Sunday, 28 August 2011

MENJELANG LEBARAN DI KOTA INI

di tengah kota ini lebaran seperti meredah rimba dara yang hijau
di sana-sini orang pada berjejalan
tangan masing-masing memegang bungkusan, tidak cukup kanan dan kiri, dijunjung lagi
inilah waktu yang ternilai
jangan buang kesempatan ini, selonggar apa yang ada di cecelah Chow Kit dan sekitarnya
mana tahu masih ada yang kurang
justeru jangan fikirkan apa yang tidak ada di sisi ruang tamu
peredah rimba akan resah dan gelisah
waktu terus beredar, dari zuhur akan menjelang asar
aduh gelisahnya, kuih-muih belum cukup,
di tangan peredah rimba dara ini sudah penuh dengan bungkusan termasuk daun ketupat dan lepat,
ke mana akan dibawa dan akan diredah
makcik yang membawa daging sekilo masuk semula untuk menambah kilo
terasa kurang cukup
pakcik yang membawa ayam daging masuk semula menambah seekor ayam lagi
wah! inilah perayaan kita yang telah mendarah mendaging sejak berzaman
dari ruang nusantara yang pelbagai tertuang dalam budaya lebaran
semuanya memburu saat akhir
apa lagi yang belum dibeli?
justeru jangan fikir apa yang orang lain miliki
fikirkan ke mana kemampuan diri tertuang
inilah lebaran kita
bukan untuk melaksana pembaziran
bukankah setelah 1 Syawal 1432 akan muncul 2 Syawal?
dan puasa sunnah pula muncul
jika difikirkan tentang tarikh ini
maka ia umpama lampu isyarat di simpang jalan
makan dan minum dengan persiapan yang riuh ribut
tiba pada hari kedua, segala-galanya sunyi diri
jauhkan diri dari terus makan dan makan
lebaran tahun ini datang juga
tetapi aneh
mungkin di sana-sini
di malam lebaran ada bulan di atas kuburan.

[ANDONG, Kg.Warisan, Pasir Panjang, Sekincan, Selangor.29.8.2011]

No comments:

Post a Comment