Saya menerima beberapa SMS yang lucu dari teman-teman yang membaca cerpen dalam HARAKAH, Bil.1669, 1670, yang memuatkan cerpen "Igauan" dalam dua bahagian walau diketik kurang 1000 perkataan. Watak Pak Mud di dalam cerpen itu menjadi tanda tanya kawan-kawan yang menghubungi via SMS ada dari Baling, Kedah dan dari KL. Semuanya penggemar tulisan di dalam Harakah.
Sejak reformasi meletus di negara kita, saya tidak menulis cerpen lagi. Saya tidak ada ruang untuk hantar cerpen. Selain tabloid yang ada, yang sebenarnya hanya tempat untuk latihan menulis cerpen, saya tidak menulis langsung. Bayangkan berapa tahun saya tinggalkan cerpen.
Menulis cerpen dengan gaya Igauan ini pernah saya gunakan dalam tahun 70-an, ketika saya berada di Felda Bukit Tajau, Maran, Pahang. Ketika itu cerpen saya berjudul MABUK yang tersiar dalam Mingguan Malaysia (maaf terpaksa sebut juga walau saya benci amat dengan MM ini), cerpen ini menyindir Tuk Penghulu kampung di kampung saya (Selangor, Sg.Panjang), adakan majlis perkahwinan anak saudara tetapi saksi mata yang juga budak-budak gejobos (kata Jawa) menceritakan ada beberapa botol arak diletakkan di kawasan rumah tuk. Jadi cerita ini kemudian disampaikan oleh abang ipar penulis kepada saya ketika saqya sedang buat kerja gejobos, cuci daging ayam dalam besen besar untuk kenduri kahwin, rumah Bik Pinggul isteri Pak Marsidi (Buniah anak perempuannya jadi nurse di Hospital Melaka, itu khabarnya, isteri Penghulu Muda).
Kisah itu saya paparkan dalam bentuk cerpen. Setelah dipaparkan, saya fikir, apalah yang ada pada sebuah cerpen, namun dugaaan saya salah. Cerpen memberi impak yang besar juga. Pihak yang tersindir dengan cerpen menilai cerpen dari aspek pemberitaan dan laporan. Padahal siang-siang sudah dipaparkan cerpen ini hanya rekaan atau fiskyen semata-mata, kalau ada cerita yang bersamaan, itu kebetulan sahaja. Hakikatnya, dalam dunia fiksyen, dari kenyataan lalu diterjemahkan dalam bentuk fiksyen, ia tidak jadi paparan 100% tetapi telah diolah dengan gaya penceritaan bagai pak dalang wayang kulit.
Mereka yang membaca tersentuh sangat apabila keterangan dalam watak menyebut perkataan "kaki perempuan" - dan gambaran fiksyen ini sebenarnya adalah campur aduk latar masa silam, ketika penulis jalan-jalan di Teluk Intan, Perak, masa itu ada panggung wayang tak jauh dari kawasan gerai lambai. Di situ ada gerai roti canai mamak yang sibuk melambai. Tentu Zahari Hasib penyair Teluk Intan tahu tempat ini.
Saya memang nampak, Tuk Penghulu dan kawan-kawannya masuk ke lorong belakang, panjat tangga hotel kecil, soal apa yang dia lakukan tidak dicatatkan, tetapi kunjungan ke hotel berkenaan akan menimbulkan suatu tanggapan, oh dia kaki perempuan, setakat itu sahaja, bukan tanggapan dia "main perempuan." Inilah kaedah cerpen.
Paparan watak sesungguhnya dengan fiskyen perlu difahami. Perkara ini pernah disinggung oleh Umar Junus, ketika menulis tentang fiksyen [Dari Peristiwa ke Imajinasi, 1983, Jakarta:Gramedia; Karya Sebagai Sumber Makna, Pengantar Strukturalisme, 1988, DBP:KL]. Sebenarnya apa yang saya lihat secara nyata belum boleh dijadikan cerpen, segmen kecil panjat tangga hotel di Teluk Intan itu hanya boleh dijadikan frame of reference dalam fiksyen.Walaupun benda kecil-kecilan dan remeh, ia boleh digunapakai untuk fiksyen baik novel atau cerpen.
Sesiapa yang bergelumang dengan dunia tulisan akan tahu proses mengumpil bahan dan kemudian memadatkan karya dengan bahan itu. Ini kerja seni yang Samad Said tahu (baca novel Salina, Hujang Pagi, Langit Petang dll). Berbalik kepada cerita Pak Mud tadi, watak ini hanya rekaan sahaja, nama Pak Mud itu saya rujuk kawan jemaah di Masjid Jamek, namanya Pak Mud. Watak Pak Mud yang komedi itu menyebabkan saya sangat mengenang kelucuannya. Mek Lijoh Lawo, teringatkan Mek Kalsum di Felda Bkt. Tajau, Maran Pahang. Kemudian tokoh Pak Mud dia kerja apa, pembaca sendiri kena agaklah. Dan apabila menyentuh dengan Mbah Jombrang, dukun dan tokoh antik di Jawa itu, ia nama rekaan yang tidak ada kaitan dengan watak Jombrang sebenar, dalam dunia mistik Jombrang menimbulkan semacam aura mistik dan sakral kejawenan. Inilah proses kreatif. Ia saya gabungkan dengan peristiwa Bersih 2.0 yang saya banggakan sebagai bahan sejarah negara. Sebenarnya dukun kejawen sengaja saya selitkan kerana ia adalah gambaran kepercayaan masyarakat kepada hal yang mistik. Kebetulan saya pernah temu bual seorang dukun wanita di Pantai Dalam, isteri Pak Ilyas, pelukis gambar Diponegoro di Sumatera sewaktu zaman kolonial. Isteri Pak Ilyas itu orang Pariaman, boleh mengubat orang, dan salah seorang pasien isteri Pak Ilyas itu adalah orang nombor satu negara, maknanya pemimpin kitalah. Kisah itu memberi lipatan idea yang berbagai. Boleh dijadikan cerita lain tentang perdukunan. Kebetulan dukun wanita itu beritahu saya, kalau nak tengok orang cabut serai berbunga datanglah ke rumah nanti malam. Ada orang nak cabut. Ia ada kaitan dengan batu permata. Batu permata ini mengingatkan saya dengan program Permata Negara dan belian cincin RM24 juta. Kemudian berlian ini ada kaitan dengan amalan mistik, berlian mampu memberikan sedikit impak kepada makhluk-makhluk halus, begitu pendapat orang.
Berbagai lipatan idea seperti ini sangat berguna kepada penulis cerpen untuk mengembangkan pemikiran watak yang ditonjolkan. Pemikiran watak adalah pemikiran pengarang sebenarnya. Watak itu dijadikan acuan untuk menuangkan segala apa yang terpendam di dalam minda penulis. Esok, mungkin hari raya. Saya tak buat persiapan apa pun. Rendang pun belum masak, begitu juga ketupat. Isteri pula sibuk ajak jiran Cik Nor pergi Chow Kit beli kuih raya. Sebenarnya bukan nak bersedia sangat, kata orang tak buat kuih tak apa, janji ada kuih dua tiga jenis. Itu menyerikan hari raya.
Mungkin malam tadi, solat terawih akhir sebelum makluman tentang raya dihebahkan kepada umum.Hari Isnin, pejabat masih buka, berita TV temberang kata KL lengang. Memang orang di luar KL percaya habis. Lengang apa? Nak jalan pun tak boleh. Lampu merah ke hijau orang tak peduli lagi. Semua sudah dirombak. Ini yang orang kata diskonstruksi. Minda kita juga begitu. Fiksyen juga begitu. Wallahu a'lam. Selamat hari raya, 1 Syawal 1432. []
No comments:
Post a Comment