Friday 23 August 2013

DARI DALAM GUA KE PULAU BESAR

ADA DUA kisah menarik selepas Ramadan ini. Ia sekaligus memberi indikasi bahawa madrasah Ramadan itu masih tidak dapat mengubah kehidupan seseorang itu. Ketika orang masih menjalani puasa enam [ramai yang telah selesai pun] ada pula sekelompok dari kalangan ini yang asyik menekuni dunia mistik yang orang lain tidak peduli.
Dari Kota Bharu dilaporkan, ada seorang lelaki berumur bergelar DATUK MERUNG [mungkin mengambil sempena filem MERONG MAHAWANGSA] dikatakan mengetuai sekumpulan "penggemar mistik" berada di dalam gua untuk mencari sesuatu, pihak media selalunya tidak melaporkan langsung berkaitan dakwaan bahawa lelaki itu amalkan ajaran sesat.
Meskipun itu hanya tanggapan wartawan yang suka membandingkan sesuatu, asalkan ajaran sesat, maka mereka kaitkan dengan Ayah Pin. Di negara kita kelemahan yang paling ketara adalah apabila sesuatu pihak mengatakan ada kumpulan ajaran sesat.
Sebenarnya setiap kali orang membaca akhbar atau media lain pun mereka ingin tahu di mana sesatnya ajaran itu?
Pegawai yang konon menyiasat ajaran sesat itu sendiri tidak pasti kesesatan dalam bentuk apa. Bukan membela golongan yang dikatakan sesat, tetapi, kita begitu cepat membuat tuduhan tanpa ada pembuktian. Seseorang pengamal ajaran sesat mungkin dia hanya mengamalkan untuk dirinya seorang, dia tidak mengajar pun kepada orang lain, tidak sibuk-sibuk buat sidang akhbar mengatakan mereka hendak memperkenalkan sebuah ajaran baru misalnya.
Jadi, isu orang yang bergelar MERONG itu berada di dalam gua telah menjadi kecoh sedikit. Buat apa duduk dalam gua? Kita mudah mencari poin-poin penting untuk mengaitkan ia dengan ajaran sesat. Sedangkan banyak gua di negara kita memang jadi tumpuan penjelajah, ada yang bermalam dalam gua dan enjoy sakan dalam gua tanpa peduli lima waktu solat, enjoy bercampur lelaki perempuan atas nama hobi, melakukan ekspedisi mencabar, mencari gua-gua baru.
Sebenarnya, dalam diam-diam, ramai orang suka pergi ke gua. Tanpa publisiti pun mereka sudah beberapa kali pergi ke gua. Ada yang duduk bersila dan berzikir di situ. Kalau wartawan nampak pasti orang itu akan dianggap amal ajaran sesat.
Seorang wartawan tidak perlu membuat tanggapan melulu terhadap sesuatu isu. Dia kena bertanya kepada orang yang dimaksudkan. Atas motif apa berada di dalam gua itu? Laporan akhbar jelas membuktikan wartawan hanya bertanya kepada orang lain untuk mendapatkan tanggapan luaran di mana mereka tidak tahu apa pun yang MERONG lakukan.
Hanya dikatakan lelaki misteri itu tahu mengubat orang. Usahkan MERONG, wartawan pun boleh mengubat orang sebenarnya.
Isu lelaki dalam gua pasti tergantung. Tidak ada kesinambungan bagi mendapatkan jawapan ajaran apakah yang telah MERONG titipkan kepada para pengikutnya yang konon datang dari Singapura pun ada. Untuk menimbulkan kegemparan, maka dikatakanlah bukan calang orang yang ikut lelaki itu di dalam gua itu. Ada banyak gua di negara kita, setiap hari gua-gua itu dikunjungi orang yang ingin menjelajah di dalamnya, kalau di antara mereka yang memang ada kegemaran mistik, maka gua-gua itu akan dijadikan tempat untuk semedi, tempat tirakatan, menunggu "wangsit" dari makhluk misteri yang siapa pun tidak tahu.
SEMENTARA itu di Melaka, pihak jabatan agama negeri berkenaan masih menghadapi masalah yang sama, isu Pulau Besar dijadikan tempat orang memuja kubur.
Pulau Besar dari dahulu sampai sekarang masih membawa isu yang sama. Puja kubur. Bukankah di pulau serba mistik itu dikatakan ada beberapa tempat menarik yang sering disebut-sebut orang? Mereka yang datang ke Pulau Besar bagi tujuan "ziarah kubur" telah menggunakan kesempatan itu untuk berharapkan sesuatu. Mereka berharap dengan duduk bersila dan berzikir di kuburan itu, mereka akan mendapat sesuatu yang dihajati -- mungkin jodoh, mungkin menang judi, menang tender, ada ONG atau tuah, untuk buang sial, tolak bala, nak naik pangkat atau untuk wibawa diri.
Niat seseorang yang datang ke situ berbagai-bagai. Orang yang duduk berzikir itu pun belum tentu duduk berzikir, kemungkinan hanya sekadar goyang kepala atau badan mengikut rentak ketuanya. Golongan ini ada yang kumat-kamit sahaja yang lebih. Mereka mesti ada ketuanya yang diajak sama untuk tolong bacakan doa, pimpin mereka berzikir, dan kekadang yang diajak ke sana hanya sekadar apa yang adanya.
Maka tidak hairanlah, dari paparan media cetak, kita lihat, yang ditaburkan di depan mereka sambil menghadap kubur itu adalah bunga berbagai rupa, dan bunga-bunga itu nampak pelik sedikit, ia jarang dikutip oleh orang Melayu, maka kita akan kenal dan tahu orang bagaimana yang datang bertafakur di depan kubur itu. Akhbar Harian Metro melaporkan mereka berzikir pelat. Orang Melayu kita pun ada yang zikir pelat [?] mungkin wartawan berkenaan mahu menyebut sekelompok orang yang mewakili sesuatu etnik, tetapi bimbang ia sensitif, maka dikatakan zikir pelat.
Ketahuilah, bahawa ada bulan tertentu di mana orang akan berjejalan datang ke Pulau Besar. Bahkan kita di Kuala Lumpur pun boleh dapat makluman itu ditampal atau diedarkan di pintu masjid. Mereka perlukan sumbangan orang ramai atau orang tertentu bagi biaya mengadakan MAKAN BESAR pada hari tertentu. Biasanya akan sembelih kambing, ada majlis zikir dan doa selamat di pulau itu. Ia sudah jadi ritual sejak dahulu lagi dan perkara ini diketahui oleh pihak jabatan agama negeri.
Pulau Besar masih dianggap "penting" bagi kalangan tertentu. Bahkan ada yang menamatkan "pengajian" sesuatu ilmu akan pergi ke situ bersama Sang Guru sekali. Ada orang yang taksub pulau sanggup mandi di kawasan tertentu dan kemudian lepaskan pakaian yang ada untuk buang sial. Inipun hanya amalan dia sahaja, tak tahulah kalau ada orang lain ikut. Ia nak disamakan seperti mandi Safar pula.
Nama mistik Kubur Nenek Kebayan setidak-tidaknya membuatkan orang luar tertanya-tanya. Kenapa dinamakan begitu. Adakan Nenek Kebayan itu ada kaitan dengan Puteri Gunung Ledang? Ada kalangan spiritualis tempatan yang mengatakan ada terowongan mistik di antara Gunung Ledang dengan Pulau Besar. Hingga sekarang, ada individu tertentu yang berhajatkan sesuatu masih mengagumi Pulau Besar.
Hal Pulau Besar ini memang menarik. Lain orang lain pula ceritanya. Boleh buat satu buku tebal pun! Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment