Saturday 24 August 2013

KHURAFAT! NAK ANAK PUN PERGI KUBUR KERAMAT?

SESEORANG telah bercerita bahawa sejak berkahwin dia teringin menimang cahaya mata. Jiran-jiran sekeliling selalu buat gossip. Macam-macam cerita yang pasangan ini telah dengar. Dan yang biasa sangat orang sebut adalah perkataan mandul. Mereka tak pernah selidik dalam bab lain, faktor usia perkahwinan dan sebagainya. Mereka hanya tahu itu sahaja.
Di tengah masyarakat yang sangat mempercayai sesuatu yang mistik, maka ada jiran yang mengesyorkan agar pasangan ini, atau salah seorang darinya pergi ke gunung yang ada kubur keramatnya. Untuk cari kubur keramat bukannya susah, lagipun sudah terlalu umum, kalau ada kubur pelik, terletak jauh dari perkampungan, di lereng bukit atau gunung, maka ia adalah kubur keramat.
Apabila sudah ada kubur begitu, pasti ada orang yang mengabdi di kuburan itu, selaku jurucakap bagi pihak kuburan yang sepi itu. Mula-mula sekali kena studi, kubur siapakah yang terasing itu? Meskipun maklumatnya sedikit, ia masih boleh diperpanjangkan. Sebagai jurucakap atau jurukunci, dia berhak untuk berkata apa sahaja. Kalau datang wartawan majalah Misteri atau akhbar tabloid Misteri, apa yang dituturkan oleh jurukunci akan dicatat semuanya. Sekalipun itu cerita bohong, maka wartawan itu telah mendapat cerita bohong juga. Dan masyarakat kita memang suka kepada cerita bohong begini.
Kisah lelaki yang ingin anak ini termasuk dalam kategori cerita bohong dari Sunda.
Maka si suami setelah mendengar cadangan jirannya yang berotak mistis, sanggup untuk pergi ke gunung. Gunung mana ya? Dalam memikir-mikir itu dia dapat idea nak pergi ke Gunung Kapuk Batu.
Agaknya di gunung itu dulu banyak pokok kapuk batu, maka ia dinamai dengan panggilan itu. Ada yang menyebutnya pokok randu! Pokok yang sinonim dengan kisah mistik, ia sejenis pokok yang digemari oleh makhluk halus untuk dijadikan huniannya.
Lelaki tadi lalu mendaki gunung dengan harapan untuk menyatakan hajatnya agar isterinya boleh mengandung sebagaimana yang dihajatkan selama ini.
Biasalah, sebaik mundar-mandir mencari kubur tunggal di situ, ada lelaki berdehem. Lelaki itu adalah jurukunci dan jurubicara. Kalau nak tahu tentang kubur itu, tanyalah dia. Kalau ada wartawan bawa buku catatan, alam perakam dan kamera, jangan buang masa. Jepret habis-habisan. Sudah dijepret baharulah tanya itu dan ini.
"Mbah, kuburan siapa yang begitu terasing ini?" tanya lelaki kepingin anak itu.
"Saya sendiri tak tahu! Saya hanya menjaganya sahaja, kebetulan rumah saya tidak jauh dari sini," jurukunci itu berkata jujur.
"Apakah kuburan ini keramat?" tanyanya lagi.
"Saya pun tak tahu, kerana ramai orang berkata kubur ini keramat, keramat Mbah! Mbah siapa saya tak tahu."
"Tak pedulilah. Tapi, saya ada hajat nih, apa boleh dilakukan di sini?"
"Hajat apa kamu?"
Lelaki itu pun menceritakan hajatnya. Kepingin menimang cahaya mata. Isterinya berharap sangat.
"Siapa yang kata di sini boleh dapat bantuan?" jurukunci bertanya.
"Semua orang kata begitu," jawabnya jujur.
Memang begitulah, masyarakat umumnya tidak menyelidik apa adanya. Mereka lebih suka merujuk cerita burung atau ucapan daripada orang tertentu yang mereka yakini.
Seperti juga orang kita yang sibuk pergi ke Pulau Besar untuk sesuatu hajat besar. Hajat itu dibisikkan di depan kubur. Barangkali dia mahu bertawasul kepada si mati kerana dia jujur, bahawa dirinya cetek ilmu, bimbang kalau doanya tidak diterima kerana minimnya ilmu yang ada.
Si suami yang ingin anak itu sudah menyatakan kesediaannya untuk memanggil apa sahaja, entah jin, entah syaitan, entah iblis agar hadir kerana dia hendak menyatakan hajatnya. Pelik.
"Tapi, kamu jangan lari pulak nanti kalau dah datang yang pelik-pelik!" jurukunci memberi amaran.
"Tidak! Itu hanya cobaan!" katanya sambil tertawa kecil. Berani dan nakad betul orang ini.
Maka, jurukunci pun meletakkan umbo rampe, bunga berbagai jenis, bakaran wangian kemenyan meski dia sendiri batuk-batuk dibuatnya.
Lelaki berhajat sudah tahu, mula-mula jurukunci akan membaca mantera memanggil syaitan. Kalau syaitan sudah masuk dalam badan dia, apa yang ditanya dia kena jawab. Kena marah, kena maki, kena ludah, jangan marah, jangan ambik hati. Buat dekk je.
Tidak lama kemudian, ketika suasana begitu hening, lelaki yang jadi jurukunci itu membaca mantera. Bersungguh-sungguh benar dia membaca dengan perkataan yang tenggelam timbul. Tidak ada satu pun yang lelaki itu dapat memahami. Ini bahasa pelik. Mantera zaman kuno agaknya.
Kemudian lelaki jurukunci itu pun sudah kerasukan. Suaranya berubah garau. 
"He...he...he... kamu nak apa haaaa?" sergah jurukunci. Dia sedang dirasuki syaitan.
"Aku nak jumpa syaitan penjaga makam keramat di sini. Aku ada hajat besar!" lelaki berhajat itu menjawab dengan beraninya.
Jurukunci ketawa mengakak. Suaranya tak ada siapa dengar kecuali unggas dan serangga atau haiwan di hutan itu.
"Aku sudah lama kepingin cahaya mata, tapi sampai sekarang belum kesampaian!" katanya mengadu kepada syaitan.
"Ekh eleh! Ini perkara mudah, tapi aku bimbang kamu tak mampu sediakan syaratnya!" syaitan itu tertawa lagi. Tertawa dibuat-buat seperti dalam pementasan teater bangsawan.
"Apa syaratnya? Bagi yang mudah-mudahlah, aku bukan orang kaya!" kata lelaki itu.
"Syaratnya, aku mahu seekor kerbau panggang!" kata syaitan lagi. Syaitan tidak nyatakan bila kerbau golek itu hendak disediakan. Syarat masih umum.
"Mudah bagiku, ada banyak kerbau di pinggir bendang," kata lelaki itu bernada sombong.
"Nak tahu? Anak kamu nanti lelaki, aku perkenankan permintaanmu!" syaitan berjanji kepada lelaki ini.
Tidak lama kemudian syaitan itu minta izin hendak pulang ke sanggarnya. Jurukunci pun rebah di sisi makam. Lelaki berhajat tidak berbuat apa. Biarkah sahaja, nanti dia akan pulih sendiri. Jurukunci sudah beritahu awal-awal lagi sebelum ritual dilakukan.
Konon, berkat dengan permohonan yang diajukan di makam keramat itu, pasangan suami isteri itu telah memperoleh seorang anak lelaki. Bertambah yakinlah mereka bahawa dengan mengunjungi makam begitu, hajatnya boleh kesampaian.
Cerita kejayaan pasangan ini menjadi bualan di sana-sini, akhirnya, orang lain pun mahu ikut juga ke makam keramat itu. Jurukunci bijak bertutur, dia menceritakan sudah ramai orang berhajat dipenuhi hajatnya. Maka bertambah ramailah orang datang ke situ.
Jurukunci bukan buat kerja percuma. Sesia sahajalah kalau dia sampai kerasukan syaitan semata-mata hendak melayani orang lain. Ada bayarannya. Dulu cincai sahaja. Lama kelamaan dia mengenakan tarif yang tetap. Hendak bayar, kurang tak boleh. Maaf!
Cerita lama kadang-kadang orang lupa. Iaitu cerita dia berjanji kepada syaitan dulu. Dia kata syarat seekor kerbau golek itu mudah. Sekarang anaknya pun sudah remaja. Sudah sekolah di sebuah kolej tetapi kerbau golek tidak disediakan juga. Istilah kerbau golek itu pun dia masih tak faham.
Inilah kerja syaitan.
Apa yang terjadi sesudahnya? Ketika mereka bertiga hendak makan angin ke tengah kota. Dalam perjalanan berlaku kemalangan. Lelaki yang tidak tunaikan hajat syaitan terkorban di jalan raya. Isteri dan anak remajanya hanya cedera ringan.
Si isteri dalam kerisauan. Syarat yang dinyatakan oleh syaitan belasan tahun dulu belum ditunaikan. Mahu merujuk ke mana dia? Jurukunci yang dulu pun sudah menghilang. Ke mana? Khabarnya kubur keramat itu tidak ada jurucakapnya lagi. Tiada siapa yang sudi menurun di situ.
Amalan karut begini sudah lumrah di belahan Nusantara. Tidak hairan, sampai sekarang, ada orang berhajatkan sesuatu mereka akan pergi ke kawasan perkuburan. Tidak mahu pergi ke perkuburan umum, nanti orang tahu, maka dicari kubur yang jauh-jauh, kubur tunggal, atau kubur rekaan pun bukan ada siapa tahu?
Jika masih ada orang tuju kubur bagi berhajatkan sesuatu seperti paparan cerita ini, maka ia menggambarkan ada sesuatu yang belum tuntas di tengah masyarakat kita. Di mana silapnya? Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment