerita drama dan filem.
Tetapi dalam dunia Syi'ah, ia mendapat tindak balas biasa sahaja.
Si ibu hamil dan mendapat seorang anak perempuan yang kini sudah besar dah nikah pula dengan lelaki yang sama. Bermakna "suami" mereka berdua sama. Emak dan anak berkongsi suami gara-gara mut'ah. Khabarnya, kisah mengarut begini kerap terjadi, cuma ia hanya perkara kecil sahaja.
Bagaimana kalau terjadi di Malaysia?
Gempar sepenjuru alam. Haruan makan anak dan macam-macam lagi tuduhan.

Pertembungan begini tetap berlaku dan pasti berlaku kerana nikah mut'ah tidak memerlukan surat pengesahan. Jika direnungkan, ia seperti orang enjoy di Selatan Thailand [diharap pada cuti raya kali ini jangan jadikan ambisi kepada golongan yang sudah menganggap ia kebiasaan].

PERSIS PELACURAN

Seperti orang enjoy di Siam, begitulah juga dengan mut'ah tadi.
Kalau di negara Syi'ah mereka tidak kecoh kalau ada lelaki mengahwini ibu dan anak gadisnya sekali. Mereka membawa peraturan yang berbeza. Bayangkan praktik ini sudah lama dilakukan oleh mereka tanpa mahu menganalisis keburukannya. Apakah kitab rujukan mereka meganjurkan nikah mut'ah sebegitu?

Ada riwayat dari Abdullah bin Sinan, dia berkata, dia telah bertanya kepada Abi Abdullah tentang mut'ah. Apa jawabnya? Dia kata, "Janganlah kotori dirimu dengannya." [Bihar al-Anwar, 100/318].
Jawapan ini jelas bahawa ia adalah larangan kepada nikah mut'ah.
Dari Ammar, dia berkata, Abu Abdullah memberitahunya dan kepada Sulaiman bin Khalid, "Diharamkan kepada kamu berdua nikah mut'ah." [Furu' al-Kafi, 2/48; juga dalam Wasail asy-Syi'ah, 14/450].
Abu Abdullah juga menegur dua orang tadi berkaitan mut'ah. Katanya:
"Tidakkah salah seorang di antara kamu malu melihat rendahnya darjat orang yang melakukan mut'ah?" [Al-Furu', 2/44; Wasail asy-Syi'ah, 14/450].

Abdullah bin Umair berkata kepada Abu Ja'far:
"Adakah kamu bahagia kalau isteri-isterimu, anak-anak perempuan kamu, saudara perempuan kamu dan anak-anak perempuan pamanmu melakukan hal itu [nikah mut'ah]?" Maka Abu Ja'far berpaling darinya ketika disebut isteri-isterinya dan anak-anak perempuannya pamannya [Al-Furu' 2/42].
Ulama Syi'ah seperti Husain al-Musawi berkata: Sesungguhnya merebaknya praktik mut'ah ini akan menjerumuskan kepada amalan "meminjamkan" kemaluan. Meminjamkan kemaluan ertinya seorang lelaki akan memberikan isteri atau ibunya kepada lelaki lain; sehingga halal baginya untuk berseronok dengannya atau berbuat kepadanya dengan sesuka hatinya.

Jika ada sesiapa hendak merantau dan meninggalkan isteri lama-lama, mengikut praktik mereka, isteri boleh nikah mut'ah dengan lelaki lain.Apa tujuannya? Agar suami yang merantau itu tenang fikirannya. Dia tenang tak perlu fikirkan isterinya akan berzina atau berbuat serong dengan lelaki lain. Dengan nikah mut'ah itu ia sudah dianggap jalan penyelamat. Inilah yang ulama tadi kata sebagai meminjam kemaluan.
Yang peliknya, untuk seseorang itu menghormati tetamu, bukan sahaja menyediakan tempat tidur yang selamat, disediakan juga habuan isteri untuk dinikmati oleh orang lain. Tuan rumah boleh pinjamkan isterinya kepada lelaki lain.
At-Thusi  meriwayatkan dari Muhammad dari Abu Ja'far, dia berkata, saya berkata, "Seorang lelaki menghalalkan bagi saudaranya kemaluan hamba wanitanya?" Dia berkata, "Ya, tidak mengapa baginya apa yang dia halalkan dari dirinya." [al-Istibshar, 3/136].
Ada komentar dari Husain al-Musawi, penghalalan ini seolah-olah ditujukan kepada Syi'ah awam, sedangkan untuk kalangan ulama atasan, mereka eksklusif, tidak membenarkan sesiapa nak meminta anak gadis atau isteri-isteri muda mereka.
Kalaulah, praktik ini dibenarkan di negara kita, maka kecohlah. Adakah seseorang itu akan beralasan bahawa mereka mempraktikkan mut'ah? Maknanya, halal bagi mereka sahaja, sedangkan kepada ahlussunnah telah jelas keharamannya. Kacau bilau inilah yang perlu diperbetulkan.

Ada teks yang semacam menggalakkan dan ada yang menegur amalan mut'ah ini. Apabila dipertikaikan, maka akan timbul dakwaan bahawa riwayat itu daif.

Dari as-Sadiq ia berkata, "Sesungguhnya mut'ah itu adalah agamaku dan agama nenek moyangku. Maka barangsiapa yang mengamalkannya, sungguh ia telah mengamalkan agama kami, dan barang siapa yang ingkar maka telah mengingkari agama kami dan telah memeluk selain agama kami." [dalam Man La Yahduruhul Faqih, Vol. III, hal.336; juga dalam Tafsir Manhaj al-Sadiqin, Vo. II, hal. 495]

BESAR GANJARANNYA

Bagi Syi'ah, nikah mut'ah bukan sahaja halal mutlak, malah ia mengandung keutamaan yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja untuk menjadi Syi'ah sejati. Nikah secara ini diberi ganjaran pahala.
Lihatlah:
1. Pahalanya setaraf dengan 70 kali haji dan umrah.
2. Bebas dari neraka.
3. Diampuni dosanya lebih-lebih lagi pasangan wanitanya.
4. Sebagai pengganti diharamkan khamar.
5. Meningkat ketaqwaan seseorang.

LAKNAT KALAU MENOLAKNYA

Bagaimana kalau tak mahu melakukan nikah mut'ah?
Mereka diancam dengan bebepara perkara:
1. Mendapat laknat dari Allah dan 70 Malaikat.
2. Dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan cacat tak ada anggota.

SYARAT MUDAH

Syarat mut'ah pula bagaimana?
1. Ia bebas masa dan mahar. "Tidaklah disebut mut'ah kecuali adanya dua perkara, had masa tertentu dan upah tertentu" [al-Kafi, Vol.V, hal. 273].
2. Tidak ada had bilangan wanita yang nak dimut'ahi. Abu Abdillah berkata: "Nikahilah hingga seribu wanita kerana mereka itu adalah wanita bayaran." [Ibid. hal.272]
3. Masa paling singkat untuk mut'ah ---kitab mereka kata, nikahkah satu atau dua jam, tapi tak tahu bila habisnya, boleh nikah untuk sekali atau dua kali hubungan seks, sehari atau dua hari, atau semalaman atau batasan masa yang jelas sepertinya. [ibid. hal.277]
Dengan sekali persetubuhan [?] pun sudah dikira mut'ah juga.
Setelah diamati baik-baik, banyak buruk dari baik atau ganjaran pahala yang mereka katakan di dalam kitab mereka sahaja.

Meskipun fatwa telah mengharamkan Syi'ah di negara kita, anehnya, gerakan Syi'ah tidak dapat dipadamkan begitu sahaja. Di mana silapnya? Ya, kita tidak memahami aqidah taqiyyah yang mereka lakonkan.  Untuk melakukan tindak balas terhadap mereka, kita juga perlu bertaqiyyah dan kemudian mengajak mereka keluar dari keyakinan batil itu. Jika tidak, jangan marah. Mereka boleh pinjam meminjam isteri pula. Barang dijauhkan kita dari mala petaka dan fitnah terburuk ini di kalangan umat Melayu. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment