Saturday, 3 September 2011

BARA'AN DI KAMPUNG WARISAN

Raya kedua saya berada di Kg Warisan Pasir Panjang, Sekincan, Selangor. Bunyi mercun tetap bertentuman dan sesekali kedengaran meriam tanah. Hari raya pertama, biasanya anak-anak muda di sekitar kampung warisan akan mengadakan bara'an, iaitu aktiviti kunjung mengunjung secara berkupulan hingga mencecah 50 atau 60-an, mereka berpakaian hari raya, baju Melayu, samping, songkok dan kupiah, naik motosikal mengunjungi setiap rumah yang telah disenaraikan. Ada ketua, ada susun atur dilakukan. Budak-budak muda jadi penanggah, membantu peramusaji di setiap rumah yang disinggahi. Biasanya kalau dah ramai-ramai begitu, mereka hanya tunjuk muka dan ikut ketua sahaja. Inilah tradisi bara'an yang saya saksikan tahun ini, bara'an terakhir yang pernah saya ikuti dalam tahun 70-an awal. Sebab, kemudiannya saya tidak balik kampung untuk beraya selama berbelas tahun lamanya, satu masa pelarian yang amat panjang, yang tidak diketahui oleh orang lain, tetapi amat difahami pula oleh mereka yang kenal dengan sejarah masa kecil saya hingga di zaman sekolah menengah.
Saya berkunjung ke rumah cikgu Munir Tusad, Paman Sikas Tusad, Bik Pinggul, Barisah, jumpa Buniah Marsidi, Aripin Marsidi, Abd Rahman Yaacob, mantan penghulu di Melaka, ada yang saya kenal dan ada yang saya pangling (tak cam dan tak kenal) yalah kerana saya tidak singgah di kampung selama berpuluh tahun. Kehilangan rasa, kehilangan rasa sedih, bahkan selama bertahun-tahun saya banyak berhari raya di hotel, baik di Kuala Lumpura atau di Pulau Pinang, bukan kerana kerja hotel, setiap raya, saya kebingungan, tak tahu nak balik ke mana, pernah ajak Ismail Baling, sewa hotel, minum oren dan makan kek sahaja untuk sambutan hari raya. Dan banyak masa pula saya berhari raya di George Town, makan di warung mamak nasi kandar, solat hari raya di Masjid Benggali atau Kapitan Kling, dalam kesendirian di hotel saya baca al-Quran dan muhasabah diri. Tak tahu kenapa. Mungkin orang bertanya, kenapa lama tak balik kampung? Ya, sejak ayah saya meninggal, saya rasa kehilangan kesinambungan, ada atau tidaknya, adalah kakak saya Jariah, di Tali Air 9. Tetapi kemudian kakak pula meninggal di Hospital Universiti, ketika itu saya sempat bertemu dengannya, dan saya mengetahui perkhabaran duka itu, kakak meninggal ketika berusia 53 tahun.
Selain bara'an yang saya kira adalah kunjung mengunjung yang dipelopori anak-anak Jawa di kampung ini, mereka meneruskan tradisi ini sejak masa lampau. Masa saya kanak-kanak. Hari pertama, kedua dan ketiga masih ada bara'an, setelah kaum lelaki, hari berikutnya kaum wanita pula mengadakan bara'an.
Setelah berada di KL semula, bersama grup lain, kami pergi ke Ulu Yam pula. Ziarah di sana, empat kereta. Ziarah juga ke masjid Ampang Pecah, masjid lama yang dibina sejak tahun 1926, di belakang masjid itu ada perkuburan lama, itulah kubur pemilik tanah yang mewakafkan kawasan itu sebagai tapak masjid lama Ampang Pecah, sayang kami tak dapat masuk untuk solat zuhur kerana dikunci. Mungkin untuk menjaga keselamatan masjid, maklum di tepi jalan dan sunyi pula.
Terakhir pada hari ini pergi ke Laksamanapuri, Selayang, beraya dengan grup yang sama. Tak boleh nak makan sangat. Sebab di Ulu Yam tadi makan rendang dengan pulut. Teringat pula anak kakak nak kahwin pada 29hb.Okober 2011 nanti, kahwin dengan orang Kuala Kubu Bharu. Abang Mat kata kos untuk majlis itu mungkin dekat RM13 ribu lebih. Nak masak-masak, tak mahu buat katering. Ikut cara lama bergotong royong buat itu dan ini. Esok mereka nak datang ke rumah, kena masak-masaklah, sebab tak ada siapa yang boleh buat. Sendiri buatle...[]

No comments:

Post a Comment