Menjelang menyambut merdeka dan hari raya, media kita asyik sibuk dengan ceramah Mat Sabu. Ia sebenarnya perkara kecil, tak penting pun. Kalau salah fakta pun tak akan ubah sejarah lama yang sudah ditulis oleh gerombolan sejarawan Umno. Fakta sebenar dilupakan hanya semata-mata untuk mengampu tokoh-tokoh Umno sehingga dalam buku sejarah, hanya nama tokoh itu sahaja yang ada. Soal Bukit Kepong adalah cebisan kecil. Jika fakta sejarah salah betulkan. Itu sahaja, ia tidak jadi kudis sampai nak repot. Bukan kes jenayah. Orang mengkaji sejarah, ada fakta betul atau menyeleweng berdasarkan dengar cakap, atau catatan masa lampau. Apa salahnya kita berlapang dada, mengamati kenyataan Mat Sabu, walau dia bukan pakar sejarah, tetapi dia ada baca sejarah. Sejarah masa silam dimanipulasi, seperti sejarah Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor Lama, perang Siak, perang yang melibatkan orang-orang Bugis, semuanya ini berlaku bukan tidak ada sebab yang mengelirukan sejarah. Bahkan ada sejarah yang ditulis berdasarkan pro-Bugis, pro-Siak, pro-Minangkabau dan sebagainya. Sejarah Perang Padri di Sumatera misalnya, ia ada kaitan dengan fahaman Wahabi, perang kerana hendak membanteras bid'ah dan bermacam khurafat dalam masyarakat Minangkabau ketika itu.
Kekalahan Melaka di tangan Portugis juga ada sebab yang memalukan sejarah melayu Melaka. Begitu juga apabila polis yang berada di Bukit Kepong kalah, terima sahajalah kekalahan itu, jangan persoalkan siapa hedro atau bukan. Dalam laporan Berita Harian yang dipetik dalam sebuah laman web ada menerangkan siapa Mat Indera. Dia orang Sumatera yang berwawasan, tak sama Melayu yang tak berwawasan ketika itu kerana duduk di bawah ketiak orang putih. Orang Melayu memang suka orang putih menjajah, itu sebab Melayu tidak melawan orang putih. Ada Melayu berperang dengan Melayu. Melayu masuk hutan dan bersahabat dengan PKM.
Mereka berjuang bersama. Perjuangan bersama dalam hutan untuk menentang orang putih. Tidak semua Melayu masuk hutan jadi kominis. Ia bukan soal aqidah. Selama ini kita diberitahu Komunis tak ada agama. Terbukti berapa ramai Melayu masuk hutan dan berserikat dengan PKM mereka tetap menganut Islam. PKM adalah sebuah parti. Sama juga dengan parti-parti nasionalis yang ada di negara kita. Ada parti yang nasionalis dan ada parti yang sosialis. PKM menjurus kepada sosialisme. Ia tidak ada kaitan dengan aqidah ahli parti tersebut. PKM bukan agama, tetapi sebuah parti politik, sama seperti parti politik yang ada di negara kita.
Fakta telah memesongkan sejarah. Buku sejarah kita menulis PKM ini begini dan begitu. Walhal ia hanya pertubuhan politik yang diharamkan kerana tidak sebulu dengan British. Tidak seperti UMNO yang menjadi kesayangan dan naungan British. Dari dulu hingga kini. Jika British tidak ada, maka UMNO tak mungkin wujud.
Tentang Mat Sabu, saya berpendapat, isu ini bukan isu. Sengaja dibesarkan oleh Utusan Malaysia dan yang setara dengannya, termasuk Bernama, RTM, TV1/2, orang-orang Umno umpamanya. Ini kerana Magt Sabu itu orang PAS. Jika Mat Sabu masuk Umno dah jadi cerita lain.
Saya masih ingat ketika Umno nak meminda perlembagaan negara, setiap hari mereka menyerang Raja-Raja Melayu, suruh siasat harta raja-rajalah, dan macam-macam cerita. Tetapi kenapa masa itu tak ada orang sibuk repot polis mengatakan Umno menderhaka? Ingatlah, ini kerja orang politik yang haus modal.
Modal dah tak ada, sebab isu sebenar ialah kapal selam yang akan dibicarakan di Paris. Kisah Bukit Kepong tidak menarik dalam sejarah. Hanya Jins Shamsuddin yang suka filem macam itu. Tayangan tak dapat sambutan, kalau disiar ulang dalam TV, orang tak nak tengok. Cerita filem mana sama dengan cerita sebenar. Kenapa orang tak kritik kerja seni Jins Shamsuddin yang merapu itu? Kerana ia Umno. Betul kata Mat Sabu.
Rakyat bawahan sekarang sudah sedar sejarah negara siapa yang tulis. Siapa yang susun sukatan pelajaran sejarah. Ia dibentuk untuk memuliakan para pemimpin UMNO yang sebenarnya tidak mulia. Seperti meletakkan sesuatu ke tempat yang dianggap suci dan mulia. Tengoklah apa yang berlaku kepada Masjid Negara. Orang Wahabi tentu akan berkata lain, berbeza dengan orang yang cenderung kepada Umno.
Zaman dah berubah, ada kalangan sejarah perlu dilihat dari perspektif lain. Sejarah barang subjektif. Fakta tidak selalunya tepat. Temberang paling besar ialah sejarah pembukaan Melaka. Persatuan sejarah berani meminda tarikh lebih awal lagi untuk disejajarkan dengan Majaphit.
Bukit Kepong pun, akan jadi seperti sejarah Melaka yang sampai kini belum baku. Penemuan terbaru tentang tarikh pembukaan Melaka disenyapkan, biarlah budak-budak sejarah masih bermain dengan catatan lama yang cerdik pandai pro-Umno buat. Campur tangan Inggeris di Perak misalnya, orang akan bertanya, siapa yang kecoh kalau Inggeris campur tangan? Petani dan nelayankah? Rakyat biasa? Tidak, hanya orang yang ada kepentingan ekonomi, nak kutip cukai. Bila British nak modenkan sistem pungutan cukai, Orang Melayu tak suka, sebab peluang untuk kutip tol di sungai sudah tak ada. Ketika itu semua pembesar Melayu nak kutip cukai di aliran sungai. Balak hanyut pun cukai, sampan kecil pun cukai. Hanya apabila British nak kenalkan sistem pencukaian yang tersusun, mereka marah. Diapi-apikan bahawa British itu campur tangan dalam urusan negeri-negeri Melayu. Fakta ini perlu dijelaskan. Begitu juga sejarah Si Puntum yang membunuh JWW Birch. Puntum tu siapa? Bukankah dia tu diberi duit dan kemudian diugut, bunuh atau tak bunuh Birch, nyawa Puntum terancam. Itu cara pembesar Melayu menggunakan orang asal bagi faedah ekonomi mereka.
Sejarah diputar mengatakan British campur tangan dalam urusan, sebenarnya, British menyusun semula sistem pencukaian moden. Buku sejarah tak sebut hal ini. Cikgu sejarah tak berani sebut pun. Tetapi alhamdulillah saya dah baca buku Pasir Salak, terbitan Universiti Malaya. Bacalah fakta sebenar bagaimana sultan dan pembesar Melayu guna bomoh untuk bunuh Birch. Begitu naifnya pemikiran pegawai Melayu ketika itu. []
No comments:
Post a Comment